
Kalau tayangan 4DX selama ini dianggap sudah cukup ekstrem, kempen promosi Fall 2: Deadpoint mungkin boleh membuatkan pengalaman tersebut kelihatan biasa.
Bagi mempromosikan filem thriller survival terbaharu ini, Lionsgate menganjurkan satu tayangan imersif yang cukup unik. Penonton bukan sekadar duduk di kerusi dan menonton filem, sebaliknya mereka perlu berdiri di atas papan kayu sambil cuba memastikan diri tidak terjatuh sepanjang tayangan.
Konsep tersebut diinspirasikan daripada situasi yang dilalui dua watak utama dalam filem. Dalam Fall 2: Deadpoint, dua wanita terperangkap ribuan kaki di udara ketika mencuba plank walk berbahaya di Mount Kwan, Thailand.
Menurut wartawan filem Brandon Davis, penonton yang menyertai tayangan tersebut perlu memakai tali keselamatan dan berdiri di atas papan kayu sepanjang filem. Cabaran itu turut disertai beberapa gangguan fizikal, termasuk disimbah air dan tali keselamatan mereka ditarik untuk menyebabkan mereka hilang keseimbangan.
Davis mendedahkan hanya enam daripada 10 peserta berjaya bertahan sehingga filem tamat.
Konsep tersebut sememangnya sepadan dengan premis Fall 2: Deadpoint, yang sekali lagi menggunakan ketakutan terhadap ketinggian sebagai salah satu elemen utama. Filem ini mengikuti Jax Hunter yang sedang berdepan kesedihan selepas kematian kakaknya, Shiloh. Dia kemudiannya bersama Luce, sahabat berani milik Shiloh, mencuba plank walk di Mount Kwan.
Namun, keadaan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila tanah runtuh menyebabkan mereka terperangkap di atas sebuah papan sempit kira-kira 3,000 kaki dari permukaan tanah. Tanpa tempat untuk berlindung dan dengan tenaga yang semakin berkurangan, Jax perlu melawan ketakutannya sendiri demi terus hidup.
Filem ini diarahkan oleh Michael dan Peter Spierig, manakala barisan pelakonnya terdiri daripada Harriet Slater, Arsema Thomas dan Tom Brittney. Fall 2: Deadpoint merupakan sekuel kepada Fall (2022), filem survival mengenai dua wanita yang terperangkap di atas sebuah menara penyiaran setinggi kira-kira 2,000 kaki selepas tangga yang mereka gunakan terputus.
Walaupun Fall mencatatkan kejayaan sederhana ketika ditayangkan di pawagam, filem tersebut mendapat perhatian lebih besar selepas ditayangkan di Netflix. Sambutan tersebut akhirnya membawa kepada penghasilan filem sekuel.
Untuk penonton Malaysia, Fall 2: Deadpoint dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 3 September 2026, sehari selepas tayangan di Amerika Syarikat.
Dengan kempen promosi yang sampai memaksa penonton sendiri merasai pengalaman hilang keseimbangan di tempat tinggi, nampaknya Lionsgate benar-benar mahu memastikan penonton bukan sekadar menonton Fall 2: Deadpoint, tetapi turut merasai ketakutan yang dialami watak-wataknya.
