
Disney dan Netflix mungkin bersaing dalam pasaran penstriman, tetapi itu tidak menghalang kedua-duanya daripada menjalinkan kerjasama baharu.
Disney Entertainment dilaporkan telah menandatangani perjanjian pelesenan kandungan yang lebih luas dengan Netflix, membolehkan sejumlah filem dan siri milik Disney ditawarkan di platform tersebut untuk tempoh tertentu. Perjanjian itu bersifat tidak eksklusif, bermakna judul yang tersedia di Disney+ dan Hulu akan terus kekal di platform berkenaan.
Antara yang terawal menyertai Netflix ialah dua musim pertama siri Percy Jackson and the Olympians, yang akan tersedia secara global bermula 4 Oktober untuk tempoh tiga bulan.
Langkah itu dibuat menjelang tayangan musim ketiga Percy Jackson and the Olympians di Disney+ pada 20 November 2026. Musim baharu tersebut akan mengadaptasi The Titan's Curse, buku ketiga dalam siri novel karya Rick Riordan.
Lima filem Ice Age turut akan memasuki Netflix di seluruh dunia pada 4 Oktober, juga untuk tempoh tiga bulan. Ia merangkumi Ice Age (2002), Ice Age: The Meltdown (2006), Ice Age: Dawn of the Dinosaurs (2009), Ice Age: Continental Drift (2012) dan Ice Age: Collision Course (2016).
Kehadiran lima filem tersebut dibuat menjelang kemunculan filem keenam francais itu, Ice Age: Boiling Point, yang dijadualkan ke pawagam pada 5 Februari 2027.
Beberapa siri televisyen semasa turut termasuk dalam perjanjian tersebut. Musim 1 hingga 4 Will Trent akan tersedia di Netflix secara global pada 3 November, sebelum musim kelimanya ditayangkan di ABC pada awal 2027.
Dua musim Shifting Gears pula akan memasuki Netflix di Amerika Syarikat pada 1 Disember sebelum diperluaskan ke pasaran antarabangsa pada Januari 2027. Musim ketiganya dijadualkan ditayangkan di ABC pada 7 Januari 2027.
Sementara itu, tiga musim pertama Tracker akan tersedia di Netflix di luar Amerika Syarikat bermula 26 Februari 2027 menerusi perjanjian pelesenan berbilang tahun.
Netflix juga bakal menerima beberapa filem daripada Walt Disney Animation Studios dan Pixar. Bermula awal 2027, judul seperti Soul, Elio dan Raya and the Last Dragon akan ditawarkan di Netflix secara global, namun tarikh pelancaran dan ketersediaannya akan berbeza mengikut wilayah.
Beberapa siri lama milik Disney Entertainment turut menyertai katalog Netflix, termasuk Felicity, Revenge, Army Wives, Fresh Off the Boat dan This Is Us. Ketersediaan setiap siri juga bergantung kepada wilayah.
Perjanjian ini menyaksikan Disney menggunakan katalog sedia adanya untuk menjangkau penonton yang lebih luas di Netflix, selain menjana pendapatan tambahan daripada pelesenan kandungan. Pada masa sama, Disney tidak mengubah strategi utamanya untuk mengekalkan sebahagian besar kandungan berjenama Disney secara eksklusif di platform dan rangkaian televisyennya sendiri.
Judul-judul baharu ini akan menyertai beberapa kandungan milik Disney yang sudah dilesenkan kepada Netflix, antaranya Grey's Anatomy, Arrested Development, Scandal dan Black-ish.
