
Sempena meraikan sedekad kejayaan francais animasi popular tempatan, Ejen Ali, sebuah konsert orkestra berskala besar bakal berlangsung pada 28 dan 29 November 2026 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dikenali sebagai Ejen Ali In Concert, acara istimewa ini bakal menghimpunkan barisan penyanyi popular tanah air bersama 41 pemuzik orkestra profesional yang akan mempersembahkan lagu-lagu ikonik daripada francais Ejen Ali secara langsung dengan susunan muzik orkestra.
Antara artis yang bakal memeriahkan pentas konsert berkenaan ialah Hael Husaini, Bunga, Santesh, Malik, FUGO dan Mariam. Gabungan barisan artis ini dijangka memberikan pengalaman berbeza kepada peminat menerusi persembahan lagu-lagu yang cukup sinonim dengan dunia Ejen Ali.
Lebih menarik, Ida Rahayu yang merupakan pelakon suara rasmi watak Ejen Ali turut bakal membuat penampilan istimewa dengan menyanyi secara langsung di atas pentas buat pertama kalinya.
Dari segi persembahan muzik, konsert ini akan diterajui oleh Azri Yunus selaku pengarah muzik (Music Director), manakala Chong Koi Min akan bertindak sebagai konduktor (Conductor) yang memimpin persembahan 41 pemuzik orkestra sepanjang acara berlangsung.
Penganjuran konsert ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menikmati muzik daripada francais animasi berkenaan dalam suasana persembahan orkestra secara langsung.
Sejak diperkenalkan pada 2016, Ejen Ali telah berkembang daripada sebuah siri animasi televisyen kepada francais hiburan tempatan yang turut merangkumi filem cereka animasi, sekali gus membina kelompok peminat daripada pelbagai peringkat usia.
Ejen Ali In Concert dijadualkan berlangsung selama dua malam, iaitu pada 28dan 29 November 2026, bermula pukul 8.00 malam di Plenary Hall, KLCC.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa ini, tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi WowTix. Bagaimanapun, jumlah tiket yang ditawarkan adalah terhad.

