Kakimuvee
Review Filem

Review Digger: Tom Cruise Pamer Lakonan Terbaik Dalam Kerjayanya

Digger Tom Cruise

Memenatkan! Tetapi inilah filem lakonan Tom Cruise paling mantap yang pernah saya saksikan setakat ini. Itulah gambaran yang boleh saya berikan kepada Digger, sebuah filem komedi satira arahan Alejandro G. Iñárritu.

Filem ini mengisahkan seorang taikun minyak bernama Digger Rockwell yang bertanggungjawab terhadap bencana ekologi selepas salah satu telaga minyak miliknya di kawasan Artik meletup, menyebabkan bongkah ais gergasi bergerak menuju ke Eropah dan bakal mencetuskan bencana alam yang lebih dahsyat.

Digger menggunakan konsep cerita dalam cerita, dengan naratif utamanya berlatarkan sesi latihan sebuah pementasan teater yang menyindir Digger Rockwell, sambil meneroka konflik dalaman Curtis Markson yang bimbang dirinya tidak mampu menjiwai watak Rockwell dengan sebaiknya.

Tom Cruise memainkan dua peranan dalam filem ini, iaitu sebagai Digger Rockwell sendiri dan Curtis Markson, seorang pelakon teater yang sedang mempersiapkan diri untuk membawakan watak taikun minyak tersebut.

Ini bukan kali pertama Alejandro menggunakan konsep cerita dalam cerita. Pendekatan yang hampir sama pernah diterapkannya dalam Birdman, namun kali ini, cara penceritaannya sedikit berbeza. Penonton seolah-olah dibawa masuk ke dalam perspektif Curtis setiap kali dia mula menjiwai watak Rockwell ketika sesi latihan berlangsung, sebelum penceritaan beralih ke dunia Rockwell sendiri, seakan-akan peristiwa tersebut benar-benar sedang berlaku.

Dengan Tom Cruise membawakan dua watak berbeza, ada satu perkara menarik yang boleh diperhatikan. Sebagai Curtis, Cruise menggambarkan seorang pelakon yang sentiasa dibelenggu kebimbangan dan rasa tidak yakin terhadap kemampuannya untuk menjiwai watak Rockwell, ditambah pula dengan pelbagai masalah di sekelilingnya yang mengganggu proses penghayatan karakter tersebut.

Sebaliknya, sebagai Rockwell pula, Cruise menampilkan personaliti seorang taikun minyak yang tamak, manipulatif dan teguh dengan pendiriannya. Sepanjang filem ini, kita dapat melihat bagaimana kedua-dua karakter tersebut perlahan-lahan seolah-olah menyatu, sehingga Curtis benar-benar kelihatan berjaya menghidupkan watak Rockwell.

Di sinilah kehebatan lakonan Tom Cruise paling terserlah. Dia bukan sekadar memainkan dua watak berbeza, tetapi turut memperlihatkan perubahan seorang pelakon teater yang semakin tenggelam dalam karakter yang dibawakannya.

Selain lakonan Tom Cruise, saya juga tertarik dengan cara Alejandro mengolah penceritaan Digger, khususnya bagaimana dia mengaburkan sempadan antara satira dan realiti, bukan sahaja dalam dunia filem itu sendiri, malah turut menghubungkannya dengan realiti kehidupan kita.

Sebaik sahaja kita mengetahui bahawa babak pembukaan sebenarnya hanyalah sebahagian daripada latihan pementasan teater, kita mula menganggap bahawa peristiwa yang dipaparkan selepas itu juga sekadar sebahagian daripada pementasan tersebut.

Namun, seiring perkembangan cerita, kebenaran mula terserlah. Pementasan tersebut sebenarnya berdasarkan peristiwa yang pernah berlaku beberapa tahun sebelumnya, sekali gus mengubah persepsi penonton terhadap apa yang dianggap sebagai fiksyen dan realiti dalam dunia filem tersebut.

Malah, sindiran yang dipaparkan bukan sekadar berkisar tentang peristiwa dalam dunia Digger, tetapi turut mencerminkan realiti masyarakat hari ini. Daripada politik, golongan elit dan ketamakan taikun minyak sehinggalah isu perubahan iklim serta sikap hipokrit manusia yang mengecam kerosakan alam sekitar tetapi masih bergantung pada minyak, semuanya menjadi sasaran satira filem ini.

Ketika pementasan teater dalam filem ini mengejek dan menyindir Digger Rockwell, secara tersiratnya, Alejandro menggunakan satira tersebut sebagai refleksi terhadap realiti dunia yang kita hadapi hari ini.

Di sebalik konsep penceritaan yang unik dan prestasi lakonan Tom Cruise yang cukup hebat, saya mempunyai sedikit masalah dengan interaksi antara watak dalam Digger. Filem ini terasa agak berserabut dengan perbualan antara watak yang seolah-olah tidak pernah berhenti, sehingga ada kalanya memenatkan untuk mengikuti dan memproses setiap dialog yang dituturkan.

Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila kebanyakan dialog turut sarat dengan unsur satira yang memerlukan penonton memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memahami maksud di sebaliknya. Ditambah pula dengan jalan cerita yang kompleks, Digger bukanlah sebuah filem yang mudah untuk diikuti, terutama apabila penonton perlu sentiasa menghubungkan setiap perbualan dengan perkembangan cerita.

Dari sudut teknikal, Alejandro bersama sinematografer Emmanuel Lubezki menampilkan pendekatan visual yang unik dalam menghidupkan sebuah satira bencana berskala besar. Penggunaan pencahayaan yang terang dengan tona warna yang pucat bukan sahaja membentuk identiti visual Digger, malah turut memperkukuh gambaran dunia yang sedang berdepan malapetaka global serta mencerminkan kekosongan jiwa watak utamanya.

Seawal permulaan filem, kediaman Digger yang dipenuhi haiwan awetan sudah cukup memberikan gambaran tentang kerakusan manusia terhadap alam semula jadi, khususnya eksploitasi terhadap haiwan. Perincian reka bentuk produksi ini menjadi simbol kepada salah satu tema utama Digger, sekali gus memberikan gambaran awal tentang sifat dan pemikiran watak utamanya.

Bagi memperkukuh unsur satira melalui persembahan watak-wataknya, Lubezki turut memanfaatkan komposisi bingkai yang dinamik dengan memberikan penekanan terhadap ekspresi wajah dan bahasa tubuh. Pendekatan ini membolehkan penonton menghayati setiap reaksi dan gerak-geri watak dengan lebih dekat, sekali gus memperkuatkan kesan satira yang ingin disampaikan.

Selain itu, penggunaan skor muzik yang dinamik turut memainkan peranan penting dalam membentuk suasana setiap babak. Ketika interaksi antara watak menjadi semakin padat dan tegang, skor muzik turut berubah menjadi lebih agresif, sekali gus menambahkan tekanan terhadap suasana babak tersebut.

Sebaliknya, dalam babak yang lebih tertumpu kepada perbualan dua hala atau ketika Digger sedang memikirkan sesuatu, muziknya menjadi lebih tenang dan minimalis, dengan bunyi tunggal yang seakan-akan menyerupai detikan jam.

Kehebatan persembahan Tom Cruise dalam filem ini sememangnya tidak dapat disangkal, begitu juga dengan pengarahan Alejandro G. Iñárritu. Namun, Digger bukanlah sebuah filem yang mudah untuk dihadam. Di sebalik konsep penceritaannya yang unik dan lapisan satira yang mendalam, filem ini menuntut kesabaran serta tumpuan yang tinggi untuk memahami hubungan antara dua lapisan cerita dan setiap sindiran yang disampaikan.

Ini bukan bermakna Digger sebuah filem yang teruk. Malah, saya berani mengatakan bahawa ini merupakan antara persembahan lakonan terbaik Tom Cruise sepanjang kerjayanya. Namun, di sebalik segala kehebatan tersebut, Digger bukanlah sebuah filem untuk semua orang.

RATING: 4/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Review Orang Perang: Potensi Besar Senoi Praaq Yang Gagal Dimanfaatkan

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Review Other Mommy: Sekadar Mengejutkan, Bukan Menakutkan

Karim Khan

Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Karim Khan

Review The Intern: Han So-hee & Choi Min-sik Jadikan Versi Korea Hampir Flawless

Karim Khan

Leave a Comment