
Marvel Studios dilaporkan sedang membangunkan sebuah filem MCU berdasarkan watak adiwira Nova, dengan pencipta siri Chad Powers, Michael Waldron, dikatakan mengetuai projek tersebut.
Menurut laporan Deadline, sumber dalaman memaklumkan bahawa projek itu masih berada di peringkat awal pembangunan. Waldron dilaporkan telah dipilih untuk menulis skrip, selain berkemungkinan mengarah filem tersebut sekiranya projek itu mendapat lampu hijau daripada Marvel Studios.
Setakat ini, Marvel Studios dan wakil kepada Michael Waldron masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.
Sebelum ini, Marvel Studios pernah merancang untuk menghasilkan Nova sebagai sebuah siri televisyen dengan Sabir Pirzada sebagai penulis. Namun, rancangan tersebut dilaporkan dibatalkan pada tahun 2025.
Nama Nova kembali menjadi perhatian minggu lalu selepas kad keahlian Writers Guild of America (WGA) milik Michael Waldron yang didakwa tertiris menyenaraikan projek tersebut dalam senarai kreditnya. Pendedahan itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau kini sedang membangunkan cadangan baharu untuk watak berkenaan.
Siapa Nova?
Nova mula diperkenalkan dalam komik Marvel pada tahun 1976 dan merupakan anggota pasukan polis antara galaksi yang dikenali sebagai Nova Corps. Melalui organisasi itu, beliau memperoleh pelbagai kuasa luar biasa termasuk kekuatan fizikal yang tinggi, keupayaan terbang serta daya tahan yang hebat terhadap kecederaan.
Walaupun Nova tidak banyak berinteraksi dengan watak utama dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), beliau pernah berdepan dengan kaum Skrull, iaitu spesies yang memainkan peranan penting dalam beberapa projek Marvel seperti Captain Marvel dan siri Secret Invasion.
Michael Waldron Bukan Nama Asing Dalam Marvel

Michael Waldron sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan Disney dan Marvel Studios. Beliau sebelum ini menulis skrip Doctor Strange in the Multiverse of Madness, selain bertindak sebagai showrunner untuk siri popular Disney+, Loki.
Selain karya adiwira, Waldron turut mencipta dan menjadi penerbit eksekutif siri drama gusti Heels yang dibintangi Stephen Amell dan Alexander Ludwig. Siri tersebut menerima perhatian baharu daripada penonton global selepas mula distrim di Netflix.
Syarikat produksinya, Anomaly, kini mempunyai perjanjian kerjasama menyeluruh bersama Disney. Beliau juga baru sahaja menamatkan penggambaran musim kedua siri Hulu, Chad Powers, yang dibintangi Glen Powell.
Buat masa ini, tiada butiran lanjut mengenai jalan cerita, barisan pelakon mahupun sasaran tarikh tayangan didedahkan kerana projek Nova masih berada pada fasa pembangunan awal.
Sumber: Deadline
