
Sebuah kenderaan tentera yang digunakan dalam adegan kejar-mengejar bersama Spider-Man lakonan Tom Holland dalam filem Spider-Man: Brand New Day bakal dilelong kepada orang ramai pada 25 November ini.
Kenderaan yang dikenali sebagai DD6 dalam filem tersebut kini ditempatkan di sebuah syarikat yang menawarkan pengalaman menaiki kenderaan tentera di Brackley, Northamptonshire, United Kingdom.
Menurut BBC, kenderaan berkenaan akan dilelong secara dalam talian oleh Humbert & Ellis dengan anggaran harga antara £50,000 hingga £70,000 (kira-kira RM270,000 hingga RM380,000).
Pelelong Jonathon Humbert menyifatkan kenderaan tersebut sebagai antara prop filem yang berpotensi menjadi barangan koleksi paling bernilai dan mendapat perhatian pengumpul.
Kenderaan itu pada asalnya merupakan Alvis Stalwart 6x6 keluaran 1969, sebuah kenderaan pengangkut tentera yang direka untuk membawa bekalan merentasi kawasan mencabar, termasuk laluan air.
Marvel membeli kenderaan tersebut daripada Nick Mead, pemilik syarikat Tanks A Lot di Helmdon, yang telah mengusahakan perniagaan berkaitan kenderaan tentera selama kira-kira 30 tahun.
Menurut Mead, pihak produksi Marvel telah mengubah suai sepenuhnya kenderaan berkenaan menjadi sebuah jentera tempur futuristik untuk kegunaan filem.

Pengubahsuaian tersebut merangkumi reka bentuk berperisai, corak penyamaran padang pasir serta kesan lusuh yang dihasilkan khusus bagi memenuhi keperluan penggambaran.
Mead menjelaskan bahawa selain beberapa penyesuaian untuk membolehkan kenderaan itu digunakan secara sah di jalan raya, keadaannya masih sama seperti ketika ia meninggalkan set penggambaran.
Beliau yang pernah memiliki kira-kira 400 kenderaan tentera turut mengakui gemar mengumpul prop filem dan menyifatkan DD6 sebagai sebuah jentera yang cukup istimewa.
Walaupun berharap kenderaan tersebut kekal di United Kingdom, Mead percaya ia berpotensi dibawa ke Amerika Syarikat untuk tujuan promosi filem atau digunakan dalam produksi Hollywood yang lain.
Syarikat Tanks A Lot sebelum ini turut menyimpan beberapa kenderaan ikonik yang pernah digunakan dalam filem seperti Fast & Furious 6 dan Black Widow.
Spider-Man: Brand New Day, yang turut dibintangi Zendaya, dilaporkan mencatatkan kutipan pembukaan sebanyak AS$360 juta di Amerika Utara, sekali gus mencipta rekod hujung minggu pembukaan terbesar di Amerika Syarikat dan Kanada.
Sumber: BBC
