
Selepas memperkenalkan watak mutan secara ringkas menerusi Kamala Khan dan Namor, Marvel Cinematic Universe (MCU) kini dilihat bersedia untuk meneroka dengan lebih mendalam golongan baharu ini dalam lore utamanya menerusi filem Spider-Man: Brand New Day.
AMARAN!!! ARTIKEL INI MENGANDUNGI SPOILER FILEM SPIDER-MAN: BRAND NEW DAY. PEMBACAAN SETERUSNYA ADALAH ATAS RISIKO SENDIRI!
Spider-Man: Brand New Day merupakan pengembaraan baharu Peter Parker selepas mengharungi tiga filem yang penuh dengan cabaran dan memori. Selepas peristiwa Spider-Man: No Way Home, Peter kini hidup keseorangan tanpa sesiapa pun mengenalinya lagi. Dia meneruskan tugas sebagai Spider-Man dengan menjaga keamanan di kawasan kejiranannya, menangkap penjahat, serta membawa mereka ke muka pengadilan
Namun, aktiviti rutin harian Peter mula tersentak apabila dia bertembung dengan seorang individu misteri yang mempunyai keupayaan yang tidak pernah disaksikan olehnya sebelum ini, iaitu kuasa telekinesis.

Bagi peminat Marvel, penantian lama untuk melihat watak tunjang X-Men muncul dalam garis masa utama MCU akhirnya tercapai selepas identiti watak lakonan Sadie Sink didedahkan. Pelakon tersebut membawakan salah satu watak X-Men yang paling popular dan sering dilabel antara Omega level mutant yang sangat – iaitu Jean Grey.
Dengan pengenalan Jean Grey ke dalam teras penceritaan utama MCU, kehadiran kumpulan X-Men yang lain nampaknya semakin hampir, terutamanya ketika Marvel Studios sedang bersiap sedia menghadapi peperangan multiverse berskala besar yang bakal tercetus menerusi filem Avengers: Doomsday.
Persoalannya sekarang, bagaimana Spider-Man: Brand New Day mampu menjadi tapak permulaan kepada fasa baharu MCU – iaitu pertembungan besar antara umat manusia dan golongan mutan?
Lore utama X-Men – peperangan antara manusia dan mutan.
Dalam versi komik, teras utama X-Men banyak berkisar tentang perseteruan antara mutan dan manusia, di mana golongan mutan sering menjadi mangsa diskriminasi, prejudis dan diburu oleh agensi kerajaan serta kumpulan anti-mutan.
Teras penceritaan inilah yang membawa kepada penubuhan kumpulan X-Men yang diketuai Profesor X, yang bertujuan melatih mutan muda mengawal kuasa mereka di samping melindungi manusia dan mutan serta memperjuangkan keamanan antara kedua-dua spesies.
Sementara itu, Magneto pula menubuhkan Brotherhood of Mutants, sebuah kumpulan yang memperjuangkan dominasi dan kelangsungan hidup mutan, malah sanggup menggunakan kekerasan demi menentang pihak yang mengancam golongan mutan.

Sehingga Spider-Man: Brand New Day, penonton diperkenalkan dengan beberapa watak mutan yang kebanyakannya berada di pihak protagonis. Namun begitu, MCU sudah mula menampilkan bibit konflik antara mutan dan manusia, antaranya menerusi serangan Talokan terhadap operasi perlombongan vibranium yang dibiayai tentera Amerika Syarikat dalam Black Panther: Wakanda Forever.
Walaupun secara umumnya rakyat Talokan bukanlah mutan, ketua mereka, Namor, mengakui dirinya sebagai seorang mutan. Konflik yang dicetuskannya dengan dunia permukaan secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana manusia mula melihat individu berkekuatan luar biasa sebagai ancaman, sekali gus membuka ruang kepada tema perseteruan antara manusia dan mutan pada masa hadapan.
Kemunculan William “Bill” Metzger dan operasi sulit United States Department of Damage Control (DODC) terbongkar
Selain penampilan pertama Jean Grey, kemunculan watak Bill Metzger haruslah juga diberi perhatian kerana watak itu sangat signifikan dalam kisah X-Men versi komik.
Pertama kali muncul dalam komik X-Men: Children of the Atom #1 (1999), Bill Metzger merupakan ketua kumpulan pengganasa Anti-Mutant Militia yang sangat aktif menjalankan propaganda dan menghasut spesis manusia untuk membenci spesis mutan.
Sepertimana yang dipaparkan dalam Spider-Man: Brand New Day, watak ini merupakan seorang yang sangat licik dan pandai memanipulasi, terutamanya apabila dia memperdaya Spider-Man untuk menangkap Jean Grey. Selain itu, sama seperti versi komik, kumpulannya aktif memburu golongan mutan untuk dijadikan sebagai bahan uji kaji bagi mengekstrak kuasa mereka demi menghasilkan ejen super sendiri.
Dalam sejarah komik, Jean Grey merupakan antara mutan yang pernah menjadi mangsa penculikan Bill Metzger sebelum diselamatkan oleh Magneto.

Cuma, apa yang membezakan watak Bill antara versi komik dengan MCU adalah jawatan rasminya. Dalam versi ini, dia diberi kuasa menerusi agensi kerajaan, iaitu United States Department of Damage Control (DODC). Walau bagaimanapun, dari segi personaliti dan objektif utama, watak ini masih mengekalkan asas yang sama dengan versi komiknya
Walaupun filem Spider-Man: Brand New Day tidak menjelaskan secara menyeluruh tentang sasaran dan tujuan utama DODC, kita boleh beranggapan bahawa Bill Metzger dapat mengenal pasti golongan seperti Jean Grey – yang memiliki keistimewaan luar biasa – sebagai satu ancaman kepada umat manusia.
Dia memburu mereka bagi mendapatkan kuasa tersebut untuk menghasilkan satu ejen super yang boleh mengekang spesies mutan pada masa hadapan.
Teori ini sebenarnya sangat berasas jika kita melihat kembali tindakan agresif DODC dalam siri MCU sebelum ini. Di dalam siri Ms. Marvel, DODC telah pun mula memburu individu luar biasa secara terang-terangan, termasuk Kamala Khan yang kini disahkan mempunyai gen mutan. Manakala dalam siri She-Hulk: Attorney at Law, agensi ini turut ditunjukkan mengawal ketat penjara bagi penjenayah berkuasa luar biasa (superhumans).
Oleh itu, tindakan ekstrem Bill Metzger memburu Jean Grey untuk diekstrak kuasanya bukanlah satu perkara asing, melainkan fasa seterusnya bagi DODC untuk mencipta ‘senjata mutan’ mereka sendiri demi mengawal populasi metahuman yang semakin meningkat.
Teknologi inhibitor ciptaan Peter Parker merupakan perintis kepada penciptaan teknologi pemburuan mutan
Teknologi inhibitor ciptaan Peter Parker berpotensi menjadi asas yang sangat penting dalam membentuk sejarah latar (lore) baharu MCU!
Walaupun teknologi ini pada asalnya dijadikan sebagai alat untuk memperlihatkan perkembangan karakter Peter Parker menjadi individu berkuasa yang jauh lebih hebat daripada sebelumnya, ia sebenarnya memberikan satu petunjuk yang sangat menakutkan bagi masa depan evolusi manusia.
Ini kerana, alat yang dicipta oleh Peter untuk mengawal atau meningkatkan kuasanya sendiri, kini boleh disalahgunakan oleh pihak seperti DODC sebagai senjata pemusnah untuk menyekat, melemahkan, atau memadamkan terus genetik golongan mutan secara paksa.

Berbeza dengan rekaan asal Bruce Banner yang hanya menyasarkan kawalan radiasi khusus, Universal Inhibitor ciptaan Peter Parker berfungsi secara menyeluruh dengan melumpuhkan terus keupayaan yang terhasil daripada mutasi DNA.
Impak ini jelas kelihatan apabila alat tersebut dipasang pada Jean Grey, kuasa psikiknya terus tersekat sepenuhnya. Hal ini berbeza dengan Peter, yang menggunakan perencat tersebut untuk mengawal ketidakstabilan kuasanya sendiri tanpa menjejaskan fizikalnya.
Apa yang lebih menakutkan, ketika Jean berada dalam tahanan DODC, Inhibitor ciptaan Peter boleh dikawal secara jarak jauh. Pekara ini memberi bayangan jelas bahawa agensi tersebut sudah pun memiliki blueprint atau berjaya menggodam teknologi berkenaan. Jika DODC mampu meniru dan menghasilkan sendiri alat tersebut, mereka kini memegang senjata paling berbahaya untuk melumpuhkan mana-mana superhero pada masa hadapan, khususnya spesis mutan.
Inhibitor ciptaan Peter ini dilihat sangat mirip dengan Inhibitor Collar dalam komik Uncanny X-Men #141, di mana alat tersebut digunakan khusus untuk menyekat kuasa golongan mutan. Malah, kewujudan teknologi ini secara tidak langsung boleh membuka jalan kepada penciptaan ancaman yang jauh lebih zalim dan menakutkan, iaitu robot Sentinel, yang kita sedia maklum merupakan musuh ketat kumpulan X-Men.
Harus diingat, Bill Metzger masih hidup selepas insiden yang berlaku di ibu pejabat DODC, dan tiada sebarang petunjuk yang mengesahkan bahawa gajet ciptaan Peter telah musnah secara total.
Melihat kepada rekod lampau DODC yang gemar meniru senjata para penjahat serta obsesi melampau mereka untuk memburu manusia luar biasa, tidak mustahil Bill Metzger akan kembali pada masa hadapan dengan versi Inhibitor yang jauh lebih menakutkan.

Cameo Yelena dan Hulk menjadi asas kepada alliance antara Avengers dan X-Men?
Ada perkara menarik yang mencuri perhatian dalam filem ini, iaitu penglibatan Yelena Belova dan Hulk dalam plot Spider-Man: Brand New Day. Walaupun kedua-dua watak tersebut hanya muncul untuk membantu siasatan Spider-Man serta berkongsi teknologi dengan Peter, terdapat asas kuat yang menunjukkan bahawa mereka mula menyedari ancaman daripada DODC.
Biarpun DODC dikategorikan sebagai agensi kerajaan, modus operandi mereka yang meragukan telah menarik perhatian Yelena selaku anggota Avengers. Apabila Spider-Man mula menyedari niat sebenar DODC dan identiti sebenar Jean Grey, kehadiran watak-watak ini pastinya menjadi batu loncatan kepada alliance diantara Avengers dan X-Men di masa hadapan sekiranya berlaku peperangan di antara manusia dan mutan
Berdasarkan beberapa petunjuk yang dipaparkan dalam Spider-Man: Brand New Day, jelas sekali filem ini bukan sekadar berkisar tentang konflik dalaman Peter Parker semata-mata. Malah secara tersembunyi, ia membuka jalan kepada kisah konflik yang jauh lebih besar dalam MCU.
Kemunculan Jean Grey, kehadiran Bill Metzger, modus operandi DODC, dan Inhibitor ciptaan Peter merupakan asas penting kepada lore Mutant Saga dalam MCU.
Seperti biasa, Marvel Studios tidak akan mendedahkan secara terperinci bagaimana konflik ini akan berlaku dalam filem solo superhero. Sebaliknya, mereka sekadar meletakkan petunjuk-petunjuk kecil – sebagaimana yang dilakukan dalam siri Ms. Marvel dan She-Hulk sebelum ini – sebelum kesemuanya dicantumkan dalam sebuah filem besar yang memfokuskan kepada permulaan era mutan dalam MCU.
