
Proses penggambaran remake seram psikologi Possession kini sedang berlangsung di New Jersey, Amerika Syarikat. Terbaharu, produksi mengumumkan tiga lagi pelakon yang menyertai barisan pelakon utama filem arahan Parker Finn itu.
Menurut laporan Deadline, Madeline Brewer (Cam, You), Emory Cohen (Sweetheart, Lords of Chaos) dan Nicholas Alexander Chavez (Grotesquerie) kini menjadi sebahagian daripada barisan pelakon Possession. Mereka menyertai pelakon yang telah diumumkan sebelum ini iaitu Margaret Qualley, Callum Turner, Diego Calva dan Paul Dano.
Selain bertindak sebagai pengarah, Parker Finn yang terkenal menerusi francais Smile turut menulis skrip serta menerbitkan filem ini.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sejauh mana versi baharu ini akan mengekalkan jalan cerita asal filem Possession yang diterbitkan pada 1981 dan diarahkan oleh Andrzej Żuławski.

Filem asal mengisahkan pasangan suami isteri, Anna dan Mark, lakonan Isabelle Adjani dan Sam Neill, yang tinggal di Berlin Barat ketika era Perang Dingin. Hubungan mereka yang semakin retak akibat syak wasangka terhadap kecurangan akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri luar biasa yang dipenuhi unsur seram dan supernatural.
Possession (1981) sering dianggap sebagai antara karya seram psikologi terbaik sepanjang zaman. Persembahan Isabelle Adjani, khususnya babak ikonik di stesen kereta api bawah tanah, masih dikenang sebagai antara adegan paling berpengaruh dalam sejarah filem seram dan terus menjadi inspirasi kepada karya-karya moden, termasuk lakonan Nell Tiger Free dalam The First Omen.
Menariknya, Isabelle Adjani sebelum ini turut menyatakan sokongannya terhadap pembikinan semula Possession, termasuk pemilihan Margaret Qualley sebagai antara pelakon utama.
Selain Parker Finn, filem ini diterbitkan oleh Jonathan Fass, Roy Lee, Andrew Childs dan Robert Pattinson, manakala Marc Bienstock bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Buat masa ini, tarikh tayangan rasmi Possession masih belum diumumkan.
