
Pengarah Godzilla Minus Zero, Takashi Yamazaki, tidak menolak kemungkinan untuk kembali mengarahkan sebuah lagi filem Godzilla sekiranya menerima tawaran daripada Toho.
Godzilla Minus Zero merupakan kesinambungan kepada Godzilla Minus One, yang sebelum ini memenangi Anugerah Oscar. Filem terbaharu itu bakal memperkenalkan King Ghidorah sebagai ancaman baharu, selain menyaksikan kemunculan semula keluarga Shikishima.
Dalam temu bual bersama majalah SFX, Yamazaki berkongsi tentang minatnya terhadap Godzilla sejak kecil serta betapa pentingnya kedua-dua filem tersebut dalam perjalanan kerjayanya.
“Saya sudah meminati Godzilla sejak kecil lagi dan saya mencurahkan sepenuh usaha untuk menghasilkan Godzilla Minus Zero. Apabila mengenang kembali perjalanan hidup dan kerjaya saya, kedua-dua filem ini sememangnya antara pencapaian paling bermakna.
“Tetapi itu tidak bermakna saya tidak mahu mengarahkan filem Godzilla lagi. Kalau Toho datang dengan tawaran untuk saya terus mengembangkan dunia Godzilla, besar kemungkinan saya akan terima,” katanya.
Bagaimanapun, Yamazaki mengakui bahawa beliau juga tidak keberatan sekiranya Godzilla Minus Zero menjadi filem Godzilla terakhir arahannya.
“Kalau ini filem Godzilla terakhir saya sekalipun, saya tetap berpuas hati dengan apa yang telah kami hasilkan. Saya amat berterima kasih kepada Toho kerana mempercayakan Godzilla kepada saya.
“Saya juga gembira kerana minat saya terhadap Godzilla sejak kecil akhirnya memberi peluang untuk saya menghasilkan filem-filem ini,” tambahnya.
Sementara itu, Godzilla Minus Zero telah menerima reaksi awal yang sangat positif daripada pengkritik. Setakat ini di Rotten Tomatoes, filem terbaru itu telah memperoleh rating 91% dari 66 ulasan.
Godzilla Minus Zero dijadualkan ditayangkan pada 5 November 2026.
Sumber: GamesRadar
