
Sempena Majlis Soft Launching Filem Takluk 2: Op Daulat yang berlangsung di Kementerian Pertahanan harini, GSC Movies telah mengeluarkan trailer terbaru filem aksi ketenteraan tempatan, Takluk 2: Op Daulat, memberikan lebih banyak gambaran mengenai sebuah lagi karya yang mengangkat kisah perjuangan pasukan keselamatan negara.
Filem yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar pencerobohan Lahad Datu pada 2013 ini diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, yang turut bertanggungjawab menulis lakon layarnya.
Takluk 2: Op Daulat mengangkat peristiwa pencerobohan sekumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, yang bermula pada 11 Februari 2013. Insiden tersebut membawa kepada pelaksanaan Operasi Daulat, apabila pasukan keselamatan negara digerakkan bagi menentang penceroboh dan mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Pertempuran berkenaan menyaksikan 12 anggota keselamatan negara gugur ketika menjalankan tugas, manakala enam orang awam turut terkorban. Seramai 56 pengganas Sulu juga dilaporkan terbunuh sepanjang operasi tersebut.
Filem ini menampilkan barisan pelakon yang diterajui Syafiq Kyle sebagai DSP Zambri, Remy Ishak sebagai Mejar Haikal dan Kamal Adli sebagai DSP Jai.
Mereka turut digandingkan dengan Fadlan Hazim sebagai Sarjan Apot, Eman Manan sebagai Raja Iskandar, Rahim Razali sebagai Raja Ilman, Nas T sebagai Mejar Adib, Luqman Hafidz sebagai Azran dan Taufiq Hanafi sebagai Leftenan Ustat.
Antara pelakon lain yang turut terlibat termasuk Sara Ali, Anas Ridzuan, Riezman Khuzaimy, Haeriyanto Hassan, Josiah Hogan, Mimi Lana, Hawa Rizwana dan Zul Ariffin.
Dari segi penerbitan, Takluk 2: Op Daulat merupakan kerjasama Multimedia Entertainment, Skop Productions, Astro, Golden Screen Cinemas dan AG Asia Group, dengan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Filem ini diterbitkan oleh Datuk Steven Lim dan Keoh Chee Ang, manakala Datuk Dr. Yusof Haslam serta Dato' Khairul Anwar Salleh turut terlibat sebagai penerbit eksekutif.
Takluk 2: Op Daulat dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 26 November 2026, dengan edaran oleh GSC Movies.
