
AMC secara rasmi mengumumkan bahawa musim keempat siri sampingan The Walking Dead: Daryl Dixon akan menjadi musim terakhir buat siri tersebut. Musim penutup itu dijadualkan menemui penonton pada tahun 2027.
Norman Reedus akan kembali membawa watak ikonik Daryl Dixon, manakala Melissa McBride sekali lagi mengulangi peranannya sebagai Carol Peletier selepas bergandingan bersama Reedus dalam musim ketiga dan bakal diteruskan dalam musim terakhir.
Dalam kenyataan rasmi, Reedus meluahkan rasa syukur sepanjang penglibatannya dalam siri itu serta menghargai sokongan peminat sejak ia mula ditayangkan.
“Daryl Dixon merupakan satu perjalanan yang luar biasa. Saya berterima kasih kepada setiap peminat yang mengikuti perjalanan ini bersama kami.”
“Ia satu penghormatan dapat membina kisah untuk watak-watak ini, dan kami amat bersyukur melihat bagaimana ia diterima dengan baik. Sokongan serta kasih sayang anda menjadikan setiap detik sangat bermakna,” katanya.
Dalam musim ketiga, Daryl dan Carol meneruskan usaha mereka untuk pulang kepada insan tersayang. Namun, perjalanan tersebut menjadi semakin sukar apabila mereka tersasar jauh daripada destinasi asal.
Pengembaraan itu membawa mereka merentasi pelbagai kawasan asing dengan cabaran baharu, sambil menyaksikan sendiri kesan dahsyat dunia yang musnah akibat wabak Walker.
Musim ketiga The Walking Dead: Daryl Dixon mula ditayangkan di AMC dan AMC+ pada 7 September 2025.
Buat masa ini, AMC masih belum mendedahkan tarikh tayangan tepat untuk musim keempat, namun peminat boleh menjangkakan penutup kisah Daryl Dixon akan disiarkan pada tahun 2027.

