
Saya ingin berterus terang. Saya sebenarnya bukanlah seorang peminat tegar Godzilla mahupun francais Monsterverse. Namun, sebagai penonton yang mengikuti filem-filem Godzilla sejak era klasik, termasuk adaptasi pertama Hollywood sehinggalah kemunculan francais Monsterverse, setiap filem baharunya tetap menjadi antara karya yang saya nanti-nantikan.
Saya pernah menonton Godzilla Minus One dan Shin Godzilla, dua filem Godzilla Jepun era moden yang menawarkan pendekatan penceritaan dan perspektif berbeza berbanding versi Hollywood.
Saya tidak berniat untuk membandingkan kedua-dua pendekatan tersebut kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Namun, satu perkara yang menyatukan semuanya ialah kehadiran Godzilla sebagai raksasa yang menjadi tunjang penceritaan.
Justeru, apabila Toho mengumumkan Godzilla Minus Zero sebagai susulan kepada Godzilla Minus One, saya sememangnya teruja dan tidak sabar untuk menyaksikannya. Tambahan pula, setelah menonton Godzilla Minus One dalam kedua-dua versi berwarna dan hitam putih, saya meletakkan jangkaan yang cukup tinggi terhadap sekuel ini.
Saya turut mengikuti rapat perkembangan filem Godzilla Minus Zero. Apabila Toho mengumumkan bahawa filem tersebut dihasilkan untuk format IMAX, keterujaan saya semakin memuncak. Saya mula membayangkan pengalaman menonton yang jauh lebih mengagumkan dari segi visual dan audio.
Jika filem pertama yang saya tonton melalui televisyen sudah cukup membuatkan saya terpesona dengan visual serta ngauman Godzilla yang menggegarkan ruang tamu, bayangkan pula pengalaman menyaksikan sekuelnya di pawagam IMAX. Sudah tentu saya mengharapkan skala kemusnahan yang lebih besar, visual yang lebih hebat dan impak bunyi yang jauh lebih menggegarkan.
Ternyata, jangkaan saya benar-benar dipenuhi. Bermula dengan animasi logo pembukaan khas IMAX yang bertemakan Godzilla Minus Zero, sehinggalah babak awal yang menampilkan King Ghidorah, pengalaman menonton sudah terasa begitu mengagumkan.
Skala visual yang epik, ngauman raksasa, gegaran tanah akibat hentakan kaki serta bunyi kemusnahan bangunan sudah cukup untuk mencetuskan debaran yang luar biasa. Lebih-lebih lagi apabila menyaksikan manusia bertempiaran menyelamatkan diri daripada amukan Ghidorah yang mengganas.

Tidak dinafikan, tahap kelantangan audio dalam Godzilla Minus Zero begitu tinggi, terutamanya ketika babak yang menampilkan Godzilla dan King Ghidorah. Bagi penonton yang sensitif terhadap bunyi kuat, pengalaman ini mungkin menimbulkan ketidakselesaan. Namun, bagi saya, dentuman dan ngauman kedua-dua raksasa tersebut menjadi antara elemen yang meningkatkan keterujaan setiap kali mereka muncul di layar.
Cuma, di sebalik kehebatan audio tersebut, terdapat satu dua babak yang kurang saya gemari, khususnya babak tangisan Akiko. Sukar untuk saya jelaskan mengapa, tetapi setiap kali mendengar tangisannya, saya berasa agak terganggu, malah ada ketikanya bunyi tersebut cukup menjengkelkan. Mungkin kerana nada tangisannya yang terlalu nyaring, atau mungkin juga cara babak tersebut dipersembahkan. Apa pun, ia sedikit sebanyak mengganggu pengalaman menonton saya.
Dari segi penceritaan, filem ini menyambung kisah daripada Godzilla Minus One, dengan Jepun sekali lagi berhadapan ancaman raksasa. Namun, kali ini bukan Godzilla yang menjadi ancaman utama, sebaliknya King Ghidorah. Seperti filem terdahulu, usaha untuk menumpaskan raksasa tersebut sekali lagi menjadi tunjang penceritaan, dengan watak-wataknya perlu mencari strategi untuk menghadapi musuh yang berbeza.
Seperti filem pertama, Godzilla Minus Zero turut menyelitkan unsur drama dan konflik antara watak manusia ketika mereka berusaha mencari jalan untuk menumpaskan Ghidorah. Saya tidak nafikan, terdapat beberapa bahagian yang terasa sedikit membosankan, apatah lagi dengan tempo penceritaannya yang agak perlahan. Bagi penonton yang lebih mengutamakan aksi dan pertempuran raksasa, pendekatan ini mungkin menguji kesabaran mereka.

Jika Godzilla Minus One boleh ditafsirkan sebagai gambaran trauma dan kemusnahan akibat pengeboman atom di Jepun, dengan Godzilla menjadi simbol kepada ancaman tersebut, Godzilla Minus Zero pula membawa perspektif yang sedikit berbeza melalui penglibatan Amerika Syarikat dalam penceritaannya. Bagi saya, elemen ini seolah-olah membayangkan kewujudan program pembangunan senjata rahsia yang sering dikaitkan dengan kuasa besar tersebut.
Tidak lengkap rasanya ulasan ini jika saya tidak menyentuh babak-babak yang menampilkan Godzilla dan King Ghidorah. Sebenarnya, filem ini tidak banyak menampilkan kedua-dua raksasa tersebut, khususnya Godzilla.
Kalau diikutkan, Godzilla seolah-olah sekadar membuat cameo dalam filemnya sendiri, apabila hanya muncul pada bahagian kedua penceritaan dan ketika bahagian klimaks. Sebaliknya, King Ghidorah lebih mendominasi skrin dengan kemunculannya pada awal, pertengahan dan klimaks filem.
Namun, itu tidak bermakna kemunculan mereka disia-siakan. Walaupun screen time kedua-duanya jauh lebih pendek berbanding watak manusia, setiap kemunculan tetap berbaloi dan cukup memuaskan hati, malah turut memberikan debaran yang luar biasa. Antara yang paling mengujakan ialah ketika menyaksikan King Ghidorah mengganas sambil menyerap tenaga daripada sambaran petir di sekelilingnya, serta kemunculan mengejut Godzilla yang bangkit daripada 'kematian'.

Pertarungan antara dua raksasa ini sememangnya paling mencuri perhatian, dengan aksi yang gritty, brutal dan tanpa kompromi. Ditambah pula dengan kehebatan visual serta reka bentuk bunyi yang berkesan, pertembungan antara Godzilla dan King Ghidorah terasa begitu epik dan menjadi antara pengalaman menonton yang paling mengujakan dalam filem ini.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi tempo penceritaan, saya tetap menyukai hala tuju sekuel kali ini yang membuka lebih banyak ruang untuk mengembangkan lagi kisah Godzilla versi Jepun. Pengakhiran Godzilla Minus Zero yang dibiarkan terbuka turut membuatkan saya membayangkan pelbagai kemungkinan menarik untuk diterokai dalam filem-filem akan datang. Namun, semuanya bergantung kepada Toho sama ada mereka mahu meneruskan kesinambungan cerita ini atau sebaliknya.
Secara keseluruhannya, Godzilla Minus Zero benar-benar menepati jangkaan saya. Walaupun sejak awal saya sudah meletakkan penanda aras yang tinggi, saya tetap meninggalkan pawagam dengan perasaan yang cukup puas hati. Bagi saya, sekuel kali ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding filem pertama, khususnya dari segi visual dan audio. Jadi, kepada mereka yang merancang untuk menonton filem ini, saya sangat mengesyorkan pengalaman menonton di pawagam IMAX bagi menikmati sepenuhnya kehebatan visual dan bunyi yang ditawarkan.
