
Prime Video telah melancarkan trailer terbaharu bagi siri epik sejarah Korea, Sacred Jewel, yang dijadualkan memulakan tayangan pada 5 Disember 2026 secara eksklusif di platform penstriman tersebut. Siri yang mengandungi 14 episod ini bakal ditayangkan di Malaysia dan lebih 240 negara serta wilayah di seluruh dunia.
Berlatarbelakangkan era Dinasti Goryeo yang dilanda peperangan, Sacred Jewel menggabungkan elemen aksi, percintaan dan perjuangan sekumpulan pahlawan dalam usaha menyelamatkan kerajaan mereka daripada ancaman musuh.
Kisahnya bermula pada tahun 1258, ketika kerajaan Goryeo berada di ambang kehancuran selepas hampir tiga dekad berperang dengan tentera Mongol. Ketika kekalahan semakin hampir, seorang pahlawan muda bernama Baek Gyul diberi tanggungjawab mengetuai sekumpulan tentera elit dalam misi berbahaya untuk mendapatkan permata suci yang dipercayai memiliki kuasa luar biasa bagi melindungi kerajaan tersebut.
Dalam usaha melaksanakan misi itu, Baek Gyul dan pasukannya terpaksa merentasi kawasan yang dikuasai musuh serta melalui laluan berbahaya menuju ke laut timur. Pada masa sama, Puteri Wang Hee berusaha membantu mereka, sementara nasib seluruh kerajaan bergantung pada kejayaan misi tersebut.
Trailer yang baru dilancarkan turut memperlihatkan hubungan antara Baek Gyul dan Puteri Wang Hee, selain arahan tegas Maharaja yang melarang pahlawan muda itu kembali sekiranya gagal menyelesaikan misinya. Beberapa babak pertempuran turut dipaparkan, memberikan gambaran mengenai cabaran yang bakal dihadapi kumpulan tersebut sepanjang perjalanan mereka.
S​​acred Jewel menampilkan barisan pelakon terkenal Korea Selatan yang diterajui Ahn Bo-hyun, yang sebelum ini membintangi Spring Fever, Flex X Cop dan My Name. Beliau turut digandingkan dengan Lee Sung-min (Reborn Rich, No Other Choice) serta Claudia Kim (Gyeongseong Creature, The Atypical Family).
Siri ini turut dibintangi Ha Yoon-kyoung (See You in My 19th Life) dan Yoon Kyun-sang (The Rebel, Six Flying Dragons).
Dari segi produksi, Sacred Jewel diarahkan oleh Jung Dae-yoon yang terkenal menerusi Reborn Rich dan She Was Pretty, manakala skripnya ditulis oleh Jung Hyun-min, penulis di sebalik The Nokdu Flower dan Jeong DoJeon. Siri ini diterbitkan oleh SLL dengan kerjasama Celltrion Entertainment.
Dengan latar peperangan pada zaman Goryeo serta kisah perjuangan mempertahankan kerajaan, Sacred Jewel menawarkan sebuah pengembaraan sejarah yang menggabungkan konflik politik, pertempuran dan hubungan antara watak dalam satu penceritaan.
Kesemua 14 episod Sacred Jewel akan mula ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada 5 Disember 2026. Langganan Prime Video di Malaysia ditawarkan pada harga RM25 sebulan.
Sumber: Prime Video Malaysia.
