Kakimuvee
Review Filem

Review Pemuja Syaitan: Slasher Tempatan Yang Berani & Mendebarkan

Poster Filem Pemuja Syaitan

Sebenarnya, bagi saya, Pemuja Syaitan mempunyai idea dan premis yang cukup menarik. Namun, kelemahan dari segi execution dan lakonan membuatkan filem ini terasa agak janggal, sekali gus membataskan potensinya untuk menjadi sebuah karya yang lebih baik.

Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay merupakan sebuah filem YA slasher tempatan yang mengisahkan sekumpulan remaja yang berkumpul di sebuah pulau. Namun, pertemuan mereka bertukar menjadi tragedi apabila seorang demi seorang mula dibunuh oleh salah seorang daripada rakan mereka sendiri.

Ini bukanlah kali pertama produksi tempatan mengetengahkan genre slasher. Kita pernah disajikan dengan beberapa filem seperti Jemputan ke Neraka, Homestay: Permainan Maut dan beberapa karya lain. Namun, genre ini masih jarang diterokai oleh pembikin filem tempatan, menjadikan kehadiran Pemuja Syaitan sesuatu yang menarik untuk diberikan perhatian.

Di atas kertas, Pemuja Syaitanmenggunakan formula yang cukup sinonim dengan genre slasher, iaitu sekumpulan individu yang terperangkap di satu lokasi sebelum dibunuh seorang demi seorang.

Cuma, filem ini cuba memberikan sedikit kelainan kepada formula tersebut dengan memasukkan elemen penyiasatan dan flashback, sekali gus memberi ruang kepada penonton untuk meneka apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada kumpulan remaja berkenaan. Pendekatan ini juga membuka peluang kepada penceritaan untuk memperkenalkan plot twist yang mampu mengejutkan penonton.

Pemuja Syaitan menampilkan dua jalur masa dalam penceritaannya. Pertama, ketika Inspektor Zul sedang menyoal siasat Katijah, satu-satunya mangsa yang terselamat daripada kejadian pembunuhan di pulau tersebut. Kedua, peristiwa pada malam kejadian yang diceritakan semula melalui ingatan Katijah ketika dia cuba mengingati apa sebenarnya yang berlaku.

Bagi saya, pendekatan penceritaan berlapis yang menggabungkan elemen penyiasatan dan slasher ini cukup menarik. Kita bukan sahaja disajikan dengan plot tipikal filem slasher, malah secara tidak langsung, penonton turut diletakkan dalam kedudukan Inspektor Zul, seolah-olah sedang menyiasat dan mencari petunjuk untuk merungkai misteri di sebalik kejadian pembunuhan tersebut.

Malah, antara aspek yang menarik perhatian saya ialah bagaimana filem ini mengendalikan transition antara dua garis masa tersebut. Peralihan daripada sesi soal siasat Katijah kepada peristiwa pada malam pembunuhan dilakukan dengan cukup lancar, sekali gus membina kesinambungan yang baik antara keterangan Katijah dengan kejadian sebenar.

Artikel Berkaitan:  Review Hope: Terlalu Draggy Walaupun Penuh Aksi

Sehinggakan pada satu tahap, setiap kali penceritaan kembali ke babak flashback, dada saya mula berdebar kerana saya tahu sesuatu yang ngeri bakal menanti, khususnya menerusi adegan-adegan pembunuhan yang menjadi tunjang utama kepada filem ini.

Cuma itulah, walaupun Pemuja Syaitan mempunyai konsep yang menarik, execution-nya boleh dikatakan agak lemah. Antara kelemahan paling ketara ialah penulisan dialog dan lakonan. Dialog yang dituturkan oleh watak-wataknya kedengaran kaku dan tidak natural, ditambah pula dengan persembahan beberapa pelakon yang kurang meyakinkan.

Letih sebenarnya mendengar interaksi antara watak, terutama ketika mereka berbalah. Setiap dialog yang keluar daripada mulut mereka seolah-olah dilontarkan seketul-seketul terus daripada skrip, tanpa aliran perbualan yang natural antara satu watak dengan watak yang lain.

Pada pandangan saya, hanya Zul Ariffin, Alia Azizul dan Nadhir Nasar yang benar-benar berjaya menghidupkan karakter masing-masing dengan lakonan yang bersahaja dan meyakinkan. Manakala yang lain, mungkin mutu lakonan mereka dapat dipertingkatkan pada karya mereka seterusnya.

Dari segi penceritaan pula, Pemuja Syaitan mula menunjukkan masalah apabila memasuki third act. Pada saya, bahagian ini sebenarnya mempunyai potensi untuk menyajikan plot twist yang mampu mengejutkan penonton, terutamanya apabila Inspektor Zul mula menerima maklumat daripada rakan sekerjanya.

Namun, bahagian ketiga ini akhirnya dimasak sehingga hangus. Maksud saya, terlalu draggy, dengan babak rasukan dan pemujaan yang dipanjangkan secara berlebihan dan dialog yang, sekali lagi, kedengaran janggal.

Agak sayang sebenarnya apabila sebuah filem yang mempunyai konsep dan idea yang menarik tidak dapat mencapai potensi sepenuhnya gara-gara penulisan dialog dan lakonan yang 'mentah', serta bahagian akhir yang terlalu draggy. Namun, saya tetap memuji elemen slasher yang berjaya menyajikan adegan gore dengan cukup berkesan, sekali gus membangkitkan rasa ngeri dan debaran sepanjang beberapa babak pembunuhan.

Artikel Berkaitan:  Review Jangan Buang Ibu: Tidak Sempurna, Tetapi Berjaya Menyentuh Hati

Apa pun, pujian harus diberikan kepada Liyana Jasmay atas keberaniannya mengetengahkan genre YA slasher yang jarang diterokai oleh produksi tempatan.

RATING: 2.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Tikus!: Bermula Baik Tapi Gagal Memberikan Payoff

Karim Khan

Review Chelot: Gandingan 3 Pelakon Hebat Dalam Aksi Mendebarkan

Karim Khan

Review Operasi Pesta Copet: Copet Tapi Bikin Hati Hangat

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Review 402 Rumah Sakit Angker Korea: Tidak Sehebat Filem Asal, Tetapi Berjaya Memberi Pengalaman Seram

Ammar

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Leave a Comment