
Peminat filem seram Thailand bakal disajikan dengan kisah gangguan ghaib menerusi Khong-Khaek 2, sekuel kepada filem Khong-Khaek yang pernah mencuri perhatian menerusi elemen seram berlatarkan budaya dan kepercayaan tempatan.
Filem arahan Kriangkrai Monwichit ini mengisahkan Diana, seorang wanita yang baru berkahwin dengan Anas. Selepas menghilang selama dua malam di kawasan hutan Bukit Budo, Diana kembali dalam keadaan pelik dan mula menyerang ahli keluarganya.
Keadaan menjadi semakin tragis apabila Anas terpaksa menembak isterinya sendiri bagi menghentikan kejadian tersebut. Namun, Anas enggan menerima kehilangan Diana dan percaya roh isterinya masih terperangkap dalam dunia jin.
Dia kemudian bekerjasama dengan Nya, adiknya, untuk mencari jalan membawa Diana kembali.
Dalam pada itu, seorang pelajar universiti bernama Lin bersama rakannya, Bang Lee, pergi ke Air Terjun Pajo untuk mencari batu bagi tugasan penyelidikan. Namun, mereka tersesat di dalam hutan dan Lin akhirnya terperangkap dalam dunia jin yang dipercayai memakan roh manusia untuk menggantikan diri mereka.
Pertemuan antara kedua-dua kisah ini bakal membawa watak-watak terbabit berdepan dengan kejahatan yang semakin sukar dikawal.
Dibintangi Rattanawadee Wongthong, Yotsawat Tawapee, Suthida Buatik, Pinyarat Chatupong dan Ahmad Kucieri Dolah, Khong-Khaek 2 akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 24 September 2026.
Filem ini diedarkan di Malaysia oleh GSC Movies dan akan ditayangkan dalam format 2D.

