
Filem epik arahan Christopher Nolan, The Odyssey, memulakan tayangannya dengan prestasi box office yang luar biasa apabila mengutip AS$264.1 juta (sekitar RM1.12 bilion) di seluruh dunia pada hujung minggu pembukaannya.
Daripada jumlah itu, filem terbitan Universal Pictures berkenaan meraih AS$124.5 juta di Amerika Utara menerusi tayangan di 3,919 pawagam, sekali gus mengatasi jangkaan penganalisis industri.
Pencapaian itu menjadikan The Odyssey sebagai pembukaan domestik terbesar Christopher Nolan sejak The Dark Knight Rises (2012), selain muncul sebagai filem dengan kutipan pembukaan ketiga tertinggi tahun ini, di belakang Toy Story 5 (AS$159 juta) dan The Super Mario Galaxy Movie (AS$131 juta).
Di pasaran antarabangsa pula, filem tersebut menambah AS$139.6 juta daripada 73 negara, sekali gus mencatat pembukaan global terbesar sepanjang kerjaya Nolan, mengatasi The Dark Knight Rises (AS$249 juta), The Dark Knight (AS$198 juta) dan Oppenheimer (AS$180 juta).
Diadaptasi daripada puisi epik Homer yang berusia hampir 3,000 tahun, The Odyssey menampilkan Matt Damon sebagai Odysseus, Raja Ithaca yang berusaha pulang ke tanah air selepas berakhirnya Perang Trojan.
Filem berdurasi hampir tiga jam itu turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Tom Holland, Anne Hathaway, Robert Pattinson, Lupita Nyong’o, Zendaya, Charlize Theron, Elliot Page, Jon Bernthal dan John Leguizamo.
Selain kejayaan komersial, The Odyssey turut menerima sambutan positif daripada pengkritik dan penonton. Filem ini memperoleh gred “A” menerusi tinjauan CinemaScore, manakala 95% ulasan di Rotten Tomatoes adalah positif.
Data penonton menunjukkan 56% pembeli tiket terdiri daripada lelaki, manakala separuh daripada penonton berusia 18 hingga 34 tahun, membuktikan karya Nolan terus menarik minat pelbagai generasi.
Prestasi cemerlang itu turut dibantu oleh promosi berskala besar, sambutan positif dari mulut ke mulut serta permintaan tinggi terhadap tayangan format premium seperti IMAX.
Malah, The Odyssey mencipta sejarah sebagai filem cereka pertama yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera IMAX, satu impian yang menurut Nolan telah lama ingin direalisasikannya.
Format premium menyumbang 53% daripada kutipan domestik, manakala IMAX sahaja menjana AS$51.8 juta, bersamaan kira-kira 23% daripada keseluruhan kutipan global hujung minggu pembukaan.
Dengan tiada saingan blockbuster utama sehingga tayangan Spider-Man: Brand New Day pada 31 Julai, The Odyssey dijangka meneruskan momentum kukuh di pawagam dalam beberapa minggu akan datang.
Kejayaan filem ini juga memberi nafas baharu kepada industri pawagam selepas beberapa filem berprofil tinggi seperti Supergirl, Minions and Monsters dan Moana mencatat prestasi di bawah jangkaan.
Menurut laporan Variety, kutipan pawagam di Amerika Utara kini meningkat sekitar 10% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan musim panas 2026 dijangka melepasi nilai AS$4 bilion buat kali kedua sejak pandemik COVID-19.
