
Saya sebenarnya suka dengan filem-filem yang berpaksikan realisme kerana bagi saya, pendekatan sebegini membuatkan saya berasa lebih dekat dan lebih mudah menjiwai kisah yang cuba disampaikan. Realisme bukan sekadar terletak pada penceritaan, tetapi turut merangkumi pelbagai aspek pembikinan filem, daripada lakonan dan dialog sehinggalah kepada sekecil-kecil perincian yang menjadikan sesebuah cerita itu terasa lebih hidup dan meyakinkan.
Begitulah yang saya rasakan ketika menonton Baga: Esok Untuk Siapa, sebuah filem drama jenayah yang cukup dekat dengan realiti kehidupan. Filem ini bukan sekadar menyampaikan cerita kepada penonton, tetapi berjaya membawa saya menyelami dunia 'Baga', seolah-olah menyaksikan sendiri kehidupan dan permasalahan masyarakat yang dipaparkan dari dekat.
Saya sendiri tidak menyangka bahawa saya akan ‘terkhayal’ ketika menonton filem ini, sedangkan penceritaannya bergerak agak perlahan dan banyak tertumpu pada rutin kehidupan seharian watak-wataknya. Apa yang menarik, filem ini bukanlah sekadar mengangkat kisah kehidupan masyarakat luar bandar atau golongan marhaen, sebaliknya menyelami satu permasalahan sosial yang telah lama membarah dalam masyarakat, iaitu penyalahgunaan dadah, khususnya pil kuda.
Namun, pendekatan penceritaannya berbeza daripada kebanyakan filem jenayah yang biasa kita tonton di layar perak. Ia lebih menyerupai sebuah dokumentari kehidupan yang membawa penonton menyelami dunia penagih dan pengedar dadah secara kecil-kecilan, mengikuti rutin harian mereka serta memperlihatkan bagaimana desakan hidup boleh mendorong seseorang membuat keputusan yang akhirnya menjerumuskan diri ke dalam masalah yang semakin membelenggu.

Berlatarkan sebuah perkampungan nelayan di Terengganu, Baga: Esok Untuk Siapa mengukuhkan lagi elemen realismenya menerusi penggunaan loghat Pantai Timur yang menjadikan suasana dan kehidupan masyarakat yang dipaparkan terasa lebih autentik.
Dialog-dialog yang bersahaja serta perbualan dan interaksi antara watak pula begitu dekat dengan kehidupan seharian, seolah-olah kita sedang mendengar sendiri perbualan masyarakat di sekeliling kita. Keaslian inilah yang menjadi salah satu sebab saya begitu tertarik dengan kisah yang disampaikan dalam filem ini.
Satu lagi aspek yang benar-benar menarik perhatian saya ialah pemilihan barisan pelakonnya. Pengarah Ariff Zulkarnain bukan sahaja teliti dalam menggarap penceritaan dan dialog, malah turut memberikan perhatian terhadap pemilihan pelakon yang sesuai dengan dunia Baga: Esok Untuk Siapa. Pemilihan pelakon yang majoritinya berasal dari Pantai Timur, khususnya Terengganu, memberikan kelebihan tersendiri dari segi penguasaan loghat tempatan dan pembawaan watak, sekali gus menjadikan interaksi mereka terasa lebih autentik dan meyakinkan.
Saya juga terkejut apabila filem ini menampilkan cef selebriti Richard. Saya tidak mahu mendedahkan watak yang dibawakannya, tetapi apa yang boleh saya katakan, kehadirannya bukan sekadar melengkapkan barisan pelakon, malah turut memberikan impak tersendiri menerusi lakonan yang cukup berkesan meskipun hanya muncul seketika.
Terus terang saya katakan, saya sebenarnya agak bimbang untuk memuji filem ini secara berlebihan kerana khuatir sesetengah pembaca akan kecewa sekiranya ia tidak menepati cita rasa mereka. Perlu difahami bahawa Baga: Esok Untuk Siapa bukanlah sebuah filem aksi jenayah yang sarat dengan adegan mendebarkan, jauh sekali sebuah kisah fantasi. Sebaliknya, ia memaparkan realiti kehidupan.

Apabila saya katakan ia sebuah kisah yang berpijak pada realiti, bersedialah untuk mengikuti penceritaan yang bergerak pada tempo agak perlahan. Namun, perlahan tidak bermakna filem ini ketandusan konflik. Ketegangan dibina sedikit demi sedikit, sebelum tekanan yang dihadapi Jani semakin terasa dan mula menguji emosi penonton.
Jika anda berjaya menyelami jiwa Jani, lakonan Amir Ahnaf, anda juga akan dapat merasakan keresahan dan tekanan yang semakin menghimpit dirinya apabila dia kian terdesak mencari jalan keluar daripada masalah yang membelenggu kehidupannya.
Kisah Jani sebenarnya hanyalah secebis daripada sisi gelap permasalahan dadah dalam masyarakat. Jika saya mahu mengupas dan menganalisis setiap aspek kehidupannya dalam filem ini, percayalah, ulasan ini pasti akan menjadi jauh lebih panjang.
Apa yang boleh saya katakan, Baga: Esok Untuk Siapa bukan sekadar memperlihatkan kesan buruk penagihan dadah, tetapi turut menyelami selok-belok kegiatan pengedarannya, daripada penglibatan tokan besar dan individu di sebalik rangkaian tersebut sehinggalah kepada harga yang terpaksa dibayar oleh mereka yang terjerumus ke dalam dunia ini.
Pada awal ulasan ini, saya ada menyentuh tentang ketelitian Baga: Esok Untuk Siapa dalam memberikan perhatian terhadap perincian kecil yang menjadikan dunia filem ini begitu meyakinkan. Pemilihan pelakon dan penggunaan loghat tempatan sudah cukup menyerlahkan keaslian penceritaannya. Namun, Ariff Zulkarnain tidak berhenti di situ. Beliau turut memberikan perhatian terhadap penampilan watak, latar tempat dan reka bentuk produksi bagi memastikan dunia yang dipaparkan terasa sedekat mungkin dengan kehidupan sebenar.
Saya pernah menyentuh perkara yang hampir sama ketika mengulas filem Indonesia, Operasi Pesta Copet. Antara aspek yang saya suka tentang filem tersebut ialah bagaimana pengarahnya menggambarkan kehidupan watak-watak utama yang datang daripada golongan bawahan dalam masyarakat. Penampilan mereka yang comot, selekeh dan jauh daripada imej yang digilap menjadikan gambaran kehidupan serba kekurangan itu terasa begitu meyakinkan.

Pendekatan yang sama turut dapat dilihat dalam Baga. Ariff benar-benar memberikan perhatian terhadap cara kehidupan masyarakat marhaen digambarkan, bukan sekadar melalui penampilan watak, tetapi juga persekitaran yang menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka.
Malah, dalam babak-babak biasa seperti membeli-belah atau makan di kedai, pemilihan lokasi terasa begitu bersesuaian dengan latar kehidupan watak-wataknya. Perincian sebegini mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi saya, ia memainkan peranan besar dalam menjadikan dunia Baga terasa hidup dan meyakinkan.
Saya benar-benar menghargai usaha Ariff dalam mengetengahkan realisme menerusi filem arahannya ini. Namun, satu lagi perkara yang membuatkan saya begitu kagum ialah cara beliau mengakhiri kisah Baga: Esok Untuk Siapa. Penamatnya bukan sahaja di luar jangkaan, malah cukup emosional, dengan pendekatan penyuntingan yang begitu menarik dan berani.
Jarang sekali saya melihat filem tempatan menggunakan pendekatan penceritaan bukan linear pada bahagian klimaks dan penamatnya. Cara Ariff menyusun babak klimaks dan penamat membuatkan saya tersentak seketika, cuba memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku sebelum menyedari beberapa butiran kecil yang membezakan antara satu babak dengan babak yang lain. Bagi saya, pendekatan ini bukan sahaja menjadikan penamat Baga lebih menarik dan emosional, malah memperlihatkan keberanian Ariff untuk bereksperimen dengan struktur penceritaannya.

Daripada pembinaan cerita yang bergerak secara slow-burn sehinggalah kepada penyusunan babak klimaks dan penamatnya yang begitu kreatif, saya akui agak sukar untuk mencari kelemahan yang benar-benar mengganggu pengalaman saya menonton filem arahan Ariff ini.
Secara keseluruhannya, saya benar-benar kagum dengan Baga: Esok Untuk Siapa. Sebuah filem yang bagi saya hampir sempurna, dan sekali lagi saya mahu menekankan perkataan ini, realistik. Tahun ini sememangnya tahun Ariff Zulkarnain.
Selepas menghasilkan siri yang menarik menerusi Good Boys Go to Heaven, beliau sekali lagi membuktikan kemampuannya melalui filem cereka pertama arahannya yang cukup memberangsangkan. Saya hadir menonton filem ini bukan untuk mencari kesalahan, tetapi sepanjang tayangannya, saya benar-benar sukar menemui sebarang kelemahan yang boleh menjejaskan pengalaman menonton saya.
Dengan barisan pelakon yang mantap seperti Amir Ahnaf, Amirah Razak, Wan Hanafi Su, Cech Adrea dan tidak ketinggalan Idham Maulana yang cukup menggerunkan menerusi watak antagonisnya, ditambah pula dengan penceritaan yang ringkas tetapi mempunyai struktur yang kukuh serta pendekatan realisme yang diterapkan dengan begitu teliti, saya tidak teragak-agak untuk memberikan markah sempurna kepada filem ini.
Jadi, jika anda seorang peminat filem atau menggelarkan diri sebagai seorang cinephile, adalah menjadi satu kesalahan besar jika filem ini langsung tidak membangkitkan keinginan anda untuk menontonnya.
.. kerana.. Serius, Baga: Esok Untuk Siapa memang terbaik!
