
Pelakon Nas-T mengakui mahu mencabar dirinya dengan membintangi lebih banyak watak berbeza dan tidak mahu terus dilabel sebagai pelakon aksi semata-mata.
Menurut Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, beliau berhasrat menjadi seorang pelakon versatil yang mampu membawa pelbagai genre termasuk romantik sekiranya diberi peluang.
Katanya, kebanyakan projek yang diterimanya sejak kebelakangan ini merupakan filem dan drama aksi, sekali gus menyebabkan penonton mula mengaitkan dirinya dengan genre tersebut.
“Saya nak jadi seorang pelakon yang versatil. Kalau lepas ini dapat tawaran berlakon drama romantik, saya tidak akan menolaknya,” katanya.
Pelakon berusia 42 tahun itu turut mengakui cabaran terbesar ketika ini adalah memecahkan persepsi penonton yang melihatnya hanya sesuai membawa watak aksi.
Menurutnya, sebelum dikenali menerusi naskhah aksi, dia pernah sinonim dengan watak antagonis atau ‘bad boy’ dan kini mahu membuka lembaran baharu dalam kerjayanya.
Nas-T berkata, dia juga tidak bercadang untuk berehat selepas menjayakan siri Keluang Man sekiranya menerima tawaran watak yang tidak memerlukan persediaan fizikal yang terlalu berat.
Malah, dia mengakui sudah agak lama tidak membintangi drama romantik sejak kembali aktif dalam industri perfileman, namun tetap bersyukur dengan peluang yang diterima.
“Saya mahu cabar diri dan tidak mahu distereotaip sebagai pelakon aksi sahaja. Saya nak cuba semua benda dan lihat sejauh mana kemampuan lakonan saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro.
