Kakimuvee
Review Filem

Review Street Fighter: Aksi Padu, ‘Masuk Air,’ Dan Confirm Puas Hati!

Saya rasa, saya dah jumpa calon filem paling kelakar, paling fun dan paling menghiburkan untuk tahun ini. Dan filem itu tidak lain dan tidak bukan ialah Street Fighter!

Pada awalnya, saya menjangkakan Street Fighter akan mengikut formula seperti Mortal Kombat, filem adaptasi permainan video yang tampil dengan pendekatan aksi lebih serius. Namun, segala jangkaan itu ternyata meleset apabila filem ini memilih jalan yang cukup berbeza, mempersembahkan hiburan penuh aksi, komedi dan kegilaan yang langsung tidak saya jangkakan.

Sepuluh minit pertama Street Fighter sudah cukup untuk membuatkan saya meremang bulu roma dan terpegun dengan apa yang dipaparkan di layar. Filem ini membuka tirainya dengan perlawanan akhir World Warrior Tournament yang melibatkan Ryu, dipertontonkan menerusi animasi 2D yang cukup memukau.

Setiap pergerakan, perincian visual dan gaya animasinya kelihatan begitu kemas dan cantik, menjadikan babak pembukaan ini antara momen yang paling mengagumkan dalam filem tersebut.

Kita sering mendengar keluhan peminat apabila sesebuah filem adaptasi tidak mengekalkan elemen ikonik daripada permainan video asal. Daripada penampilan dan kostum sehinggalah senjata, gaya pertarungan serta gerakan istimewa yang menjadi identiti setiap watak, semuanya sering menjadi perhatian dan perbandingan dalam kalangan peminat.

Ternyata, Street Fighter seolah-olah memahami apa yang selama ini diharapkan peminat daripada sebuah filem adaptasi. Pelbagai homage dan easter egg diselitkan sepanjang penceritaan, termasuk gerakan ikonik yang cukup sinonim dengan karakter-karakter dalam permainan video asal.

Selain itu, Street Fighter turut memberikan penghormatan kepada filem klasik berjudul sama yang diterbitkan pada 1994, lakonan Jean-Claude Van Damme. David Dastmalchian yang membawakan watak M. Bison turut mengulangi dialog ikonik, “But for me, it was Tuesday”, yang pernah diungkapkan oleh mendiang Raul Julia ketika melakonkan watak sama dalam filem terdahulu.

Artikel Berkaitan:  Review Insidious: Out of the Further - Seram Popcorn Yang Menghiburkan

Bagi saya, penghormatan ini bukan sekadar fan service untuk memuaskan hati peminat, tetapi memainkan peranan dalam mengekalkan identiti Street Fighter dalam sebuah filem adaptasi permainan video. Daripada gerakan ikonik sehinggalah rujukan kepada filem klasiknya, elemen-elemen ini menjadikan versi baru terasa lebih dekat dengan sumber asal, di samping membangkitkan nostalgia buat penonton yang pernah membesar dengan permainan video dan filem Street Fighter pada era 90-an.

Antara kekuatan utama filem ini ialah aksi yang cukup padat dan komedinya yang benar-benar menjadi. Pertarungan antara karakter bukan sahaja berlangsung di dalam gelanggang, malah turut berlaku di pelbagai lokasi, memberikan ruang untuk kita menyaksikan mereka berentap sesama sendiri, ala-ala pertarungan jalanan yang bersesuaian dengan judul filem.

Cuma, tidak semua karakter berpeluang mempamerkan gerakan paling ikonik masing-masing. Saya mengesyaki pengarah sengaja tidak menunjukkan beberapa gerakan tersebut dan percaya, ia akan ditunjukkan dalam filem seterusnya - sekiranya ada. Bagaimanapun, penonton sekurang-kurangnya masih berpeluang menyaksikan Ryu melepaskan Hadouken dan M. Bison menggunakan serangan Psycho Crusher yang cukup sinonim dengan kedua-dua karakter tersebut.

Antara elemen yang paling saya gemari dalam Street Fighter ialah komedinya. Humor dalam filem ini disampaikan dengan cukup bersahaja, kadangkala 'masuk air', tetapi menjadi kerana muncul pada saat yang tidak dijangka.

Filem ini tidak bergantung pada lawak slapstik atau jenaka yang terasa dipaksa, sebaliknya lebih memanfaatkan situasi dan interaksi antara karakter untuk mencetuskan adegan lucu. Ditambah pula dengan comedic timing yang tepat, setiap jenaka terasa spontan dan benar-benar menghiburkan.

Di sebalik aksi yang over-the-top dan komedi bersahaja, Street Fighter masih mempunyai beberapa kelemahan, khususnya dari segi suntingan dan penceritaan. Terdapat beberapa babak yang terasa seperti dilangkau begitu sahaja, menyebabkan perjalanan cerita kurang konsisten dan adakalanya terlalu tergesa-gesa.

Artikel Berkaitan:  Review Other Mommy: Sekadar Mengejutkan, Bukan Menakutkan

Dengan durasi hampir dua jam, sebahagian besar filem ini dipenuhi adegan pertarungan sehingga perkembangan cerita tidak diberikan ruang yang secukupnya. Seolah-olah pengarah lebih mengutamakan hiburan menerusi aksi yang padat dan komedi berbanding membina sebuah penceritaan yang lebih kemas.

Hasilnya, Street Fighter berjaya memberikan hiburan yang cukup memuaskan, tetapi kejayaan tersebut tidak dapat menutup sepenuhnya kelemahan naratifnya.

Dari aspek teknikal, Street Fighter tidak mengecewakan. Kesan visualnya kelihatan kemas dan tidak terlalu menyerupai kartun, meskipun filem ini sarat dengan aksi yang melangkaui logik dunia sebenar.

Namun, apa yang paling menyerlah bagi saya ialah runut bunyinya yang memang tip-top! Filem ini banyak menggunakan muzik ikonik daripada permainan video asal, termasuk lagu tema Guile dan Ryu yang cukup dikenali dalam kalangan peminat Street Fighter.

Pemilihan pelakon juga menjadi antara kekuatan filem ini. Boleh dikatakan, hampir setiap karakter diberikan pelakon yang benar-benar on point. Callina Liang cukup sesuai membawakan watak Chun-Li, begitu juga Andrew Koji dan Noah Centineo sebagai Ryu dan Ken. Cody Rhodes dan Vidyut Jammwal turut memiliki penampilan yang meyakinkan sebagai Guile dan Dhalsim.

Cuma, David Dastmalchian mungkin perlu diberikan penampilan fizikal yang lebih menyerupai M. Bison dalam permainan video asal. Walaupun dia memiliki karisma yang cukup sesuai untuk watak antagonis tersebut, penampilannya masih belum benar-benar mencerminkan karakter ikonik itu.

Secara keseluruhannya, Street Fighter benar-benar memberikan sesuatu yang di luar jangkaan saya. Banyak perkara yang menjadikan filem ini menghiburkan dan sukar dilupakan, daripada aksi yang penuh gaya, komedi yang menjadi, sehinggalah barisan pelakon yang berjaya menghidupkan karakter-karakter kegemaran peminat.

Walaupun mempunyai kelemahan dari segi penceritaan, Street Fighter tetap berjaya memberikan pengalaman menonton yang cukup menyeronokkan, khususnya menerusi pendekatannya yang tidak terlalu serius.

Artikel Berkaitan:  Review Spider-Man: Brand New Day - Kisah Peter Parker Melawan Dirinya Sendiri

Street Fighter mengisahkan dua pejuang jalanan yang telah lama terpisah, Ryu dan Ken Masters, yang kembali bersatu selepas direkrut oleh seorang wanita misteri bernama Chun-Li untuk menyertai kejohanan seni bela diri berprestij, World Warrior Tournament.

Street Fighter kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Rating: 4.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review The End of Oak Street: Filem Dinosaur Yang Menarik dan Segar

Karim Khan

Review Jangan Buang Ibu: Tidak Sempurna, Tetapi Berjaya Menyentuh Hati

Karim Khan

[Review Filem] Evil Dead Burn: Keganasan Tanpa Henti Dalam Ansuran Terbaru Francais Ikonik

Karim Khan

Review Chelot: Gandingan 3 Pelakon Hebat Dalam Aksi Mendebarkan

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Review The Beast: Gred B Actioner Yang Menghiburkan

Karim Khan

Leave a Comment