
Filem seram terbitan DC Studios, Clayface, dilaporkan bakal dilancarkan dalam format digital pada 8 Disember 2026. Tarikh tersebut didedahkan menerusi penyenaraian filem berkenaan di Amazon, yang bakal menawarkan filem tersebu kepada pelanggan untuk pembelian dan sewaan digital.
Diarahkan oleh James Watkins (Eden Lake, Speak No Evil), Clayface merupakan sebuah filem berkonsepkan body horror yang mengetengahkan kisah salah satu musuh Batman dalam komik terbitan DC Comics.
Filem ini menampilkan Tom Rhys Harries sebagai Matt Hagen, seorang pelakon yang kehilangan kerjayanya selepas wajahnya dicacatkan oleh seorang ketua penjenayah. Dalam usaha mendapatkan semula rupa asalnya, Hagen menjalani rawatan eksperimental yang menyebabkan tubuhnya mengalami perubahan mengerikan dan mula menjejaskan kewarasannya.
Turut membintangi filem ini ialah Naomi Ackie, Max Minghella, David Dencik dan Eddie Marsan.
Berita mengenai pelancaran digital Clayface menyusul selepas pengumuman pengunduran James Gunn dan Peter Safran daripada jawatan mereka di DC Studios. Jeremy Latcham bakal mengambil alih kepimpinan studio tersebut secara rasmi pada 1 Disember ini.
Susulan pengumuman tersebut, timbul spekulasi bahawa prestasi kutipan Clayface di box office turut menjadi salah satu faktor di sebalik perubahan kepimpinan DC Studios. Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih belum disahkan.
Sumber: Dread Central
