
Selepas Baga: Esok Untuk Siapa, saya sekali lagi dibawa menyelami realiti kehidupan masyarakat Pantai Timur menerusi sebuah lagi filem tempatan, Sayang Sayang, arahan Tang Hsiang-Chu. Walaupun kedua-duanya berteraskan genre drama dan pendekatan realisme sosial, terdapat perbezaan ketara dari segi fokus penceritaan dan isu yang diketengahkan.
Jika Baga: Esok Untuk Siapa mengangkat kisah jenayah yang berakar daripada realiti sosial masyarakat setempat, Sayang Sayang pula lebih memfokuskan kehidupan seharian tiga remaja pekak serta hubungan mereka dengan keluarga masing-masing.
Secara jujur, saya tidak begitu mengenali barisan pelakon Sayang Sayang, kecuali Farah Ahmad, Khir Rahman dan Amir Ahnaf. Mhia Firdaus pula jarang saya lihat di layar, apatah lagi pelakon seperti Nandagopall dan Sasha Tang yang agak asing bagi saya.
Namun, perkara itu sedikit pun tidak mengurangkan keterujaan saya untuk menonton filem ini. Sebaliknya, kehadiran wajah-wajah yang kurang saya kenali memberikan peluang untuk saya menilai bakat mereka tanpa dipengaruhi persepsi atau pengalaman menonton lakonan mereka sebelum ini. Malah, saya mengharapkan sesuatu yang lebih segar daripada barisan pelakon tersebut.

Premis Sayang Sayang kelihatan agak ringkas pada zahirnya. Filem ini mengisahkan kehidupan tiga remaja pekak bersama keluarga masing-masing, menerusi tiga rangkaian kisah yang memberikan tumpuan kepada konflik dan hubungan kekeluargaan mereka.
Namun, di sebalik kesederhanaan premis tersebut, kisah ketiga-tiga remaja ini sebenarnya saling berkait, dengan jerung paus menjadi simbol yang menghubungkan perjalanan hidup mereka. Perbezaan agama, kepercayaan dan bangsa turut memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan antara watak, memperlihatkan bagaimana perbezaan tersebut boleh menjadi pemisah, tetapi pada masa yang sama mampu menyatukan mereka.
Saya tidak menolak jika ada yang beranggapan bahawa Sayang Sayang merupakan sebuah filem yang kompleks dan memerlukan pemikiran kritis untuk memahami serta mentafsir maksud yang cuba disampaikan menerusi babak-babak tertentu, khususnya pada penghujung filem.
Di sebalik premisnya yang sederhana, filem ini sebenarnya sarat dengan makna tersirat yang menyentuh persoalan kehidupan, kasih sayang yang tidak dizahirkan secara langsung serta kepercayaan yang dipegang oleh setiap kaum.
Namun, di sebalik kekuatan penceritaannya, saya berdepan masalah dengan tempo filem ini yang agak perlahan. Sayang Sayang bukan sahaja mengajak penonton berfikir, malah turut menguji ketahanan mata untuk terus memberikan tumpuan kepada layar tanpa terlelap.
Mujur, beberapa bahagian dalam filem ini menyajikan pemandangan yang cukup memukau, khususnya keindahan pantai Terengganu dan panorama dasar lautnya. Malah, penggunaan kesan visual untuk menghasilkan jerung paus juga boleh dikatakan agak kemas dan meyakinkan, sekali gus menjadi antara kekuatan filem ini.

Seperti yang saya nyatakan pada awal ulasan, kehadiran wajah-wajah yang kurang saya kenali ternyata memberikan kejutan yang cukup menyenangkan. Pujian harus diberikan kepada tiga pelakon muda, iaitu Nandagopall, Mhia Firdaus dan Sasha Tang, yang berjaya memberikan persembahan cukup meyakinkan tanpa bergantung pada dialog pertuturan. Ketiga-tiganya memperlihatkan kemampuan menyampaikan emosi dan menghidupkan watak masing-masing menerusi ekspresi wajah, bahasa tubuh serta bahasa isyarat.
Namun, Nandagopall yang membawakan watak Ajay paling mencuri perhatian saya. Selain memegang watak remaja pekak, Ajay turut mempunyai sindrom Tourette, sekali gus menuntut penghayatan yang lebih teliti terhadap tingkah laku dan pergerakan watak tersebut. Nandagopall berjaya menterjemahkan kedua-dua keadaan ini dengan begitu meyakinkan, menjadikan persembahannya antara yang paling menonjol dalam filem ini.
Walaupun memiliki pelbagai kekuatan, saya tetap berpendapat bahawa tempo penceritaannya yang agak perlahan boleh menyebabkan sesetengah penonton cepat berasa bosan. Keadaan ini sekali gus mengurangkan rewatch value filem tersebut, termasuk bagi mereka yang mampu bertahan sehingga ke penghujung cerita.
Tambahan pula, pendekatan drama sosial yang lebih menekankan kehidupan seharian, ditambah dengan tempo yang perlahan, mungkin membuatkan penonton kurang terdorong untuk menontonnya berulang kali. Pendek kata, Sayang Sayang sebuah filem yang bagus, tetapi bagi saya, cukup sekadar menontonnya sekali sahaja.
