
Secara peribadi, saya merasakan filem Takluk 2: Op Daulat seperti tidak cukup masak. Penceritaannya terasa rushing dan kurang berkembang berbanding filem pertama. Malah, bagi saya, filem pertama jauh lebih baik dari segi aksi, penceritaan hatta perkembangan karakternya.
Filem Takluk 2: Op Daulat telah pun memulakan tayangan di pawagam. Seperti Avengers: Endgame, penceritaan filem ini bersambung terus daripada filem pertama, dengan Op Daulat dilancarkan susulan serangan berdarah terhadap sepasukan anggota polis di sebuah perkampungan air di timur Sabah.
Jika filem pertama memfokuskan penceritaannya kepada pasukan VAT 69 dan anggota polis, sekuel ini tampil dengan sesuatu yang lebih menarik apabila membawa masuk beberapa watak daripada filem aksi tempatan seperti Paskal dan Air Force, di samping memperkenalkan watak-watak baharu daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus membentuk sebuah filem crossover yang tidak dijangka.

Di atas kertas, gabungan watak daripada filem-filem terdahulu dengan barisan karakter baharu ini sudah tentunya menjanjikan sebuah penceritaan yang lebih menarik, mencengkam dan sarat dengan aksi. Apatah lagi, dengan bermulanya Op Daulat, kita tentunya mengharapkan penggunaan aset ketenteraan yang lebih meluas serta babak pertempuran yang bukan sahaja mendebarkan, malah turut mengetengahkan aspek taktikal ketenteraan.
Bagaimanapun, perasaan saya terhadap filem ini agak bercampur-baur. Saya menyukai beberapa elemen aksi yang ditampilkan, namun terdapat satu dua perkara yang membuatkan saya mempersoalkan direction filem ini dalam menggarap babak-babak pertempurannya.
Saya juga kurang berpuas hati dengan struktur dan gaya penceritaan filem ini, termasuk bagaimana watak-wataknya dikembangkan, khususnya watak crossover.
Secara jujurnya, saya menyambut baik usaha barisan kreatif dan produksi dalam membawa masuk watak-watak daripada filem lain. Memandangkan Op Daulat melibatkan pelbagai cabang pasukan keselamatan, penglibatan mereka dalam filem ini cukup logik dan relevan dengan konteks penceritaannya. Malah, saya turut menghargai usaha menghidupkan kembali karakter daripada filem-filem aksi ketenteraan tempatan kerana, sekurang-kurangnya, ia boleh mendorong penonton untuk menyaksikan semula Paskal dan Air Force.
Namun, saya berpendapat kehadiran sebahagian daripada mereka boleh dikatakan sekadar fan service kerana peranan mereka tidak begitu signifikan terhadap naratif utama. Sebaliknya, fokus penceritaan masih terarah kepada tiga watak utama, iaitu DSP Zamri lakonan Syafiq Kyle, DSP Jai lakonan Kamal Adli dan Mejar Haikal lakonan Remy Ishak.

Watak lakonan Nas-T dan Luqman Hafidz, yang dibawa kembali daripada filem Air Force, seakan-akan sekadar melengkapkan barisan ensemble tanpa memberikan impak yang cukup kuat terhadap perkembangan cerita. Sebaliknya, watak lakonan Sarah Ali dan Anas Ridzuan, yang turut berasal daripada filem yang sama, jauh lebih menonjol berbanding kedua-dua watak tentera tersebut.
Apa yang paling mengecewakan saya pula adalah bagaimana watak Raja Iskandar lakonan Dato’ Eman Manan benar-benar di-nerf dalam sekuel ini. Jika filem pertama berjaya memperlihatkan betapa besarnya cita-cita dan keteguhan pendirian Raja Iskandar dalam memperjuangkan apa yang dianggap sebagai hak mereka, sekuel ini pula seakan-akan menghilangkan kekuatan dan kewibawaan yang dimiliki watak tersebut. Sayang sekali kerana francais ini sebenarnya sudah mempunyai seorang villain yang berkarisma dan berpotensi besar untuk dikembangkan.
Dari segi aksi, filem ini menyajikan beberapa babak pertempuran yang benar-benar memberikan adrenaline rush. Aksi mendebarkan yang dipaparkan dalam filem ini mampu membuatkan mata penonton terus terpaku pada layar. Malah, terdapat satu adegan yang mengingatkan saya kepada filem Black Hawk Down dimana pasukan tentera dikepung dan diserang bertubi-tubi oleh penjahat.
Serangan bertali arus daripada pengikut Raja Iskandar itu bukan sahaja intense, malah ia turut menyelitkan satu adegan yang memberikan impak emosi yang cukup kuat kepada penonton.
Dalam menggarap babak pertempuran berskala besar seperti ini, penggunaan kesan khas sudah tentunya memainkan peranan penting, bukan sahaja untuk meningkatkan ketegangan, tetapi juga untuk memberikan sentuhan realistik kepada aksi yang dipaparkan. Namun, di sinilah timbulnya beberapa masalah yang mencacatkan pengalaman menonton apabila kualiti kesan visual yang ditampilkan tidak konsisten dan ada kalanya kelihatan kurang kemas.

Terdapat beberapa shot yang membuatkan saya tertanya-tanya sama ada kesan visual tersebut dihasilkan menggunakan CGI konvensional atau dengan bantuan teknologi AI. Apa pun teknik yang digunakan, hasil visualnya kelihatan kurang meyakinkan, malah ada kalanya kelihatan seperti 'kartun' sehingga menjejaskan realisme babak berkenaan.
Third act filem ini juga tidak begitu mencengkam meskipun penonton disajikan dengan aksi tembakan yang hampir tidak henti-henti sehingga ke penghujung filem. Bagi saya, bahagian akhir ini terasa seperti tergesa-gesa untuk menamatkan penceritaannya. Walaupun sarat dengan aksi, ia tidak begitu intense jika dibandingkan dengan babak-babak pertempuran pada awal dan pertengahan filem.
Saya juga mempersoalkan bagaimana babak serangan ke atas markas GMN digarap. Terdapat beberapa perkara dalam babak tersebut yang kurang konsisten dan tidak begitu meyakinkan, baik dari sudut penceritaan, logik mahupun pelaksanaan teknikalnya.
Secara keseluruhannya, Takluk 2: Op Daulat masih mampu memberikan kepuasan dari segi aksi, meskipun terdapat beberapa kelemahan teknikal yang mengurangkan keberkesanannya. Namun, dari sudut penceritaan dan pembangunan watak, filem ini agak mengecewakan.
Sebagai sebuah sekuel yang menjadi penutup kepada konflik yang dibina dalam filem pertama, saya sebenarnya mengharapkan sebuah penceritaan dan perkembangan karakter yang jauh lebih baik serta klimaks yang lebih mencengkam dan memuaskan berbanding filem pertama.
Dengan skala yang lebih besar, penglibatan pelbagai cabang pasukan keselamatan serta kehadiran watak-watak crossover, Takluk 2: Op Daulat sebenarnya mempunyai potensi untuk mengatasi filem pertama dalam pelbagai aspek. Malangnya, potensi tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
