
Filem tempatan berbahasa Tamil, Rajakkal, memperkenalkan teaser pertamanya yang memberikan gambaran awal mengenai kisah lima sahabat yang kembali bertemu selepas sepuluh tahun membawa haluan masing-masing. Bagaimanapun, pertemuan semula itu dijangka membawa sesuatu yang di luar jangkaan apabila jalan cerita sebenar masih dirahsiakan.
Teaser yang baru dilancarkan itu menampilkan beberapa babak ringkas yang memperkenalkan watak-watak utama, namun tidak banyak mendedahkan konflik yang bakal dihadapi mereka. Persoalan mengenai sebab lima sahabat ini kembali bersama serta apa yang menanti mereka menjadi antara misteri yang cuba diketengahkan menjelang tayangan filem tersebut.
Rajakkal merupakan filem cereka sulung terbitan Shaiz Films yang ditulis dan diarahkan oleh C. Martin Raj. Filem ini dibintangi Irfan Zaini sebagai Kutty, Ravin Rao Santheran sebagai Puli, Thevaguru Suppiah sebagai Saami dan mendiang Parvin Nair Surendran sebagai Gaja. Martin sendiri turut membawakan watak Papa, sekali gus melengkapkan kumpulan lima sahabat berkenaan.
Di sebalik kisah persahabatan yang menjadi teras penceritaannya, Rajakkal turut mempunyai nilai sentimental yang cukup mendalam buat pengarah dan seluruh pasukan produksi susulan pemergian salah seorang pelakonnya, Parvin Nair Surendran.
Menurut Martin, filem tersebut pada asalnya dihasilkan untuk mengangkat kisah persahabatan dan kenangan bersama, namun pemergian Parvin menjadikan karya itu lebih bermakna kepada mereka.
“Ketika kami memulakan Rajakkal, kami mahu menghasilkan sebuah cerita tentang persahabatan dan kenangan. Tetapi selepas kehilangan Parvin, filem ini sendiri menjadi sesuatu yang akan sentiasa dekat di hati kami,” katanya.
Martin turut mengenang komitmen Parvin yang memberikan sepenuh usaha dalam menjayakan watak Gaja. Beliau berharap penonton dapat mengenali sedikit sebanyak keperibadian mendiang menerusi lakonannya, selain menganggap filem ini sebagai peluang buat mereka untuk kembali menyaksikan sahabat yang telah pergi di layar perak.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Shaiz Films, Thulasy Paramanandam, menjelaskan bahawa pihaknya memilih kisah persahabatan sebagai asas penerbitan filem pertama mereka kerana tema tersebut dekat dengan pengalaman kehidupan seharian.
Menurutnya, ramai yang mempunyai sahabat lama dan sering merancang untuk bertemu semula, namun kesibukan serta komitmen masing-masing menyebabkan pertemuan itu terus tertangguh.
“Kebanyakan kita ada kawan yang selalu kita kata mahu jumpa. Mesej sudah dihantar, rancangan sudah dibuat, tetapi kesibukan hidup sering menghalang. Rajakkal membawa sahabat-sahabat ini bersama semula. Saya berharap selepas menontonnya, ada yang akhirnya menghantar mesej: ‘Jom, kita jumpa,’” katanya.
Diterbitkan bersama oleh Shaiz Films dan Dee Jam Studio serta diedarkan oleh Komet Productions, Rajakkal dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 10 Disember 2026. Filem ini akan ditayangkan dalam bahasa Tamil dengan sari kata bahasa Melayu.
