
Sebenarnya, jika dilihat pada barisan kreatif di sebalik Clayface, filem ini dibarisi beberapa nama yang cukup berpengalaman dalam genre seram dan thriller.
Antaranya Mike Flanagan, figura kreatif yang terkenal menerusi karya-karya seramnya. Begitu juga dengan pengarah James Watkins, yang pernah menghasilkan filem seperti The Woman in Black dan Speak No Evil. Tidak ketinggalan Hossein Amini, penulis lakon layar yang berpengalaman dalam menghasilkan karya bergenre thriller.
Dengan gabungan tenaga kreatif ini, tidak hairanlah Clayface mampu mengetengahkan elemen seram dengan begitu berkesan, meskipun ia merupakan sebuah filem adaptasi komik yang berasaskan watak daripada DC Comics.
Pada saya, keputusan James Gunn memberikan kebebasan kreatif kepada pasukan di sebalik Clayface merupakan satu langkah yang sangat bijak. Ini kerana pengarah dan penulis dapat merealisasikan visi mereka tanpa perlu terikat dengan keperluan untuk menampilkan kameo adiwira lain semata-mata bagi menghubungkan filem ini dengan kesinambungan DC Universe (DCU).
Jangan salah faham. Clayface sebenarnya masih sebahagian daripada kanon DCU. Malah, dari segi kronologi, kisahnya dikatakan berlaku lebih awal daripada peristiwa dalam Superman. Cuma, kebebasan yang diberikan Gunn membolehkan James Watkins dan Mike Flanagan memberikan sepenuh perhatian kepada penceritaan yang lebih menekankan aspek psikologi dan elemen body horror.
Filem ini mengisahkan Matt Hagen, seorang bintang filem terkenal di Gotham yang hidupnya berubah selepas tersilap langkah dengan meniduri teman wanita seorang ketua gangster. Perbuatannya itu mengundang padah apabila wajahnya ditoreh sehingga mengalami kecacatan kekal.

Insiden tersebut bukan sahaja memusnahkan karier lakonannya, malah menjadikan Hagen bahan cemuhan masyarakat. Terdesak untuk mendapatkan kembali wajah asalnya, dia bersetuju menjadi subjek eksperimen yang dijalankan oleh seorang saintis.
Namun, usaha untuk memulihkan wajahnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila eksperimen tersebut mula menjejaskan keadaan psikologinya, selain menyebabkan tubuhnya mengalami perubahan fizikal yang aneh sehingga menyerupai tanah liat.
Kisah Matt Hagen dalam filem ini boleh dianggap sebagai antara villain origin story yang cukup tragis. Tragedinya bermula daripada satu kesilapan yang mengubah seluruh kehidupannya, daripada seorang bintang filem yang berada di puncak populariti kepada individu yang kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.
Mike Flanagan mencorakkan kisah Hagen secara straightforward, dengan memperlihatkan bagaimana kehidupannya berubah secara mendadak akibat kesilapan tersebut.

Kisahnya tidak terhenti di situ. Ketika Hagen menyangka kehidupannya bakal kembali normal selepas eksperimen yang dijalaninya menunjukkan hasil positif, di sinilah Flanagan mula membina tragedi watak tersebut secara perlahan-lahan.
Menerusi rentetan peristiwa yang semakin menjejaskan keadaan psikologinya, Hagen akhirnya hilang kawalan terhadap dirinya sendiri sehingga berubah menjadi raksasa yang menakutkan.
Dari segi impak psikologi, saya boleh samakan Clayface dengan Joker kerana kedua-duanya menyentuh isu kesihatan mental, terutamanya bagaimana pandangan masyarakat memberi kesan kepada keadaan psikologi kedua-dua watak utama serta cara mereka bertindak apabila tidak lagi mampu mengawal emosi.
Dalam konteks Clayface, Hagen bukan sahaja tertekan akibat kecacatan wajahnya, malah turut menjadi mangsa fitnah yang semakin memburukkan keadaan. Keinginannya untuk membalas dendam juga semakin kuat, lebih-lebih lagi selepas mengetahui bahawa dirinya telah dikhianati. Ditambah pula dengan kegagalannya menerima penolakan, segala tekanan yang dihadapi akhirnya membuatkan fikirannya semakin bercelaru sehingga dia hilang kawalan terhadap emosinya.
Flanagan tidak hanya bergantung pada aspek psikologi untuk membangkitkan rasa seram dalam Clayface. Sebaliknya, beliau turut mengetengahkan elemen yang menjadi tunjang utama filem ini, iaitu body horror.

Elemen body horror yang dipaparkan bukan sekadar memperlihatkan kulit dan tubuh Hagen mencair serta meleleh seperti tanah liat, tetapi jauh lebih mengerikan daripada itu. Ada beberapa adegan yang bukan sahaja membuatkan penonton berasa ngilu, malah turut menimbulkan rasa ngeri dan mual apabila menyaksikannya. Beberapa elemen jumpscare juga diselitkan sebagai pelengkap kepada pengalaman seram yang ditawarkan.
Disebalik elemen seram yang menjadi kekuatan filem ini, Flanagan bersama Hossein Amini dan pengarah James Watkins tidak menjadikan Clayface sebagai sebuah filem seram sepenuhnya. Sebaliknya, mereka masih mengekalkan identitinya sebagai sebuah filem adaptasi komik DC, terutamanya menerusi gambaran kota Gotham yang sememangnya sinonim dengan dunia jenayah dan kegiatan kumpulan gangster.
Gabungan ini membuatkan Clayface masih terasa seperti sebuah filem komik, cuma kali ini dipersembahkan melalui pendekatan seram yang lebih mengerikan, menjijikkan dan disturbing. Pada masa yang sama, pendekatan tersebut membawa penonton menyelami pengalaman dan penderitaan Hagen, sekali gus memberikan perspektif berbeza terhadap watak antagonis daripada dunia DC ini.
Dari segi lakonan dan karakter, Tom Rhys Harries memberikan persembahan yang meyakinkan sebagai Matt Hagen. Namun, gandingannya dengan Naomi Ackie yang membawakan watak Dr. Caitlyn Corr, iaitu love interest kepada Hagen, kurang meninggalkan impak. Pada saya, hubungan kedua-dua watak ini tidak dikembangkan dengan cukup mendalam, menyebabkan kesan emosi yang cuba disampaikan tidak begitu terasa.

Watak-watak antagonis lain dalam filem ini juga kurang diberikan penekanan kerana keseluruhan penceritaan lebih tertumpu kepada perjalanan Matt Hagen sendiri. Apa yang menarik, Hagen bukan sekadar digambarkan sebagai mangsa keadaan, tetapi turut memperlihatkan sisi antagonisnya apabila cerita semakin berkembang. Dalam erti kata lain, satu watak memainkan dua peranan yang berbeza dalam sebuah cerita.
Sejujurnya, saya tidak menyangka Clayface mampu menawarkan jalan cerita yang cukup baik dengan elemen seram yang begitu berkesan. Pada awalnya, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem ini. Namun, selepas selesai menontonnya, saya merasakan Clayface berpotensi memberikan kejutan kepada penonton, terutamanya mereka yang meminati genre seram dan filem adaptasi komik.
Bukan itu sahaja, Clayface juga mampu membuatkan anda terlupa seketika bahawa filem ini sebenarnya sebahagian daripada DCU. Ketiadaan kameo adiwira lain langsung tidak menjadi masalah kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana filem ini berjaya membawa penonton menyelami kisah tragis salah seorang antagonis DC yang juga merupakan musuh lama Batman.
