
Walaupun tiada sebarang petunjuk atau easter egg mengenai Batman dalam filem Clayface, itu tidak bermakna hero ikonik DC tersebut tidak wujud dalam dunia yang sama. Sebaliknya, DC Studios mengesahkan bahawa Batman sebenarnya sudah aktif di Gotham City ketika peristiwa dalam filem seram terbaharu itu berlangsung.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bersama DC Studios, Peter Safran, ketika ditemu bual oleh Collider. Menurut Safran, pihak studio masih belum mendedahkan apa yang sedang dilakukan oleh Batman sepanjang peristiwa Clayface, namun mengesahkan bahawa wira tersebut sememangnya berada di Gotham.
"Kami belum benar-benar membincangkan apa yang dilakukannya ketika peristiwa Clayface berlangsung. Tetapi Batman memang berada di sana," jelas Safran.
Beliau turut menyifatkan Clayface sebagai langkah pertama DC Studios dalam memperkenalkan Gotham City versi live-action yang menjadi sebahagian daripada DC Universe (DCU) baharu.
Sebelum ini, kewujudan Batman dalam DCU telah diberikan petunjuk menerusi siri animasi Creature Commandos. Dalam episod keenam musim pertama, kelibat Batman diperlihatkan berdiri di atas sebuah bangunan sambil memerhatikan kelab malam milik Penguin.
Kewujudan Batman sekali lagi disentuh dalam episod keenam siri Lanterns, apabila Hal Jordan menyebut tentang penggunaan Bat-Signal di Gotham. Dialog tersebut menjadi rujukan pertama secara langsung terhadap Batman dalam produksi live-action DCU.
Meskipun Clayface menampilkan pendekatan seram yang lebih gelap dan ganas berbanding kebanyakan filem adiwira, ia tetap merupakan sebahagian daripada kesinambungan utama DCU yang dibangunkan oleh James Gunn dan Peter Safran.
Ini bermakna Gotham City yang diperkenalkan dalam Clayface bukanlah Gotham yang sama seperti dalam filem The Batman arahan Matt Reeves. Kedua-duanya berada dalam dunia berbeza, dengan versi Batman lakonan Robert Pattinson kekal sebagai sebahagian daripada kesinambungan tersendiri.
Bagaimanapun, DC Studios masih belum mengumumkan pelakon yang bakal membawa watak Batman dalam DCU, mahupun perkembangan lanjut mengenai filem solonya.
Dalam masa yang sama, DC Studios turut mengembangkan dunia Gotham menerusi projek yang memfokuskan watak antagonis Batman. Selain Clayface, watak Poison Ivy juga dilaporkan bakal menerima siri live-action tersendiri yang tidak mempunyai kaitan dengan dunia The Batman arahan Matt Reeves.
Dengan Clayface menjadi pengenalan rasmi Gotham City dalam versi live-action DCU, persoalan yang masih belum terjawab adalah bila Batman akhirnya akan muncul secara fizikal dalam dunia sinematik baharu ini.
Clayface telahpun memulakan tayangan di pawagam bermula harini. Anda boleh membaca ulasan Clayfacedisini.
