
Selepas Marvel Television mengesahkan bahawa Daredevil: Born Again akan berakhir dengan musim ketiga, pelakon utamanya, Charlie Cox, akhirnya memberikan reaksi terhadap keputusan tersebut.
Pengumuman itu dibuat ketika panel Marvel Television di New York Comic Con (NYCC), yang turut mendapat reaksi kurang senang daripada peminat yang hadir.
Walaupun siri berkenaan bakal menamatkan tayangannya, Cox percaya perjalanan Matt Murdock dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) mungkin masih belum berakhir.
Ketika ditemu bual ScreenRant, Cox mengakui beliau sendiri tidak mengetahui sama ada musim ketiga akan menjadi penampilan terakhirnya sebagai Daredevil. Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan watak tersebut akan kembali pada masa hadapan.
"Sejujurnya, saya tidak tahu. Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi, tetapi saya rasa ini bukan kali terakhir kita melihat Matt Murdock," katanya.
Cox turut menjelaskan bahawa masih terdapat pelbagai cara untuk membawa kembali Daredevil, meskipun kemunculan seterusnya mungkin mengambil masa yang lama.
Dalam temu bual berasingan bersama IGN, pelakon itu turut menyentuh mengenai kepulangan anggota Defenders dalam musim ketiga, yang menurutnya akan melengkapkan perjalanan mereka serta memberikan penutup kepada kisah kumpulan tersebut.
Apabila ditanya sekali lagi mengenai masa depannya sebagai Daredevil, Cox mengakui perkara itu masih belum mempunyai jawapan yang pasti. Beliau bagaimanapun sempat berseloroh dengan meminta peminat menghidupkan semula kempen Save Daredevil sekiranya mahu melihat watak tersebut diteruskan.
Sementara itu, dalam perbualannya bersama Entertainment Weekly, Cox turut meluahkan penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan kepada Daredevil. Malah, beliau sendiri tidak pernah menjangkakan siri tersebut akan dihidupkan semula sehingga berjaya menghasilkan tiga musim Daredevil: Born Again.
Untuk musim ketiga, beberapa pelakon utama akan kembali termasuk Vincent D'Onofrio sebagai Wilson Fisk/Kingpin, Deborah Ann Woll sebagai Karen Page, Wilson Bethel sebagai Bullseye dan Margarita Levieva sebagai Heather Glenn.
Musim terakhir ini juga bakal menyaksikan kepulangan beberapa watak daripada siri Marvel Netflix terdahulu, antaranya Jessica Jones lakonan Krysten Ritter, Luke Cage lakonan Mike Colter, Danny Rand/Iron Fist lakonan Finn Jones serta Elektra Natchios lakonan Elodie Yung.
Setakat ini, Marvel Studios masih belum mengumumkan sebarang perancangan rasmi untuk Daredevil selepas tamatnya Born Again.
Daredevil: Born Again musim ketiga dijangka menemui penonton di Disney+ pada Mac 2027.
Sumber: ComicBookMovie, ScreenRant, IGN dan Entertainment Weekly.
