Kakimuvee
Berita

Robert Pattinson Sah Bawa Watak James Bond

Robert Pattinson sebagai James Bond

Selepas berbulan-bulan menjadi teka-teki, akhirnya identiti pelakon yang bakal membawa watak James Bond baharu terjawab apabila Amazon MGM Studios secara rasmi mengumumkan Robert Pattinson sebagai pengganti Daniel Craig untuk francais perisik ikonik itu.

Pelakon yang terkenal menerusi The Batman itu bakal menggalas watak ejen 007 dalam filem James Bond seterusnya yang akan diarahkan oleh Denis Villeneuve, sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai siapa yang bakal meneruskan legasi watak tersebut.

Pattinson dalam satu kenyataan meluahkan rasa teruja dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk membawa watak yang cukup sinonim dengan sejarah perfileman dunia.

"James Bond merupakan antara watak paling legenda dalam sejarah perfileman. Diberi kepercayaan untuk membawa watak 007 adalah satu penghormatan yang amat besar buat saya.

"Saya sangat berterima kasih kepada Denis, Amy, David, Tanya dan seluruh pasukan Amazon MGM Studios kerana memberikan kepercayaan ini. Mengatakan bahawa watak ini adalah impian yang menjadi kenyataan pun sebenarnya belum cukup untuk menggambarkan perasaan saya. Saya benar-benar teruja untuk bekerjasama dengan pasukan hebat ini," katanya.

Sementara itu, Villeneuve yang turut bekerjasama dengan Pattinson menerusi filem Dune: Part Three menyifatkan pemilihan pelakon tersebut sebagai permulaan kepada era baharu James Bond.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelakon hebat yang terlibat sepanjang proses pemilihan ini. Kami bertemu dengan ramai bakat luar biasa, tetapi hanya seorang yang boleh menjadi 007.

"Saya sangat gembira dapat mengalu-alukan Robert Pattinson sebagai James Bond baharu. Dia memiliki karisma klasik yang cukup sinonim dengan watak 007, tetapi pada masa sama mampu membawa sesuatu yang segar. Saya tidak sabar untuk memulakan penggambaran bersamanya," jelas Villeneuve.

Filem James Bond baharu ini akan diterbitkan oleh Amy Pascal, yang sebelum ini terlibat dalam francais Spider-Man dan beberapa filem Bond, bersama David Heyman yang terkenal sebagai penerbit siri Harry Potter. Tanya Lapointe pula bertindak sebagai penerbit eksekutif, manakala Steven Knight diberi tanggungjawab menulis lakon layar.

Pemilihan Pattinson menyaksikan beliau mengambil alih watak James Bond selepas Daniel Craig membawanya dalam lima buah filem bermula dengan Casino Royale (2006) dan berakhir menerusi No Time to Die (2021). Filem terakhir Craig menyaksikan perjalanan Bond berakhir dengan pengorbanan dirinya demi menyelamatkan dunia.

Pengumuman ini juga menandakan perubahan besar buat francais tersebut selepas Amazon MGM Studios mengambil alih kawalan kreatif James Bond daripada penerbit lamanya, Michael G. Wilson dan Barbara Broccoli.

Sebelum Pattinson diumumkan, beberapa nama besar pernah dikaitkan dengan watak 007, antaranya Aaron Taylor-Johnson, Callum Turner, Jack Lowden, Nicholas Hoult, Josh O'Connor dan Harris Dickinson. Malah, nama Jacob Elordi serta penyanyi Harry Styles turut menjadi perhatian

Sumber: Variety

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Punca Kematian Hayden Panettiere Didedahkan, Disahkan Sebagai Kemalangan

Karim Khan

Michael Bay Dalam Rundingan Untuk Kembali Arah Transformers, Steven Spielberg Terajui Kreatif

Karim Khan

Russo Brothers Rancang Satu Lagi Filem Avengers Selepas Secret Wars?

Karim Khan

D23 Asia Bakal Berlangsung Di Singapura Pada Jun 2027

Karim Khan

Tim Curry, Bintang The Rocky Horror Picture Show Dan It, Meninggal Dunia Pada Usia 80 Tahun

Karim Khan

Meme Seram ‘Siren Head’ Kini Diangkat Menjadi Filem Hollywood

Karim Khan

Leave a Comment