
Filem seram baharu berjudul Pendulum kini memperlihatkan gambaran pertama menerusi teaser trailer yang baru dilancarkan. Filem ini menandakan penampilan sulung Mark Heyman sebagai pengarah filem cereka, berdasarkan skrip yang ditulisnya sendiri.
Nama Heyman mungkin tidak asing kepada peminat filem psikologi kerana dia merupakan salah seorang penulis skrip Black Swan, filem arahan Darren Aronofsky yang dibintangi Natalie Portman. Menariknya, Aronofsky kini kembali bekerjasama dengan Heyman sebagai penerbit Pendulum menerusi syarikat produksinya, Protozoa Pictures.
Pendulum dibintangi Joseph Gordon-Levitt, Phoebe Dynevor, Jacki Weaver dan Norman Reedus.
Kisah filem ini mengikuti pasangan suami isteri, Patrick (Joseph Gordon-Levitt) dan Abigail (Phoebe Dynevor), yang pergi ke sebuah pusat rawatan berkonsepkan spiritual di New Mexico selepas melalui satu peristiwa traumatik.
Patrick sanggup melakukan apa sahaja demi membantu isterinya mendapatkan semula kehidupan mereka seperti dahulu. Namun, dia mula berasa curiga terhadap pemimpin pusat tersebut yang penuh misteri, lakonan Jacki Weaver.
Dalam masa yang sama, Abigail semakin terpengaruh dengan pendekatan spiritual kumpulan berkenaan.
Apabila keadaan mula berubah menjadi semakin pelik, Patrick dan Abigail terperangkap dalam situasi yang dipenuhi paranoia. Mereka kemudian terpaksa mencari jawapan sama ada amalan spiritual yang ditawarkan kumpulan tersebut benar-benar bertujuan untuk menyembuhkan mereka, atau sebenarnya menyembunyikan satu kebenaran mengerikan yang mampu memusnahkan mereka berdua.
Menambah elemen seramnya, Pendulum telah menerima klasifikasi R daripada MPA atas kandungan yang merangkumi keganasan berdarah, unsur seksual, penggunaan dadah, nuditi dan bahasa kasar.
Bagi Heyman, projek ini mempunyai hubungan peribadi dengan kehidupannya sendiri. Menurut pengarah tersebut, kisah Pendulum mendapat inspirasi daripada cerita yang diwarisi dalam keluarganya.
Lebih menarik, penggambaran filem dilakukan di New Mexico, iaitu lokasi Heyman membesar dan tempat kejadian sebenar yang menjadi sumber inspirasinya berlaku.
Heyman menyifatkan pengalaman menghasilkan filem tersebut sebagai sesuatu yang sangat peribadi dan surreal, selain memuji barisan pelakonnya yang menurutnya berjaya memberikan persembahan terbaik.
Dia turut menganggap Pendulum sebagai sebuah filem seram yang mampu membawa penonton melalui pengalaman psikologi yang mengganggu.
Pendulum dijadualkan ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat pada 1 Januari 2027 menerusi Vertical Entertainment.
Dengan premis yang menggabungkan trauma, kepercayaan spiritual, paranoia dan rahsia gelap, Pendulum berpotensi menjadi sebuah filem seram psikologi yang menarik untuk diperhatikan apabila ia ditayangkan kelak.
Sumber: Bloody Disgusting
