
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati ketika berkongsi semula babak atau klip daripada kandungan yang dikhususkan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas.
Menurut CMCF, perkongsian semula kandungan sedemikian di media sosial berpotensi mengubah konteks asal sesuatu babak selain meluaskan capaiannya kepada khalayak yang bukan menjadi sasaran asal, termasuk kanak-kanak.
CMCF berkata, perbincangan mengenai kandungan penstriman sejak kebelakangan ini turut menunjukkan kepentingan isu berkenaan. Sesuatu babak yang pada asalnya ditayangkan sebagai sebahagian daripada program dengan klasifikasi umur, maklumat kandungan dan perlindungan penonton tertentu boleh dilihat dalam konteks berbeza apabila ia dipotong, disunting dan dikongsi secara meluas di media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, perkongsian klip kandungan 18+ di media sosial boleh menyebabkan klasifikasi dan amaran asal yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan tidak lagi jelas kepada penonton.
“Apabila babak daripada kandungan yang ditujukan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas dikongsi di media sosial, ia boleh kehilangan konteks, klasifikasi dan amaran asal, lalu tersebar kepada khalayak yang lebih luas termasuk kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, CMCF menegaskan bahawa kebimbangan mengenai kandungan yang dianggap tidak sesuai seharusnya disalurkan melalui saluran aduan yang betul supaya ia boleh diteliti dan ditangani dengan sewajarnya.
Pada masa sama, pengguna disaran mempertimbangkan kesan perkongsian semula terhadap capaian kandungan tersebut, khususnya jika kandungan berkenaan pada asalnya ditujukan kepada penonton dewasa.
“Jika kita merasakan sesuatu kandungan tidak sesuai untuk tontonan umum, kita juga perlu berhati-hati agar perkongsian kita sendiri tidak meluaskan lagi capaiannya. Aduan boleh dibangkitkan tanpa perlu menyebarkan lagi kandungan tersebut,” kata Mediha.
Pengguna boleh membuat laporan terus melalui saluran yang disediakan oleh platform media sosial, mengemukakan aduan kepada penyedia perkhidmatan, membuat aduan kepada CMCF atau merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Perlindungan Penonton Tanggungjawab Bersama
CMCF turut menekankan bahawa perlindungan penonton dalam persekitaran digital merupakan tanggungjawab bersama antara platform, penyedia kandungan, ibu bapa, penjaga dan pengguna sendiri.
Menerusi Nota Amalan Terbaik bagi Kandungan dalam Perkhidmatan Kandungan Pilihan Dalam Talian, yang dibangunkan secara kolaboratif bersama pemain industri tempatan dan antarabangsa, penyedia perkhidmatan digalakkan menyediakan maklumat program yang jelas, klasifikasi umur, nasihat pengguna serta amaran kandungan.
Perkhidmatan juga disaran mengutamakan pendekatan “keselamatan melalui reka bentuk”, termasuk penggunaan PIN, profil yang bersesuaian dengan umur pengguna dan sekatan tontonan.
Garis panduan tersebut turut mengingatkan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia supaya mengambil kira keperluan undang-undang, kawal selia dan budaya tempatan, termasuk kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Penarafan umur dan kawalan akses merupakan perlindungan tambahan kepada pengguna dan tidak menggantikan keperluan untuk mematuhi undang-undang, garis panduan serta keperluan tempatan yang terpakai,” tambah Mediha.
Bagi kandungan yang ditujukan kepada penonton matang, CMCF berpendapat klasifikasi umur yang jelas, nasihat kandungan dan kawalan ibu bapa yang mudah digunakan dapat membantu penonton dewasa membuat pilihan berdasarkan maklumat yang mencukupi.
Pada masa sama, ciri-ciri tersebut turut membantu ibu bapa dan penjaga mengawal akses kanak-kanak kepada kandungan yang tidak bersesuaian dengan usia mereka.
Pengguna juga disaran mengambil perhatian terhadap klasifikasi yang diberikan serta menggunakan ciri keselamatan yang disediakan oleh platform.
“Perlindungan penonton hanya berkesan apabila semua pihak memainkan peranan. Platform perlu menyediakan maklumat dan kawalan yang jelas, ibu bapa serta pengguna perlu menggunakannya, dan kita semua perlu lebih berhati-hati agar kandungan yang ditujukan kepada penonton 18 tahun ke atas tidak diperluaskan kepada khalayak umum melalui media sosial,” kata Mediha.
CMCF berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan, penerbit kandungan, pihak berkuasa dan pemegang taruh lain bagi menggalakkan amalan kandungan yang bertanggungjawab serta memperkukuh perlindungan penonton dalam landskap media digital Malaysia.
