Kakimuvee
GamingHorror

Sony Bakal Adaptasi Permainan Video Seram Mouthwashing Ke Filem, Karyn Kusama Dilantik Sebagai Pengarah

Sony Pictures bakal menghasilkan sebuah filem adaptasi berdasarkan permainan video seram psikologi popular, Mouthwashing, dengan Karyn Kusama, pengarah yang terkenal menerusi Jennifer's Body (2009) dan The Invitation (2015), dilantik untuk menerajui projek tersebut.

Menurut laporan The Hollywood Reporter, Sony Pictures telah memperoleh hak adaptasi filem daripada Wrong Organ, studio pembangunan permainan video berkenaan. Projek ini turut melibatkan Scott Derrickson, pengarah filem seram Sinister (2012) dan The Black Phone (2021), sebagai penerbit.

Derrickson akan bekerjasama dengan C. Robert Cargill dan Vince Cheng menerusi syarikat produksi Crooked Highway, manakala Matt Manfredi dan Phil Hay, duo penulis di sebalik The Invitation, akan bertanggungjawab menghasilkan skrip filem tersebut.

Mouthwashing mengisahkan lima anak kapal sebuah kapal pengangkut kargo angkasa bernama Tulpar yang terkandas selepas kapal mereka terhempas di sebuah asteroid.

Dengan bekalan makanan dan keperluan asas yang semakin berkurangan, mereka terpaksa berdepan tekanan akibat terasing daripada dunia luar. Keadaan menjadi semakin tegang apabila rasa curiga, paranoia dan konflik peribadi mula meretakkan hubungan sesama mereka.

Permainan video asal menggunakan perspektif orang pertama dengan pendekatan penceritaan tidak linear serta visual surealisme untuk meneroka tema tanggungjawab, penafian dan akibat penyalahgunaan kuasa.

Dibangunkan oleh Wrong Organ, Mouthwashing mendapat perhatian dalam kalangan peminat permainan video seram selepas dilancarkan pada 2024. Permainan tersebut turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 permainan video seram terbaik 2024 oleh Bloody Disgusting.

Antara kekuatan utama permainan ini ialah pendekatan penceritaannya yang sukar dijangka, perkembangan watak yang kompleks serta suasana psikologi yang semakin mengganggu sepanjang permainan berlangsung.

Walaupun mempunyai tempoh permainan yang agak singkat, sekitar dua jam setengah, Mouthwashing dipuji kerana berjaya menyampaikan pengalaman seram psikologi yang berkesan melalui gabungan teka-teki, interaksi antara watak dan visual yang menyerupai mimpi ngeri.

Gaya visual poligon rendah yang digunakan dalam permainan asal turut menjadi sebahagian daripada identitinya, sekali gus memberikan cabaran tersendiri kepada pembikin filem untuk menterjemahkan suasana tersebut ke layar perak.

Setakat ini, Sony Pictures masih belum mengumumkan barisan pelakon, jadual penggambaran mahupun tarikh tayangan rasmi bagi filem Mouthwashing.

Sumber: The Hollywood Reporter / Bloody Disgusting

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Trailer Pertama Clayface Ubah Penjahat Batman Menjadi Kisah Body Horror

Farah

Andy Muschietti Dedah Musim Kedua ‘It: Welcome to Derry’ Tampilkan Suasana Pekan Derry Paling Gelap

Karim Khan

Tikus! Tawar Misteri Pembunuhan Dalam Program Healing Di Sebuah Resort

Karim Khan

Meme Seram ‘Siren Head’ Kini Diangkat Menjadi Filem Hollywood

Karim Khan

Trailer Above the Below Papar Idris Elba Bertarung Nyawa Di Dasar Laut

Karim Khan

Godzilla Minus Zero Sah Tayang Di Pawagam Malaysia Pada 5 November 2026

Farah

Leave a Comment