
Netflix melancarkan treler rasmi untuk siri drama ketenteraan terbaharu, Operation Safed Sagar, yang diilhamkan daripada kisah benar penglibatan Tentera Udara India (Indian Air Force) ketika Perang Kargil pada tahun 1999.
Berlatarbelakangkan konflik Kargil yang semakin memuncak pada musim panas 1999, siri ini mengangkat kisah Operasi Safed Sagar, sebuah misi udara beraltitud tinggi yang memainkan peranan penting dalam mengubah perjalanan peperangan tersebut.
Misi bersejarah itu turut dikenali sebagai operasi udara tertinggi di dunia, dikendalikan oleh skuadron juruterbang pejuang termuda Tentera Udara India yang tampil menyahut panggilan negara ketika situasi berada di tahap paling genting.
Diarahkan oleh Oni Sen, Operation Safed Sagar dicipta oleh Abhijeet Singh Parmar dan Kushal Srivastava, serta diterbitkan oleh Matchbox Shots LLP bersama Feel Good Films. Barisan pelakon terdiri daripada Siddharth, Jimmy Shergill, Abhay Verma, Dia Mirza, Prajakta Koli, Adil Hussain, Mihir Ahuja, Taaruk Raina, Arnav Bhasin dan Amrita Bagchi.
Bagi memastikan penceritaan kekal autentik, pasukan produksi menjalankan penyelidikan yang mendalam termasuk mendapatkan pandangan secara langsung daripada veteran Tentera Udara India.
Siri ini turut menjalani penggambaran di beberapa pangkalan operasi sebenar Tentera Udara India dengan sokongan penggunaan pesawat serta kemudahan ketenteraan sebenar. Selain itu, penggambaran di kawasan altitud tinggi membantu menghidupkan semula skala dan cabaran sebenar misi tersebut di layar.
Kisahnya memfokuskan kepada Skuadron Golden Arrows yang diketuai oleh Wing Commander B.S. Dhanoa “Tony” (Jimmy Shergill) bersama Squadron Leader Ajay Ahuja (Siddharth).
Ketika peperangan semakin sengit di kawasan pergunungan Kargil, mereka bersama beberapa juruterbang muda lain berdepan misi berisiko tinggi yang menuntut keberanian, ketabahan dan pengorbanan demi mempertahankan negara.
Selain memaparkan aksi di medan perang, siri ini turut memberi perhatian kepada kehidupan keluarga anggota tentera, khususnya isteri-isteri anggota Tentera Udara India yang menjadi sumber kekuatan di sebalik mereka.
Penerbit turut mendapatkan pandangan daripada keluarga yang terlibat secara langsung dalam operasi tersebut bagi memastikan aspek emosi dan pengorbanan mereka diterjemahkan dengan lebih tepat.

Naib Presiden Kandungan Netflix India, Monika Shergill, menyifatkan Operation Safed Sagar sebagai antara produksi paling bercita-cita tinggi yang pernah dihasilkan Netflix di India.
Menurut beliau, projek itu berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat dengan Tentera Udara India serta sokongan barisan pelakon, tenaga produksi dan pasukan kesan visual tempatan yang membawa kisah ini ke layar dengan tahap ketelitian yang tinggi.
Pengarah Oni Sen pula berkata, matlamat utama mereka sejak awal adalah untuk menghasilkan sebuah siri yang menggambarkan operasi tersebut secara jujur, berskala besar dan penuh emosi. Beliau berharap penonton di seluruh dunia dapat menghargai keberanian serta pengorbanan anggota tentera dan keluarga mereka yang menjadi inspirasi kepada penghasilan siri ini.
Turut memberikan sokongan terhadap penerbitan siri ini ialah bekas Ketua Tentera Udara India, Air Chief Marshal (Bersara) B.S. Dhanoa.
Beliau menyifatkan kisah Operasi Safed Sagar sebagai satu bab penting dalam sejarah negaranya yang sudah lama wajar diketengahkan kepada masyarakat.
Menurut beliau, siri ini juga diharap mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menyertai Tentera Udara India dan meneruskan legasi mempertahankan negara.
Menggabungkan aksi peperangan udara, drama kemanusiaan serta kisah benar yang jarang didedahkan kepada umum, Operation Safed Sagar menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang memperlihatkan keberanian, pengorbanan dan semangat juang anggota Tentera Udara India dalam salah satu operasi paling bersejarah negara itu.
Operation Safed Sagar akan mula distrim secara eksklusif di Netflix bermula 7 Ogos.
Sumber: Netflix
