
Demam romantis nampaknya benar-benar menguasai panggung wayang sempena sambutan Hari Kekasih tahun ini apabila filem terbaharu arahan Emerald Fennell, Wuthering Heights, mencatatkan permulaan yang sangat memberangsangkan.
Gandingan mantap antara Margot Robbie dan Jacob Elordi dalam naskhah klasifikasi R (Dewasa) ini berjaya meraih kutipan awal sebanyak $3 juta menerusi tayangan awal pada hari Khamis lepas.
Berdasarkan prestasi semasa, filem terbitan Warner Bros. yang menelan belanja sebanyak $80 juta ini dijangka mampu mengutip antara $50 juta hingga $55 juta sepanjang cuti panjang hujung minggu President’s Day.
Di pasaran antarabangsa pula, adaptasi novel Emily Brontë ini diramalkan bakal menambah kutipan sekitar $30 juta hingga $40 juta lagi, sekaligus membuktikan tarikan luar biasa gandingan Robbie dan Elordi sebagai pasangan ikonik Cathy dan Heathcliff.
Kejayaan Wuthering Heights ini sekali gus menamatkan kemarau kutipan di pawagam sepanjang musim sejuk yang agak hambar sebelum ini.
Filem ini bukan sahaja menonjolkan sisi erotik dan dramatik yang lebih segar berbanding adaptasi terdahulu, malah turut diperkuatkan dengan barisan pelakon hebat seperti Hong Chau dan Ewan Mitchell.
Di sebalik kehangatan drama romantik tersebut, kedudukan kedua carta box office dijangka bakal dihuni oleh filem animasi mesra keluarga terbitan Sony Pictures Animation berjudul Goat.

Filem yang menampilkan suara bintang NBA, Stephen Curry dan Caleb McLaughlin ini diunjurkan mengutip antara $20 juta hingga $25 juta, selepas sekadar meraih $1 juta pada sesi tayangan awal.
Melengkapkan persaingan sengit hujung minggu ini adalah filem thriller rompakan terbitan Amazon MGM, Crime 101.
Meskipun menampilkan barisan pelakon gred A seperti Chris Hemsworth, Halle Berry, Mark Ruffalo, dan Barry Keoghan, filem ini dijangka menduduki tangga ketiga dengan anggaran kutipan antara $15 juta hingga $17 juta.
Walaupun persaingan daripada filem animasi dan thriller cukup sengit, namun aura Margot Robbie dalam kolaborasi sulungnya sebagai pelakon di bawah arahan Emerald Fennell nampaknya sukar digugat, sekaligus meletakkan Wuthering Heights sebagai juara mutlak di pawagam buat masa ini.
Sumber: Yahoo! News.
