
Filem seram Jepun Pulse (2001) arahan Kiyoshi Kurosawa akan dihasilkan semula menjadi sebuah filem versi baharu yang kini sedang dibangunkan oleh Screen Gems dan Spyglass.
Menurut laporan Deadline, pengarah Never After Dark, Dave Boyle, telah dipilih untuk mengarahkan filem remake tersebut. Boyle juga akan melakukan penambahbaikan terhadap skrip yang ditulis oleh Luke Piotrowski, penulis The Night House dan Hellraiser.
Parker Finn dan Jonathan Fass pula akan menerbitkan filem ini menerusi syarikat produksi Bad Feeling, yang turut terlibat dalam projek remake Possession arahan Finn.
Butiran mengenai jalan cerita masih dirahsiakan buat masa ini. Apa yang diketahui, versi baharu Pulse akan mengambil latar zaman moden dan menampilkan sekumpulan watak baharu.
Filem asal yang diterbitkan pada 2001 mengisahkan sekumpulan individu yang mula menemui petunjuk bahawa roh orang yang telah meninggal dunia cuba memasuki dunia manusia melalui Internet.
Pemilihan Boyle dilihat sesuai dengan projek ini kerana pembikin filem tersebut sebelum ini banyak menghasilkan karya yang berkait dengan Jepun atau watak Jepun dan Jepun-Amerika, termasuk Never After Dark.
Buat masa ini, belum ada pengumuman mengenai barisan pelakon, tarikh tayangan atau tarikh mula penggambaran untuk remake Pulse.
Sumber: Deadline, Bloody Disgusting
