
Selepas membawa kisah puntianak ke layar perak menerusi Nosferatu, Robert Eggers kali ini mengangkat legenda manusia serigala menerusi filem seram terbaharunya, Werwulf.
Focus Features telah memperlihatkan poster rasmi terbaharu serta klip pertama filem tersebut. Turut dilancarkan ialah sebuah video featurette yang membawa penonton melihat proses pembikinan filem berkenaan, termasuk perkongsian daripada Eggers dan barisan pelakonnya.
Berlatarbelakangkan England pada tahun 1305, Werwulf mengisahkan seorang petani yang dibelenggu sumpahan selepas membuat perjanjian dengan iblis. Setelah memiliki isteri dan anak-anak, lelaki itu berusaha menebus kesilapan silamnya, sementara kemunculan makhluk misteri mula mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut.
Seperti karya-karya terdahulunya, Eggers memberikan perhatian terhadap ketepatan latar sejarah, termasuk penggunaan bahasa Inggeris yang dituturkan pada zaman pertengahan. Filem ini turut mengambil inspirasi daripada cerita rakyat lama mengenai manusia serigala, berbanding mitologi yang sering ditampilkan dalam filem-filem moden.
Menerusi video featurette yang dilancarkan, Eggers menjelaskan bahawa beliau sudah lama tertarik dengan kisah manusia serigala sejak kecil. Selain meneroka konsep sumpahan dan kehilangan kawalan terhadap diri sendiri, pengarah itu turut menggunakan kisah tersebut untuk menyelami sisi gelap sifat manusia.
Werwulf menyaksikan Eggers kembali bekerjasama dengan tiga pelakon daripada Nosferatu, iaitu Aaron Taylor-Johnson, Lily-Rose Depp dan Willem Dafoe. Taylor-Johnson membawakan watak petani yang disumpah, manakala Depp sebagai isterinya dan Dafoe sebagai seorang pemburu.
Turut membintangi filem ini ialah Ralph Ineson, Bodhi Rae Breathnach, Jack Morris dan Jan Bijvoet.
Selain mengarahkan filem tersebut, Eggers turut menulis skripnya bersama Sjón, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengannya menerusi The Northman. Filem ini dirakam menggunakan format Super 35mm dengan nisbah aspek Academy bagi memberikan identiti visual yang bersesuaian dengan latar zamannya.
Werwulf dijadualkan menemui penonton di pawagam tempatan bermula 7 Januari 2027.

Sumber: Focus Features, Dread Central, iHorror, GSC.
