
Kehilangan seorang kanak-kanak di sebuah pekan kecil membuka semula satu kes lama yang pernah menggemparkan kawasan tersebut. Apa yang lebih membimbangkan, kejadian itu mempunyai persamaan dengan siri penculikan dan pembunuhan kanak-kanak yang berlaku beberapa dekad lalu.
Misteri inilah yang cuba dirungkai oleh Detektif Amanda Beck, lakonan Michelle Monaghan, dalam filem jenayah thriller terbaharu Netflix, The Whisper Man.
Filem arahan James Ashcroft ini turut dibintangi Robert De Niro sebagai Pete Willis, seorang bekas detektif yang pernah menyiasat dan berjaya menangkap penjenayah di sebalik kes asal, serta Adam Scott sebagai Tom Kennedy, seorang penulis jenayah dan juga seorang ayah yang berdepan situasi genting apabila anaknya tiba-tiba hilang dan dipercayai diculik.
The Whisper Man mengisahkan Tom Kennedy, seorang duda yang berpindah bersama anaknya, Jake. Namun, kehidupan mereka berubah apabila Jake tiba-tiba hilang.
Hasil siasatan polis mendapati kehilangan tersebut mempunyai kaitan dengan siri penculikan kanak-kanak yang pernah dilakukan oleh seorang penjenayah dikenali sebagai Whisper Man.

Namun, terdapat satu persoalan besar – penjenayah asal telah lama dipenjarakan. Jadi, siapakah yang meniru modus operandi Whisper Man?
Dalam usaha mencari Jake, Tom terpaksa menghubungi semula ayahnya yang telah lama terasing daripadanya, Pete Willis, seorang bekas detektif yang pernah berjaya menangkap Whisper Man.
The Whisper Man bukanlah sebuah filem jenayah yang terlalu kompleks, tetapi ia cuba membina ketegangan melalui suasana yang perlahan dan suram. Rentak filem bermula agak perlahan dengan tumpuan diberikan kepada hubungan Tom dan Jake, khususnya usaha Tom membantu anaknya berdepan trauma selepas kematian ibunya.
Terdapat juga selingan plot yang mengikuti kisah Detektif Amanda ketika dia meneliti semula fail-fail siasatan lama bagi mencari kaitan antara kes terdahulu dengan kes penculikan yang sedang disiasatnya. Bahagian ini sedikit sebanyak membantu mengembangkan misteri, walaupun pada masa yang sama membuatkan penceritaan terasa sedikit terpecah antara kisah Tom dan siasatan Amanda.
Tingkah laku Jake yang sering bercakap seorang diri turut memberikan sentuhan psychological horror pada awal filem. Situasi tersebut membangkitkan persoalan sama ada Jake sekadar mengalami halusinasi akibat trauma, atau sebenarnya ada sesuatu yang menghuni rumah baharunya.

Di sinilah The Whisper Man mula bermain dengan persepsi penonton. Misteri penculikan yang kembali berlaku, ditambah pula dengan tingkah laku Jake yang seolah-olah mampu melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh ayahnya, membuatkan penonton terus tertanya-tanya tentang arah sebenar filem ini.
Adakah Tom berhadapan dengan kejadian supernatural apabila anaknya tiba-tiba hilang, atau kes kehilangan anaknya itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan kes lama yang pernah menggemparkan pekan tersebut?
Seperti bahagian pertama, filem ini terus bergerak dalam tempo yang perlahan apabila memasuki bahagian kedua. Kehadiran Pete yang akhirnya membantu Detektif Amanda menjejaki penjenayah yang menculik cucunya sepatutnya memberikan sedikit lonjakan kepada penceritaan, namun filem ini memilih untuk kekal dengan rentak yang sama.
Malangnya, elemen jenayah, siasatan dan misteri yang menjadi teras cerita tidak cukup mendebarkan untuk menghidupkan suasana. Hasilnya, bahagian pertengahan The Whisper Man terasa semakin flat dan menjadi antara bahagian paling membosankan dalam filem ini.

Gandingan tiga pelakon utamanya juga terasa kurang dinamik, dengan Adam Scott seolah-olah agak terasing daripada Robert De Niro dan Michelle Monaghan.
Hubungan antara anak dan ayah yang telah lama terpisah sepatutnya mampu menjadi antara sumber drama utama, namun interaksi antara mereka gagal memberikan impak emosi yang kuat.
De Niro juga tidak begitu menyerlah walaupun mempunyai status sebagai seorang pelakon legenda. Usianya yang sudah lanjut jelas terasa dalam persembahan kali ini, dengan wataknya kelihatan kurang bertenaga dan tidak mempunyai intensiti yang cukup untuk benar-benar meninggalkan impak.
Michelle Monaghan pula dilihat lebih banyak menggerakkan jalan cerita menerusi wataknya sebagai Detektif Amanda. Namun, disebabkan elemen jenayah dan misteri filem ini kurang mendebarkan, wataknya juga tidak begitu menyerlah sepanjang penceritaan. Dia hanya benar-benar menonjol apabila misteri semakin berjaya dirungkai.
Walaupun The Whisper Man bergerak agak perlahan dan kurang mendebarkan, ia masih sebuah filem yang menarik untuk ditonton, terutamanya bagi mereka yang meminati filem bergenre jenayah misteri yang tidak terlalu rumit.
Filem ini masih mempunyai beberapa twist, walaupun sebahagiannya boleh dijangka, dan ia berjaya memberikan satu penamat yang menarik. Cuma, pacing yang perlahan dan elemen jenayah serta misteri yang kurang mencengkam membuatkan filem ini gagal mencapai potensi sebenarnya.
