Kakimuvee
Gaming

Street Fighter (2026) Atasi Rekod Kutipan Filem 1994, Raih Hampir AS$100 Juta Di Seluruh Dunia

Filem adaptasi permainan video popular Capcom, Street Fighter (2026), kini mencatatkan pencapaian baharu apabila berjaya mengatasi kutipan global filem terdahulunya yang diterbitkan pada 1994, sekali gus muncul sebagai filem Street Fighter dengan kutipan tertinggi setakat ini.

Menurut laporan IGN, filem terbitan Legendary Pictures yang mula ditayangkan pada 16 Oktober lalu telah mengumpul kutipan sekitar AS$99.1 juta di seluruh dunia setakat 10 November 2026. Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$57.4 juta diperoleh menerusi pasaran domestik Amerika Utara, manakala AS$41.7 juta lagi disumbangkan oleh pasaran antarabangsa.

Pencapaian ini meletakkan filem arahan Kitao Sakurai tersebut hampir menyamai angka AS$100 juta, sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh Street Fighter (1994), lakonan Jean-Claude Van Damme dan Raul Julia.

Sebagai perbandingan, filem arahan Steven E. de Souza itu mencatatkan kutipan keseluruhan sekitar AS$99.43 juta, dengan AS$33.42 juta diperoleh di Amerika Utara dan AS$66 juta daripada pasaran antarabangsa.

Walaupun filem terbaharu ini mencatatkan permulaan yang memberangsangkan dengan kutipan AS$51.1 juta pada hujung minggu pembukaan, prestasinya mengalami penurunan ketara pada minggu-minggu berikutnya. Bagaimanapun, kutipan yang terus bertambah membolehkan filem tersebut menghampiri paras AS$100 juta.

Dibintangi Andrew Koji, Callina Liang dan Noah Centineo, Street Fighter diterbitkan dengan bajet yang dilaporkan sekitar AS$80 juta, tidak termasuk kos pemasaran dan pengedaran. Justeru, walaupun kutipan globalnya kini melebihi kos produksi, angka tersebut belum semestinya bermakna filem berkenaan telah mencatatkan keuntungan.

Dalam perkembangan berkaitan, pelakon Olivier Richters yang membawakan watak Zangief sebelum ini mendedahkan bahawa barisan pelakon telah menandatangani kontrak untuk tiga buah filem. Menurutnya, beberapa watak sengaja diberikan ruang yang terhad dalam filem pertama kerana terdapat perancangan untuk mengembangkan kisah mereka dalam sekuel akan datang.

Malah, pengarah Kitao Sakurai turut mengesahkan bahawa penulisan skrip untuk filem kedua sudah dimulakan. Bagaimanapun, penerbitan sekuel masih bergantung pada prestasi komersial filem pertama serta keputusan pihak studio.

Perancangan tersebut turut seiring dengan pengakhiran Street Fighter (2026) yang membuka ruang kepada kesinambungan cerita, termasuk kemungkinan memperkenalkan watak popular daripada permainan asal yang belum muncul dalam filem berkenaan.

Buat masa ini, masa depan francais Street Fighter di layar perak masih belum diputuskan secara rasmi. Namun, dengan perancangan awal untuk menghasilkan sebuah trilogi, peminat berkemungkinan dapat menyaksikan lebih banyak watak ikonik Capcom diadaptasi ke layar perak sekiranya sekuel menerima lampu hijau.

Sumber: IGN Southeast Asia

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Trailer Terbaharu Street Fighter Dedahkan Lebih Banyak Kisah Ryu Dan Ken

Karim Khan

Diablo V Diumumkan, Tiba Pada 2029 Selepas Diablo IV

Karim Khan

Netflix Bangunkan Filem Live-Action Crazy Taxi Dan Stranger Than Heaven

Karim Khan

Marvel’s Wolverine Tampilkan Kostum Deadpool & Wolverine, X-Men ’97 Dan Banyak Lagi

Karim Khan

Kenali Barisan Pelakon dan Watak Dalam Filem Street Fighter (2026)

Karim Khan

Callina Liang Besarkan Ukuran Paha Demi Watak Chun-Li

Karim Khan

Leave a Comment