
Universal Pictures telah mendedahkan trailer terbaru filem seram Other Mommy, yang memperlihatkan sisi paling mengganggu watak lakonan Jessica Chastain sebagai seorang ibu yang mungkin bukan lagi seperti yang disangka.
Trailer ini memperkenalkan Bela, seorang kanak-kanak yang mula berdepan kejadian pelik di rumahnya sendiri. Salah satu babak paling menyeramkan menunjukkan Bela sedang mandi bersama ibunya sebelum situasi berubah apabila seorang lagi wanita yang kelihatan sama seperti ibunya muncul di bilik mandi.
Persoalannya, jika kedua-duanya kelihatan seperti ibu yang sama, siapa sebenarnya yang berada di hadapan Bela? Anda boleh tonton trailer dibawah:
Konsep tersebut menjadi asas kepada elemen seram dalam Other Mommy, apabila Bela berdepan satu entiti misteri yang mengambil rupa ibunya. Semakin hubungan mereka berkembang, semakin sukar untuk Bela membezakan antara ibu sebenar dengan makhluk yang dikenali sebagai “Other Mommy”.
Jessica Chastain memainkan dua watak dalam filem ini, iaitu ibu Bela dan manifestasi entiti tersebut. Pelakon yang pernah muncul dalam It Chapter Two dan The Eyes of Tammy Faye itu turut menjadi salah satu tarikan utama filem yang mengetengahkan elemen seram psikologi dan supernatural ini.
Other Mommy diarahkan oleh Rob Savage, pengarah Host dan The Boogeyman. Filem ini merupakan adaptasi daripada novel terlaris Incidents Around the House karya Josh Malerman, penulis novel Bird Box.
Selain Chastain, barisan pelakon turut menampilkan Jay Duplass sebagai Daddo, Arabella Olivia Clark sebagai Bela, serta Dichen Lachman, Arian Moayed dan Karen Allen dalam watak sokongan.
Filem ini diterbitkan oleh James Wan menerusi Atomic Monster bersama Blumhouse, manakala skripnya ditulis oleh Nathan Elston berdasarkan novel Malerman.
Other Mommy dijadualkan tayangan di pawagam pada 8 Oktober 2026.

Sumber: Bloody Disgusting
