
Sebuah filem animasi bajet rendah dari China, Niu Lai, mencetuskan fenomena luar biasa apabila kritikan terhadap kualiti animasinya di media sosial bertukar menjadi tarikan kepada penonton.
Filem mengenai seekor lembu yang muncul dalam sebuah babak mimpi itu hanya meraih sekitar 7,705 yuan dalam tempoh 10 hari pertama selepas ditayangkan.
Namun, selepas beberapa klip dan komen mengenai jalan cerita serta grafiknya tular di media sosial, kutipan Niu Lai melonjak kepada lebih 11.4 juta yuan, menurut laman penjejakan filem Mao Yan.
Angka tersebut membolehkan filem berkenaan bersaing dari segi kutipan pawagam dengan filem Hollywood seperti The Odyssey dan Spider-Man: Brand New Day.
Tular Kerana Kualiti Animasi
Antara perkara yang menarik perhatian pengguna media sosial ialah kualiti animasi Niu Lai yang dianggap sangat buruk dan kasar.
Sebuah hantaran popular mengenai filem itu bergurau bahawa penonton mungkin akan menyesal selama 80 minit jika menontonnya, tetapi lebih menyesal jika tidak menontonnya.
Ada juga pengguna yang menyifatkan Niu Lai sebagai alternatif kepada kandungan janaan AI yang semakin banyak muncul dalam algoritma media sosial.
Kualiti animasi filem tersebut turut menjadi bahan pujian secara sinis apabila pengguna menganggap pendekatan “buatan tangan” itu sebagai bukti bahawa karya berkenaan tidak menggunakan AI.
Seorang pengguna Weibo menyifatkan hasilnya sebagai satu bentuk “kerja tangan” yang serius, manakala pengguna lain menggelarnya sebagai filem “buatan tangan sepenuhnya” dan antara dark horse terbesar musim filem musim panas China.
Nama Filem Turut Jadi Bahan Gurauan
Fenomena Niu Lai turut dipengaruhi oleh namanya.
Dalam bahasa Cina, perkataan berkaitan “lembu” berkongsi aksara dengan istilah yang digunakan dalam konteks pasaran saham bullish. Perkara itu mencetuskan gurauan dalam kalangan pengguna media sosial yang mengaitkan kejayaan filem tersebut dengan harapan terhadap pasaran saham.
Ada pengguna yang bergurau mereka akan pergi ke pawagam menyokong Niu Lai sekiranya indeks saham mencapai paras tertentu.
Seorang lagi menyifatkan filem itu sebagai “filem yang teruk tetapi mempunyai nama yang hebat”, merujuk kepada kaitannya dengan pelaburan saham.
Pawagam Tambah Tayangan, Staf Lukis Poster Sendiri
Niu Lai pada asalnya merupakan produksi kecil yang hampir tidak mendapat publisiti sebelum tayangan pada awal bulan ini.
Namun, peningkatan permintaan menyebabkan pawagam menambah jumlah tayangan untuk memenuhi sambutan penonton.

Menariknya, filem tersebut dilaporkan tidak mempunyai poster promosi rasmi yang sesuai. Akibatnya, kakitangan pawagam mengambil inisiatif menghasilkan poster mereka sendiri untuk menarik perhatian penonton.
Sebuah akaun Weibo yang menjejaki prestasi filem menyifatkan pencapaian Niu Lai sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dan mungkin sukar untuk diulangi.
Di sebalik fenomena tersebut, kejayaan Niu Lai turut mengundang kritikan.
Dalam satu komentar hujung minggu lalu, Beijing News yang merupakan media milik kerajaan China memberi amaran bahawa pawagam berisiko “kehilangan kepercayaan” penonton sekiranya terus menambah tayangan filem yang dianggap mempunyai standard rendah.
Komentar tersebut turut merujuk kepada beberapa filem terdahulu yang menjadi bahan ejekan kerana kualiti produksinya.
Menurut Beijing News, Niu Lai sekali lagi dianggap menurunkan jangkaan penonton terhadap standard filem yang dihasilkan dengan buruk.
Media berkenaan menggesa pawagam memainkan peranan sebagai penapis kepada penonton dan menolak filem yang jelas tidak memenuhi standard, berbanding membiarkan karya seperti Niu Lai mendapat ruang tayangan yang lebih besar.
Daripada sebuah filem animasi bajet rendah yang hampir tidak mendapat perhatian ketika dilancarkan, Niu Lai kini menjadi antara fenomena box office paling tidak dijangka dalam musim filem musim panas China – bukan kerana pujian terhadap kualitinya, tetapi kerana perhatian luar biasa yang dicetuskan oleh kritikan terhadap filem tersebut.
Sumber: BBC
