
Selepas kejayaan The Penguin, Lauren LeFranc kini berpeluang untuk kembali meneroka dunia DC menerusi sebuah siri televisyen baharu yang memfokuskan kepada salah seorang musuh ikonik Batman, Poison Ivy.
Menurut laporan Deadline, LeFranc yang sebelum ini bertindak sebagai showrunner dan penerbit eksekutif The Penguin, sedang dalam rundingan untuk menyertai projek terbitan Warner Bros. dan DC Comics itu sebagai penerbit.
Bagaimanapun, penglibatannya kali ini agak berbeza. LeFranc dilaporkan hanya akan bertanggungjawab dalam aspek penerbitan dan tidak terlibat sebagai penulis siri tersebut. Malah, setakat ini, projek berkenaan masih belum mempunyai penulis yang dilantik.
Perancangan untuk menghasilkan siri Poison Ivy sebenarnya telah berjalan sejak beberapa bulan lalu, namun perkembangannya tertangguh susulan proses penggabungan Paramount dan Warner Bros.
Sekiranya mendapat lampu hijau, siri ini dijangka akan ditayangkan menerusi HBO. Bagaimanapun, projek tersebut masih berada pada peringkat pembangunan dan belum menerima pengesahan rasmi untuk diteruskan ke fasa produksi.
Satu lagi perkara yang turut didedahkan ialah siri Poison Ivy tidak akan menjadi sebahagian daripada dunia The Batman yang dibangunkan oleh Matt Reeves, dengan Robert Pattinson sebagai Batman.
Poison Ivy, Antara Musuh Ikonik Batman
Dicipta oleh Carmine Infantino dan Robert Kanigher, Poison Ivy merupakan identiti yang digunakan oleh Dr. Pamela Isley, seorang watak antagonis dalam komik DC yang mempunyai kebolehan mengawal tumbuh-tumbuhan serta memanipulasi individu lain menggunakan feromon.
Watak ini telah beberapa kali diadaptasi ke layar perak dan televisyen, termasuk menerusi lakonan Uma Thurman dalam filem Batman & Robin (1997).
Dalam versi televisyen pula, Peyton List dan Maggie Geha pernah membawakan watak tersebut dalam siri Gotham, manakala Bridget Regan memegang peranan berkenaan dalam Batwoman.
Poison Ivy juga merupakan antara watak utama dalam siri animasi dewasa Harley Quinn, dengan Lake Bell menyumbangkan suaranya untuk karakter tersebut.
Buat masa ini, belum ada pelakon yang dipilih untuk membawakan watak Pamela Isley dalam siri baharu itu. Butiran mengenai jalan cerita dan hala tuju projek berkenaan juga masih belum didedahkan.
Sementara itu, Lauren LeFranc mempunyai pengalaman luas dalam penerbitan dan penulisan siri televisyen. Selain The Penguin, beliau pernah terlibat dalam beberapa produksi lain seperti Agents of S.H.I.E.L.D., Impulse, Chuck dan My Own Worst Enemy.
Penglibatan LeFranc dalam projek Poison Ivy masih tertakluk kepada keputusan rundingan yang sedang berlangsung, sementara Warner Bros. dan DC belum mengumumkan sebarang jadual produksi atau tarikh tayangan.
