
Filem aksi fantasi Masters of the Universe kini bersedia menemui penonton di platform penstriman Prime Video bermula 22 Julai, selepas menamatkan tayangan di pawagam dengan kutipan yang kurang memberangsangkan.
Filem terbitan Amazon MGM Studios itu hanya meraih kira-kira AS$113 juta di seluruh dunia, jauh lebih rendah berbanding kos pembikinannya yang dianggarkan mencecah AS$200 juta.
Masters of the Universe merupakan adaptasi aksi nyata kedua berdasarkan francais popular Mattel yang diperkenalkan pada tahun 1982. Adaptasi pertama diterbitkan pada 1987 dan menampilkan Dolph Lundgren sebagai He-Man.
Versi baharu ini dibintangi Nicholas Galitzine sebagai Adam Glenn atau He-Man, yang perlu mempertahankan planet Eternia daripada ancaman Skeletor, watak antagonis yang dilakonkan oleh Jared Leto.
Barisan pelakon turut dibarisi Camila Mendes sebagai Teela, Idris Elba sebagai Man-at-Arms, selain Alison Brie, James Purefoy, Charlotte Riley, Morena Baccarin, Artie Wilkinson-Hunt dan Eire Farrell.
Filem ini diarahkan oleh Travis Knight, manakala skrip ditulis oleh Chris Butler berdasarkan draf awal yang dihasilkan David Callaham serta Aaron dan Adam Nee. Penerbit pula terdiri daripada Todd Black, Jason Blumenthal, Robbie Brenner dan DeVon Franklin.
Debut di tangga kedua carta box office
Masters of the Universe mula ditayangkan di pawagam pada 5 Jun dan mengutip AS$29.3 juta pada hujung minggu pembukaannya di Amerika Utara.
Bagaimanapun, filem itu hanya berjaya menduduki tangga kedua carta box office, di belakang Scary Movie. Sebelum diterbitkan oleh Amazon MGM Studios, hak penerbitan filem ini pernah bertukar tangan melibatkan beberapa studio besar termasuk Netflix, Warner Bros. dan Sony Pictures sebelum akhirnya dibeli oleh Amazon MGM pada 2024.
Nicholas Galitzine terus bekerjasama dengan Amazon MGM
Masters of the Universe bukanlah kerjasama pertama Nicholas Galitzine bersama Amazon MGM Studios.
Sebelum ini, pelakon tersebut membintangi Red, White & Royal Blue serta bergandingan dengan Anne Hathaway menerusi The Idea of You. Beliau juga pernah muncul dalam filem Purple Hearts terbitan Netflix dan Cinderella terbitan Amazon yang dibintangi Camila Cabello.
Galitzine turut dijadualkan kembali membawa watak Putera Henry dalam sekuel Red, White & Royal Blue berjudul Red, White & Royal Wedding.
