
Siapa sangka, pertarungan ganas antara dua raksasa gergasi dalam Godzilla Minus Zero sebenarnya mendapat inspirasi daripada gelagat dua ekor kucing peliharaan pengarahnya, Takashi Yamazaki.
Dalam temu bual bersama IGN, Yamazaki mendedahkan bahawa pemerhatiannya terhadap kedua-dua kucing tersebut telah mempengaruhi cara beliau menggambarkan pertarungan antara Godzilla dan King Ghidorah, khususnya dalam menghasilkan babak kemuncak yang penuh dengan keganasan.
Menurut Yamazaki, kedua-dua kucing peliharaannya biasanya mesra dan gemar bermain bersama. Bagaimanapun, ada kalanya beliau sendiri sukar membezakan sama ada haiwan tersebut masih bermain atau sudah mula bergaduh.
“Saya mempunyai dua ekor kucing. Kebiasaannya, kedua-duanya sangat mesra dan suka bermain bersama. Tetapi sekali-sekala, saya sendiri tidak pasti sama ada mereka masih bermain atau sudah mula bergaduh. Jadi, apabila melihat dua makhluk bertarung, saya sering teringatkan gelagat kucing-kucing saya,” jelasnya.
Dalam Godzilla Minus Zero, pertembungan antara Godzilla dan King Ghidorah digambarkan sebagai pertarungan yang jauh lebih ganas, dengan kedua-dua raksasa saling mencederakan antara satu sama lain sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal yang mengerikan.
Yamazaki menjelaskan bahawa sejak peringkat penulisan skrip lagi, beliau sudah menetapkan bahawa pertarungan tersebut bukan sekadar pertembungan untuk menentukan siapa yang lebih kuat, sebaliknya merupakan pertarungan hidup mati.
“Ketika menulis skrip Godzilla Minus Zero, saya masih ingat menulis bahawa ini merupakan pertarungan hidup mati. Apabila dua makhluk bertarung sehingga ke tahap itu, salah seekor daripadanya pasti akan mati.
“Kedua-duanya mempunyai keupayaan untuk membunuh antara satu sama lain. Jadi, saya membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya mereka benar-benar bertarung tanpa belas kasihan.
“Dalam dunia haiwan sekalipun, pertarungan sebegini boleh menyebabkan anggota badan terkoyak dan kecederaan yang semakin melemahkan pihak lawan, sehinggalah salah satu daripadanya mampu memberikan serangan penamat. Jadi, bagi saya, tidak pelik sekiranya makhluk seperti kaiju turut bertarung dengan cara yang sama,” jelas Yamazaki.
Pendekatan tersebut menjadikan pertarungan antara Godzilla dan King Ghidorah bukan sahaja lebih brutal, malah memperlihatkan bagaimana kedua-dua makhluk itu menggunakan segala kekuatan yang dimiliki untuk terus hidup.
Walaupun pertarungan tersebut direka untuk memberikan pengalaman yang mendebarkan kepada penonton, Yamazaki mengakui bahawa terdapat juga unsur kesedihan apabila menyaksikan dua makhluk saling mencederakan sehingga salah satu daripadanya terkorban.
Malah, beliau sendiri berasa simpati terhadap Godzilla kerana menganggap raksasa ikonik itu seolah-olah seekor kucing yang sedang dibuli.
“Apabila memikirkan bahawa salah seekor daripadanya pasti akan mati, sukar untuk saya tidak membayangkan betapa dahsyatnya pertarungan itu.
“Namun, pada masa yang sama, saya rasa sedih dan tidak sampai hati melihatnya. Apabila melihat Godzilla, saya seolah-olah sedang menyaksikan seekor kucing dibuli.
“Mungkin kerana terlalu kerap memerhatikan dua ekor kucing peliharaan saya, sekarang setiap kali melihat makhluk bertarung, saya akan terbayangkan dua ekor kucing sedang bergaduh,” katanya.
Godzilla Minus Zero merupakan kesinambungan kepada Godzilla Minus One (2023), yang mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Kesan Visual Terbaik di Academy Awards ke-96.
Filem terbaharu arahan Yamazaki ini turut mencatat beberapa pencapaian baharu, termasuk menjadi filem Godzilla pertama yang menerima klasifikasi R di Amerika Syarikat serta filem Jepun pertama yang menjalani penggambaran menggunakan format IMAX, menurut IGN.
Godzilla Minus Zero kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.
Sumber: IGN
