
Meryl Streep bakal menghidupkan salah satu watak paling ikonik dalam dunia Narnia apabila pelakon veteran itu dipilih untuk menyuarakan Aslan dalam Narnia: The Magician’s Nephew arahan Greta Gerwig.
Pendedahan tersebut hadir menerusi keluaran terbaru Empire, yang turut memperkenalkan gambar Aslan buat kali pertama. Watak singa legenda itu menghiasi salah satu muka depan majalah tersebut, manakala edisi eksklusif untuk pelanggan pula menampilkan Aslan ketika mencipta dunia Narnia.
Bagi Gerwig, pemilihan Streep bukan sekadar berdasarkan reputasinya sebagai antara pelakon terbaik generasinya. Pengarah itu mahukan seseorang yang mampu memberikan suara Aslan dengan penuh wibawa, tetapi masih mempunyai kehangatan dan rasa kagum.
Gerwig turut mencari pelakon yang mempunyai pengalaman hidup yang luas, namun pada masa sama mampu menyampaikan rasa ingin tahu seperti seorang kanak-kanak. Menurutnya, tidak ramai pelakon yang memenuhi gabungan ciri tersebut, selain mempunyai keupayaan lakonan yag sama tahap dengan Streep.
Pemilihan ini juga menemukan semula Gerwig dan Streep selepas mereka bekerjasama dalam Little Women pada 2019.
Dari segi reka bentuk, Aslan versi Gerwig hadir dengan mata berlainan warna serta corak jalur merah pada wajahnya. Reka bentuk tersebut mengambil inspirasi daripada David Bowie, salah satu rujukan kreatif yang digunakan Gerwig ketika membentuk identiti visual watak tersebut.
Aslan memainkan peranan penting dalam mitologi Narnia dan menjadi figura utama dalam dunia yang dicipta C.S. Lewis. The Magician’s Nephew pula membawa penonton ke era sebelum kisah-kisah Narnia yang lebih dikenali, dengan tumpuan kepada asal-usul dunia fantasi tersebut.
Filem ini turut dibintangi Daniel Craig, Emma Mackey, David McKenna dan Beatrice Campbell. Gerwig juga mengambil pendekatan tersendiri terhadap adaptasi ini, termasuk menetapkan kisahnya dalam latar tahun 1950-an.
Narnia: The Magician’s Nephew dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 12 Februari 2027, sebelum ditayangkan di Netflix pada 2 April 2027.


