
Drama fantasi romantik Korea, The Remarried Empress, mencatat rekod baharu di Disney+ apabila muncul sebagai tayangan perdana produksi original tempatan paling banyak ditonton dalam sejarah platform penstriman itu di seluruh dunia.
Menurut Disney+, rekod tersebut dicatatkan berdasarkan jumlah tontonan sepanjang tiga hari pertama selepas siri berkenaan mula ditayangkan pada 3 November 2026. The Remarried Empress turut mengungguli tayangan perdana kandungan Korea di lebih 50 pasaran, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Jerman, Mexico, Chile, Australia, New Zealand dan Kanada.
Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan The Remarried Empress sudah mempunyai kelompok peminat yang besar sebelum diadaptasi ke kaca televisyen. Webtoon asal terbitan NAVER WEBTOON telah mencatatkan hampir tiga bilion tontonan sejak mula diterbitkan, sekali gus menjadikannya antara karya yang mendapat perhatian ramai.
Sambutan terhadap adaptasi ini juga dapat dilihat menerusi sesi pratonton di Festival Filem Antarabangsa Busan apabila semua tiket habis ditempah. Malah, trailer utamanya turut meraih 13 juta tontonan dalam tempoh 48 jam selepas dilancarkan di YouTube dan platform media sosial.
Pada asalnya, siri ini dijadualkan menemui penonton pada 4 November. Bagaimanapun, Disney+ mengambil keputusan untuk mempercepatkan tayangannya sehari lebih awal sebagai tanda penghargaan terhadap sambutan yang diberikan peminat.
Diadaptasi daripada webtoon popular dengan judul sama, The Remarried Empress mengisahkan Navier, seorang maharani yang dihormati di Empayar Timur. Kehidupan rumah tangganya bersama Maharaja Sovieshu mula berantakan apabila suaminya jatuh cinta dengan Rashta, seorang wanita yang melarikan diri daripada kehidupan sebagai hamba.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Sovieshu berusaha mendapatkan hati Rashta, sehingga hubungannya dengan Navier semakin renggang. Namun, Navier enggan membiarkan dirinya terus diperlakukan sedemikian dan memilih untuk mempertahankan maruah serta kedudukannya.
Apabila Sovieshu meminta perceraian, Navier bersetuju dengan satu syarat yang mengejutkan. Dia mahu dibenarkan berkahwin semula dengan Putera Mahkota Heinrey dari Kerajaan Barat, yang merupakan pesaing kepada Empayar Timur.
Keputusan tersebut membuka jalan kepada konflik yang lebih besar, melibatkan percintaan, pengkhianatan dan perebutan kuasa yang mampu menggugat kestabilan seluruh empayar.
Siri ini menampilkan Shin Mina, yang sebelum ini membintangi Hometown Cha-Cha-Cha dan Karma, sebagai Maharani Navier. Ju Jihoon daripada The Trauma Code: Heroes on Call dan Light Shop pula memegang watak Maharaja Sovieshu.
Turut membintangi siri ini ialah Lee Jongsuk (Big Mouth) sebagai Putera Mahkota Heinrey dan Lee Seyoung (The Red Sleeve, The Crowned Clown) sebagai Rashta.
The Remarried Empress diarahkan oleh Cho Suwon, yang terkenal menerusi drama Pinocchio dan Still 17, manakala skripnya ditulis oleh Yeoh Geena dan Hyun Choongyeol.
Empat episod pertama siri ini telah tersedia di Disney+, dengan dua episod baharu ditayangkan setiap Rabu bermula 11 November sehingga episod terakhir pada 25 November 2026.
Sumber: Disney+ Malaysia

