
Pennywise bakal kembali menghantui penonton dalam musim kedua siri seram HBO, IT: Welcome to Derry, namun kali ini dengan penampilan dan pendekatan watak yang berbeza daripada apa yang pernah disaksikan sebelum ini.
Perkara itu didedahkan oleh penerbit dan pengendali siri, Brad Caleb Kane, yang mengesahkan bahawa Bill SkarsgÄrd akan kembali membawakan watak badut pembunuh ikonik ciptaan Stephen King tersebut.
Dalam temu bual bersama Deadline, Kane menjelaskan bahawa penonton bakal diperkenalkan kepada versi Pennywise yang berbeza, malah menyifatkannya sebagai sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Walaupun tidak memperincikan perubahan yang dimaksudkan, musim kedua akan membawa penonton lebih jauh ke masa lalu dengan latar tahun 1935, ketika Amerika Syarikat sedang berdepan zaman Kemelesetan Besar (Great Depression).
Penceritaannya akan memfokuskan kepada peristiwa Bradley Gang Massacre, salah satu tragedi berdarah yang diceritakan dalam novel IT karya Stephen King. Insiden tersebut melibatkan sekumpulan penjenayah yang tiba di bandar Derry sebelum tercetusnya pertumpahan darah yang dikaitkan dengan pengaruh Pennywise.
Menurut Kane, musim kedua akan mempunyai skala penceritaan yang lebih besar, dengan pendekatan menyerupai filem gangster klasik Warner Bros.
Ia akan menggabungkan elemen rompakan bank, kehidupan masyarakat miskin di penempatan sementara yang dikenali sebagai Hoovervilles, kanak-kanak jalanan yang menumpang kereta api serta unsur fundamentalisme agama.
Kane turut berkongsi perkembangan terkini produksi musim kedua, dengan proses penulisan skrip kini telah mencapai kira-kira separuh daripada keseluruhan episod yang dirancang.
Beliau mengesahkan bahawa musim kedua telah mendapat lampu hijau, jadual produksi sudah disediakan, manakala Andy Muschietti kini sedang menjalankan proses pemilihan pelakon.
Untuk rekod, IT: Welcome to Derry meneroka sejarah keganasan Pennywise yang muncul setiap 27 tahun untuk memburu mangsanya. Musim pertama berlatar tahun 1962, manakala filem IT (2017) berlangsung pada tahun 1989 dan IT: Chapter Two (2019) membawa penceritaan ke tahun 2016.
Pendekatan tersebut membolehkan siri ini meneroka peristiwa-peristiwa ngeri yang berlaku di Derry sebelum kemunculan Losers' Club dalam filem asal.
Sementara itu, Andy Muschietti sebelum ini turut mendedahkan perancangan untuk musim ketiga yang akan memfokuskan kepada tragedi letupan Kitchener Iron Works, sebuah insiden mengerikan yang mengorbankan kira-kira 100 kanak-kanak ketika acara pencarian telur Easter.
Tragedi berkenaan pernah disentuh secara ringkas menerusi sekeping gambar dalam filem IT (2017).
Malah, perancangan tiga musim tersebut sebenarnya telah diberikan petunjuk sejak musim pertama menerusi montaj kredit pembukaannya yang memaparkan beberapa tragedi besar dalam sejarah Derry, termasuk Black Spot Massacre, Bradley Gang Massacre dan letupan Kitchener Iron Works.
Bagaimanapun, musim ketiga masih merupakan sebahagian daripada perancangan kreatif yang didedahkan Muschietti dan belum disahkan menerima kelulusan produksi.
Sumber: Bloody Disgusting / Deadline
