
Robert Pattinson kini muncul sebagai salah seorang calon yang berpotensi membawakan watak James Bond dalam filem terbaharu francais perisik ikonik itu.
Menurut laporan eksklusif The Hollywood Reporter (THR), beberapa sumber mengesahkan bahawa pelakon berusia 40 tahun itu telah menjalani sesi uji bakat (screen test) bagi watak ejen 007, sekali gus menyertai senarai calon lain seperti Callum Turner, Jack Lowden dan Josh O’Connor.
Kemunculan nama Pattinson dalam persaingan ini agak mengejutkan memandangkan sebelum ini ramai menjangkakan penerbit akan memilih pelakon yang belum terlalu terkenal di peringkat antarabangsa untuk menggalas watak James Bond.
Tambahan pula, Pattinson sememangnya sudah mempunyai komitmen besar sebagai Batman dalam francais adiwira DC Studios.
Menurut laporan tersebut, sesi uji bakat berkenaan dipercayai berlangsung pada hujung minggu 24 Oktober lalu. THR sebelum ini melaporkan bahawa terdapat empat atau mungkin lima pelakon yang sedang dipertimbangkan, namun hanya tiga nama dikenal pasti ketika itu.
Selain Pattinson, nama Nicholas Hoult turut muncul sebagai seorang lagi calon yang dikatakan telah menjalani uji bakat. Menariknya, Hoult sebelum ini pernah bersaing dengan Pattinson untuk mendapatkan watak Batman, sebelum peranan tersebut akhirnya diberikan kepada Pattinson.
Hubungan Robert Pattinson Dengan Denis Villeneuve
Salah satu perkara yang mungkin memberikan kelebihan kepada Pattinson ialah pengalaman bekerjasama dengan Denis Villeneuve, pengarah yang telah dipilih untuk menerajui filem James Bond seterusnya.
Kedua-duanya baru sahaja bekerjasama menerusi Dune: Part Three, yang dijadualkan menemui penonton pada 18 Disember 2026. Menurut sumber, kerjasama antara mereka sepanjang pembikinan filem tersebut berjalan dengan baik.
Sepanjang kerjayanya, Pattinson turut mendapat kepercayaan beberapa pengarah ternama Hollywood seperti Robert Eggers, adik-beradik Safdie dan Christopher Nolan.
Malah, penampilannya dalam filem aksi perisik Tenet (2020) arahan Nolan boleh dianggap sebagai gambaran awal bagaimana Pattinson mungkin membawakan watak seorang ejen rahsia seperti James Bond.
Antara Tahun Paling Sibuk Dalam Kerjayanya
Tahun 2026 juga menyaksikan Pattinson terlibat dalam beberapa projek besar Hollywood.
Selain Dune: Part Three, beliau turut membintangi The Odyssey arahan Christopher Nolan, bergandingan sebagai pelakon utama dalam The Drama terbitan A24 serta menerajui sebuah lagi filem studio tersebut, Primetime.
Ketika ini, Pattinson sedang menjalani penggambaran The Batman Part II di London, bandar yang turut menjadi lokasi sesi uji bakat James Bond berkenaan.
Bagaimanapun, pihak Amazon enggan memberikan sebarang komen berhubung laporan tersebut.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai pelakon yang bakal menggantikan Daniel Craig sebagai James Bond. Kehadiran Pattinson dalam senarai calon juga tidak bermakna beliau telah dipilih untuk membawakan watak tersebut.
Namun, dengan pengalaman luas dalam pelbagai genre filem serta hubungan kerjanya dengan Denis Villeneuve, Pattinson kini menjadi antara nama menarik yang wajar diberikan perhatian dalam persaingan merebut watak ejen 007.
Sumber: The Hollywood Reporter
