Kakimuvee
Review Filem

Review The Resident – Filem Seram Thailand Yang Langsung Tidak Menyeramkan

Bagaimana satu tindakan bodoh boleh mengubah nasib seseorang?

Itulah yang berlaku kepada tiga sekawan yang merancang untuk merompak rumah seorang warga emas. Namun, tindakan mereka memecah masuk ke sebuah bilik berkunci tanpa mengetahui apa yang tersembunyi di dalamnya telah membawa padah apabila mereka secara tidak sengaja melepaskan entiti jahat yang mula memburu mereka.

Filem seram Thailand, The Resident, mengisahkan seorang jururawat pelatih yang ditugaskan menjaga seorang warga emas di sebuah rumah agam terpencil. Bagaimanapun, dia terpaksa bersubahat dengan teman lelaki dan seorang lagi rakannya untuk merompak rumah tersebut selepas teman lelakinya terdesak mencari wang bagi melunaskan hutang dengan lintah darat.

Ketika sedang mencari barang berharga, teman lelaki dan rakannya bertindak memecah masuk ke sebuah bilik yang berkunci rapat, tanpa menyedari bahawa sesuatu yang berbahaya telah dikurung di dalamnya.

Tindakan tersebut akhirnya mengundang malapetaka apabila entiti jahat yang dibebaskan mula memburu mereka, sekali gus mengubah rancangan rompakan itu menjadi perjuangan untuk menyelamatkan nyawa.

Berdasarkan sinopsisnya, The Resident sepatutnya mampu menawarkan sebuah kisah seram yang menakutkan. Namun, hakikatnya filem ini serba tidak kena dari awal hingga akhir.

Sebagai sebuah filem seram supernatural, The Resident gagal membina suasana yang benar-benar menyeramkan, kecuali beberapa babak yang melibatkan tarian tradisional masyarakat Thailand yang sememangnya mempunyai unsur mistik.

Selebihnya, filem ini hanya menyajikan jalan cerita yang klise dan membosankan, dengan pendekatan seram yang terlalu biasa serta tidak memberikan impak yang diharapkan.

Lakonan barisan pelakon dalam membawakan watak masing-masing juga kelihatan agak janggal dan kurang meyakinkan. Kelemahan ini sedikit sebanyak menjejaskan penyampaian cerita, malah gagal membantu membina suasana seram yang cuba diwujudkan sepanjang filem.

Dari sudut teknikal dan sinematografi pula, The Resident kelihatan seperti sebuah produksi berbajet rendah. Kelemahan ini cukup ketara menerusi penggunaan color grading yang menyakitkan mata serta kesan khas CGI yang kelihatan seperti kartun.

Malah, kualiti CGI yang dipaparkan mengingatkan saya kepada kesan visual dalam beberapa filem arwah Mamat Khalid. Bezanya, filem-filem beliau lebih menjurus kepada komedi, sedangkan The Resident merupakan sebuah filem seram yang serius.

Bahagian paling teruk dalam The Resident ialah perjalanan cerita menuju ke klimaks serta cara konflik utamanya diselesaikan. Cara watak protagonis melepaskan diri daripada menjadi mangsa pemujaan terasa agak mengarut dan tergesa-gesa.

Dan paling tidak disangka, ketika penonton menyangka filem ini sudah hampir berakhir, muncul pula satu babak yang saya rasakan tidak diperlukan, iaitu pertembungan terakhir antara watak utama dengan syaitan. Namun, memandangkan babak tersebut sudah dijadikan sebahagian daripada naratif filem, kehadirannya hanya memburukkan lagi bahagian ketiga filem ini.

Bagi saya, bahagian akhir inilah yang benar-benar mengubah persepsi terhadap The Resident. Daripada sebuah filem seram supernatural, ia seolah-olah bertukar menjadi filem komedi tanpa disengajakan, walaupun saya faham filem ini masih cuba mengekalkan nada seriusnya.

Semuanya berpunca daripada penggunaan CGI yang kurang meyakinkan serta cara filem ini cuba menyelesaikan konflik terakhirnya, sehingga babak yang sepatutnya menyeramkan bertukar menjadi sesuatu yang melucukan.

Secara keseluruhannya, The Resident benar-benar sebuah filem seram yang mengecewakan. Daripada cara penceritaan, penyampaian elemen seram, lakonan, aspek teknikal hinggalah ke bahagian pengakhiran, hampir semuanya boleh dikatakan kurang memuaskan.

Satu-satunya pengecualian ialah beberapa adegan tarian tradisional Thailand yang berjaya menampilkan unsur mistik dan membangkitkan suasana seram yang benar-benar berkesan. Selebihnya...? Meh.

Rating: 1.5/5

SUBSCRIBE

Berita, review dan suggestion filem & siri tv terus ke e-mel anda

Kami tak spam! baca privacy policy untuk info lanjut.

Related posts

Review Munafik: Melawan Iblis – Berbaloikah Untuk Ditonton?

Karim Khan

Review Mutiny: Jason Statham Dan “Genre Statham” Yang Mengecewakan

Karim Khan

Review Terbang: Garapan Chiu Keng Guan Menjadikan Terbang Antara Filem Terbaik Tahun Ini

Karim Khan

Review Filem Moana – Berbaloi Ditonton atau Lebih Baik Skip?

Karim Khan

Review Resident Evil: Horror Zach Cregger Tak Menjadi?

Karim Khan

Review Travis Barker: Louder Than Fear Bawa Penonton Menyelami Trauma Drummer Blink-182

Karim Khan

Leave a Comment