
Sebuah kes pembunuhan yang pernah menggemparkan Hong Kong pada 2013 menjadi salah satu kisah yang mengingatkan kita bahawa rahsia paling mengerikan kadangkala tersembunyi di tempat yang paling tidak disangka-sangka – iaitu di dalam rumah sendiri.
Kes melibatkan seorang pramugari berusia 26 tahun yang hilang tanpa jejak sebelum jasadnya ditemui tersembunyi di dalam almari pakaian rumah keluarganya. Lebih mengejutkan, keluarganya sudah berada di rumah tersebut selama beberapa hari tanpa menyedari bahawa mayat mangsa sebenarnya berada tidak jauh daripada mereka.
Kisah ini turut mempunyai kaitan dengan latar sebuah bangunan kediaman yang mempunyai sejarah beberapa kes kematian dan akhirnya menjadi antara inspirasi kepada filem misteri jenayah Vanishing Point.
Pramugari Hilang Selepas Bertemu Bekas Teman Lelaki
Pada Disember 2013, Arbe Chan Man-yee atau Eby, seorang pramugari Dragonair berusia 26 tahun, dilaporkan hilang.
Sebelum kejadian, Eby pernah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Mo Jun-xian atau Oscar, yang ketika itu turut berusia 26 tahun dan bekerja sebagai ejen hartanah.
Hubungan mereka pada awalnya berjalan seperti biasa. Namun selepas Oscar kehilangan pekerjaan, keadaan mula berubah. Dia dikatakan semakin panas baran dan tidak senang melihat Eby masih mempunyai pekerjaan yang baik.

Hubungan tersebut kemudiannya menjadi semakin toksik apabila Oscar melakukan keganasan terhadap Eby, termasuk mencekiknya. Dia akhirnya dikenakan tindakan mahkamah.
Eby kemudian membuat keputusan untuk meninggalkan hubungan itu dan memutuskan semua hubungan dengan bekas teman lelakinya.
Tidak lama kemudian, dia bertemu lelaki lain bernama Keith dan mula membina kehidupan baharu. Eby juga berkongsi kegembiraannya di media sosial, termasuk mengenai hubungan baharunya yang dilihat jauh lebih bahagia.
Namun, Oscar masih mengikuti perkembangan bekas kekasihnya dari jauh.
Dia kemudian menghubungi Eby dan meminta untuk berjumpa atas alasan mahu mendapatkan semula beberapa hadiah yang pernah diberikannya. Oscar turut memberi alasan bahawa dia mahu berbincang dan menyelesaikan masalah antara mereka.
Eby akhirnya bersetuju untuk bertemu dengannya di kediamannya sendiri.
Pertemuan itu menjadi yang terakhir buat Eby.
Seorang saksi melihat Eby memasuki bangunan tersebut, tetapi tiada siapa melihatnya keluar semula. Oscar pula dilihat meninggalkan bangunan itu seorang diri.
Keluarga Menyangka Eby Masih Bekerja
Pada mulanya, keluarga Eby tidak menyangka sesuatu yang buruk telah berlaku.
Mereka menganggap Eby mungkin sedang menjalankan tugas sebagai pramugari dan keluar bekerja seperti biasa.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari, keluarga mula berasa pelik apabila Eby masih tidak pulang. Rakan-rakan sekerjanya juga mula bertanya kerana sudah beberapa hari mereka tidak mendapat sebarang khabar daripadanya.
Petunjuk penting muncul apabila adik Eby menemui pakaian seragam pramugari dan beg kerja miliknya masih berada di bawah katil.
Kalau Eby benar-benar keluar bekerja, mengapa semua barang pentingnya masih ada di rumah?
Keluarga kemudian mula memeriksa setiap ruang kediaman untuk mencari petunjuk.
Mereka akhirnya membuka sebuah almari pakaian.
Di sebalik timbunan pakaian, mereka menemukan jasad Eby yang sudah beberapa hari meninggal dunia.
Apa yang lebih mengejutkan ialah hakikat bahawa keluarga Eby sebenarnya sudah berada di rumah yang sama dengan mayat tersebut selama hampir seminggu.
Mereka langsung tidak menyedari apa yang berlaku.
Menurut laporan mengenai kes itu, bau daripada jasad tersebut dipercayai dapat dikurangkan kerana terdapat ubat gegat di dalam almari. Oscar juga dikatakan menambah lebih banyak ubat gegat selepas menyembunyikan jasad Eby bagi mengurangkan bau.
Pembunuh Melarikan Diri Ke China
Selepas penemuan mayat tersebut, pihak berkuasa Hong Kong mengeluarkan waran tangkap terhadap Oscar.
Dia dipercayai telah melarikan diri ke tanah besar China dan menjadi buruan selama beberapa tahun sebelum berjaya ditangkap pada 2016.

Ketika dibicarakan, Oscar memberikan beberapa alasan bagi menjelaskan tindakannya. Namun akhirnya dia mengakui bahawa perasaan cemburu terhadap hubungan baharu Eby menjadi antara pencetus utama pertengkaran mereka.
Oscar bertanya mengenai teman lelaki baharu Eby dan mendapat tahu bahawa mereka merancang untuk berkahwin.
Pertengkaran tercetus sebelum Oscar menyerang dan membunuh Eby.
Dia kemudian menyembunyikan jasad wanita itu di dalam almari sebelum melarikan diri.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadapnya.
Dalam penghakiman, mahkamah tidak menerima alasan yang diberikan Oscar sebagai sesuatu yang boleh meringankan perbuatannya. Sebaliknya, hakim melihat tindakannya sebagai didorong oleh sifat cemburu dan keinginan untuk mengawal kehidupan bekas kekasihnya.
Bagi keluarga Eby, hukuman tersebut bagaimanapun tidak akan pernah dapat menggantikan kehilangan mereka.
Dari Kes Sebenar Ke Vanishing Point
Kes tersebut menjadi lebih menarik apabila kita melihat kaitannya dengan Vanishing Point, filem jenayah, misteri dan thriller dari China yang diarahkan oleh Cheng Wei-hao.
Filem ini dibintangi Zheng Kai, Liu Haocun dan Roy Chiu, serta diadaptasi daripada novel Hai Kui karya Bei Baokang.
Namun, Vanishing Point bukanlah adaptasi terus daripada kes Eby. Sebaliknya, filem ini mengambil inspirasi daripada sisi gelap kehidupan dalam sebuah bangunan kediaman dan mengembangkan beberapa kes berbeza menjadi satu misteri yang saling berkait.

Cerita filem ini bermula dengan kehilangan seorang kanak-kanak yang dipercayai hilang di kawasan tangga sebuah bangunan. Pada masa yang sama, berlaku pula kes serangan terhadap seorang wanita yang tinggal bersendirian serta satu lagi kes melibatkan seorang lelaki yang cuba menyembunyikan mayat bapanya.
Tiga kejadian yang pada mulanya kelihatan tidak mempunyai kaitan itu perlahan-lahan mula bersambung.
Semakin jauh siasatan dijalankan, semakin banyak rahsia penghuni bangunan tersebut terbongkar.
Konsep inilah yang menjadi tarikan utama Vanishing Point – sebuah bangunan yang kelihatan biasa dari luar, tetapi menyimpan pelbagai kisah gelap di sebalik pintu setiap rumah.
Menariknya, Vanishing Point bukan sekadar filem tentang siapa yang melakukan jenayah. Ceritanya lebih banyak bermain dengan persoalan tentang rahsia yang disembunyikan manusia di sebalik kehidupan harian yang kelihatan normal.
Dan mungkin itu juga yang membuatkan kisah sebenar seperti kes Eby terasa begitu mengerikan.
Kerana kadangkala, kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari sebuah kisah jenayah yang menakutkan. Ia mungkin berlaku di bangunan yang kelihatan biasa, di rumah yang kita sangka selamat – malah di sebalik pintu bilik yang selama ini tidak pernah kita curigai.
Filem Vanishing Point akan memasuki Netflix pada 11 September ini
