
Filem tempatan Kacau, yang diadaptasikan daripada novel terbitan Fixi, kini sedang ditayangkan di pawagam. Berdasarkan reaksi awal di Threads, ramai penonton memberikan reaksi yang sangat positif terhadap filem terbaru arahan Muzzamer Rahman.
Terus terang saya katakan, saya tidak pernah membaca mana-mana novel terbitan Fixi, apatah lagi Kacau. Jadi, saya menonton filem ini tanpa sebarang pengetahuan awal tentang jalan ceritanya dan tanpa dipengaruhi oleh source material itu sendiri.
Kalau diikutkan, konsep Spirit of the Coin atau permainan menyeru roh bukanlah sesuatu yang asing dalam genre seram. Sudah banyak filem luar negara yang menggunakan konsep tersebut sebagai asas penceritaan. Malah, filem tempatan seperti Homestay: Permainan Maut juga pernah mengangkat permainan Spirit of the Coin sebagai tema utama ceritanya.
Bagi saya, apa yang lebih penting adalah bagaimana Kacau mengolah konsep tersebut menerusi pendekatan penceritaan, hala tuju plot serta perkembangan konflik agar tidak terlalu menyerupai filem-filem seram lain yang pernah dihasilkan sebelumnya.

Permulaan cerita Kacau bagi saya agak rushing, terutama apabila filem ini terlalu cepat memperkenalkan konflik selepas watak-wataknya mula bermain Spirit of the Coin. Baru sahaja permainan menyeru roh itu bermula, mereka sudah berdepan dengan kejadian rasukan tanpa memberikan ruang yang cukup untuk meneroka permainan tersebut dan berinteraksi dengan makhluk ghaib yang bakal 'mengacau' mereka.
Selepas kejadian tersebut, perkembangan cerita Kacau mula mengikuti formula klasik filem seram yang sudah biasa kita lihat. Watak-wataknya mula berdepan dengan pelbagai kejadian aneh dan menakutkan, sebelum menyedari bahawa gangguan yang dialami mereka mempunyai kaitan dengan permainan Spirit of the Coin yang dimainkan mereka sebelum itu. Dan, apabila dapat mengentahui punca, mereka kemudian berusaha mencari jalan untuk menamatkan gangguan yang boleh mengancam nyawa.
Bagi saya, corak penceritaan seperti ini tidak menawarkan sesuatu yang benar-benar baharu, khususnya dalam filem seram yang melibatkan sekumpulan rakan yang terjebak dengan permainan menyeru roh atau melanggar pantang larang ketika mengunjungi lokasi tertentu.
Walaupun asas dan struktur penceritaannya lebih kurang sama dengan filem-filem seram yang lain, ia idak bermakna saya tidak menikmati filem Kacau. Saya akui, filem ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengendalikan elemen seram, khususnya dari segi reka bentuk bunyi yang banyak membantu membina suasana menyeramkan serta meningkatkan keberkesanan jumpscare.

Selain itu, penampilan fizikal dan pergerakan entiti ghaib yang mengganggu watak-wataknya juga cukup menakutkan, sekurang-kurangnya bagi saya. Keberkesanan elemen seram ini turut diperkukuh menerusi gabungan kerja kamera, visual dan suntingan, khususnya dalam babak-babak yang melibatkan entiti tersebut bergerak menghampiri atau menganggu mangsanya.
Pengarah Muzammer juga dilihat bijak membina suspen dan mengendalikan elemen seram tanpa terlalu bergantung pada jumpscare. Sebaliknya, dalam kebanyakan babak seram, beliau lebih mengutamakan pembinaan suasana dan ketegangan sebelum menghadirkan kejutan pada waktu yang tepat. Menariknya, walaupun kita boleh menjangkakan kemunculan jumpscare dalam sesetengah babak, kejutan tersebut masih mampu membuatkan kita tersentak.
Cuma, saya rasa Kacau mungkin akan menjadi sebuah filem seram yang lebih berkesan tanpa menyelitkan unsur komedi. Kebanyakan unsur komedi dalam filem ini datang daripada salah satu wataknya. Saya tidak pasti sama ada watak tersebut memang digambarkan sebagai seorang yang lucu dalam novel asal atau perwatakannya diubah khusus untuk versi filem.
Apa pun, bagi saya, unsur komedi tidak diperlukan dalam filem sebegini, lebih-lebih lagi apabila lawak yang disampaikan terasa agak cringe dan tidak begitu menjadi. Dengan kekuatan elemen seram yang sudah dimiliki Kacau, saya rasa unsur komedi tersebut sebenarnya tidak banyak membantu filem ini.
Ada satu perkara yang turut saya suka dalam filem ini, iaitu bagaimana Kacau memperkenalkan plot twist yang cukup menarik. Sepanjang penceritaan, beberapa hints telah diselitkan, sama ada melalui objek tertentu, tingkah laku watak mahupun aspek masa. Jika anda benar-benar memberikan perhatian ketika menonton, mungkin anda akan menyedari butiran-butiran kecil yang pada awalnya kelihatan tidak begitu penting.

Segala petunjuk ini akhirnya mula membentuk gambaran yang lebih jelas apabila Jimie, lakonan Idan Aedan, menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan di sekelilingnya. Apabila pendedahan sebenar dibuat, barulah segala petunjuk tadi mula masuk akal, sekali gus menjadikan plot twist tersebut cukup menarik bagi saya. Sejujurnya saya katakan, bahagian inilah satu-satunya perkembangan cerita Kacau yang saya rasakan agak segar berbanding keseluruhan penceritaannya.
Dari segi lakonan, kesemua pelakon dilihat memberikan komitmen yang tinggi dalam menghidupkan watak masing-masing. Walaupun terdapat seorang dua pelakon yang lakonannya sedikit kaku, perkara itu tidaklah memberikan kesan yang besar terhadap keseluruhan filem. Namun, pujian harus diberikan kepada Idan Aedan yang berjaya menjadi tunjang utama filem ini sehingga ke penghujung cerita. Bagi saya, lakonannya juga paling menyerlah berbanding barisan pelakon lain.
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan cara Kacau mengendalikan elemen seram. Cuma, dari segi penceritaan, filem ini tidak banyak menawarkan sesuatu yang baharu kerana masih mengikuti formula yang sudah biasa saya lihat dalam filem-filem seram dengan konsep serupa. Mujur, kehadiran plot twist berjaya memberikan kelainan yang cukup menarik kepada jalan ceritanya.
Apa pun, Kacau masih sebuah filem seram yang berbaloi untuk ditonton, khususnya bagi peminat genre seram serta mereka yang ingin melihat novel terbitan Fixi ini diadaptasikan ke layar perak.
