
Selepas mencatat kutipan lebih AS$230 juta (sekitar RM976 juta) di seluruh dunia, Scary Movie kini bersedia menemui penonton di platform digital menerusi versi baharu yang lebih panjang.
Diberi judul Scary Movie: Extended Cut, versi ini akan dilancarkan secara digital pada 21 Julai 2026 dengan pelbagai babak tambahan serta adegan alternatif yang tidak sempat dimuatkan dalam tayangan pawagam.
Menurut kenyataan rasmi, versi baharu ini menjanjikan lebih banyak jenaka, adegan yang lebih gila dan kandungan baharu untuk francais yang sememangnya terkenal dengan parodi tanpa batas.
“Jenaka kini menjadi lebih melampau. Extended Cut membawakan lebih banyak ketawa, lebih banyak kekecohan dan adegan baharu untuk francais yang tidak pernah mengenal batas.”
Setakat ini, butiran penuh mengenai kandungan tambahan masih belum didedahkan. Namun, sebelum ini beberapa adegan yang dipotong daripada versi pawagam telah pun didedahkan oleh barisan pelakon.

Antara yang menarik perhatian ialah parodi Terrifier 3. Pelakon Fedor Steer, yang membawakan watak Artie Claus, mendedahkan terdapat lebih banyak rakaman yang tidak dimasukkan ke dalam filem.
Menerusi perkongsian di Instagram, beliau berkata satu babak memaparkan wataknya memenggal kepala dan memotong tangan Santa Claus di pusat beli-belah sebelum menari di tengah pancutan darah akhirnya digugurkan daripada suntingan akhir.
“Percayalah, babak itu memang sangat hebat,” katanya.
Selain itu, sebuah adegan yang memparodikan Smile dengan penggunaan topeng Ghostface turut dilaporkan tidak berjaya melepasi suntingan akhir dan berkemungkinan akan dimasukkan dalam versi Extended Cut.
Bagi peminat yang masih gemar memiliki salinan fizikal, Scary Movie dijadualkan memasuki pasaran DVD dan Blu-ray pada 22 September 2026.
Filem ini menyaksikan kepulangan semula watak ikonik Cindy, Brenda, Shorty dan Ray, 26 tahun selepas insiden pembunuhan dalam filem asal. Kali ini mereka sekali lagi terperangkap dalam huru-hara apabila muncul seorang pembunuh bertopeng baharu yang meneruskan keganasan.
Turut kembali membintangi francais ini ialah Marlon Wayans, Shawn Wayans, Anna Faris dan Regina Hall, sekali gus mengembalikan identiti asal Scary Movie yang terkenal dengan parodi filem seram dan budaya pop.
Filem ini diarahkan oleh Michael Tiddes, yang sebelum ini mengarahkan A Haunted House.
