Kakimuvee
Superhero / Live-Action / Comic

Joe Russo Dedah Durasi Avengers: Doomsday.

Pengarah Joe Russo teah mendedahkan durasi filem Avengers: Doomsday adalah sekitar dua jam 30 minit. Selain itu juga, pengarah itu menjelaskan sebab Marvel Studios memulakan kempen promosi filem tersebut hampir setahun sebelum tayangannya.

Perkara itu dikongsikan Russo ketika menghadiri acara Doha Industry Days anjuran Qatar Film Committee di Qatar, baru-baru ini. Menurutnya, pendekatan promosi Avengers: Doomsday sengaja dirancang berbeza berbanding dua filem Avengers terdahulu yang pernah diarahkan bersama abangnya, Anthony Russo.

Kempen promosi filem tersebut bermula dengan pengumuman barisan pelakon yang berlangsung selama beberapa jam, sebelum diteruskan dengan pelancaran empat teaser trailer yang memberikan petunjuk mengenai jalan cerita filem berkenaan.

Russo menjelaskan bahawa perubahan tabiat penonton selepas pandemik COVID-19 serta perkembangan media sosial menjadi antara faktor utama yang mendorong mereka mengubah strategi pemasaran.

“Saya perlu bekerja lebih keras untuk mengubah jangkaan penonton dan memahami bagaimana mereka berubah. Keadaan ketika saya menghasilkan filem pada 2018 dan 2019 sangat berbeza berbanding sekarang, terutamanya selepas pandemik apabila ramai menghabiskan lebih banyak masa di media sosial,” jelasnya.

Menurut Russo, industri perfileman turut mengalami perubahan besar apabila jumlah penonton pawagam merosot ketika perkhidmatan penstriman semakin berkembang. Bagaimanapun, keadaan tersebut kini menunjukkan perubahan, sekali gus memerlukan pembikin filem memahami arah perkembangan pasaran.

Beliau turut menjelaskan bahawa kepantasan perbincangan dalam kalangan peminat di internet menjadi sebab mereka memilih untuk memulakan penceritaan Avengers: Doomsday lebih awal.

“Saya perlu berinteraksi dengan peminat untuk memahami perkara yang menarik perhatian mereka dan pendekatan yang berkesan. Apa yang kami lakukan dengan Doomsday sangat berbeza kerana perbincangan di internet kini bergerak jauh lebih pantas berbanding 2018 dan 2019.

Artikel Berkaitan:  Michael Waldron Dilapor Bangunkan Filem Nova Untuk Marvel Studios

“Jadi, saya terfikir, mengapa tidak kita mulakan penceritaan setahun lebih awal? Mengapa tidak kita berikan petunjuk secara berperingkat sepanjang tahun sebelum filem ditayangkan? Sebab itulah kami melancarkan empat trailer secara berasingan,” katanya.

Empat teaser trailer tersebut memperlihatkan beberapa perkembangan penting, termasuk kemunculan semula Chris Evans sebagai Steve Rogers, Thor yang berdoa kepada Odin, kepulangan barisan asal X-Men serta pertemuan pertama antara penduduk Wakanda dengan pasukan Fantastic Four.

Selain trailer, Russo Brothers turut menghasilkan beberapa babak tambahan yang dikaitkan dengan projek MCU seperti The Fantastic Four: First Steps, Avengers: Endgame: Encore dan VisionQuest bagi membina kesinambungan cerita menuju Avengers: Doomsday.

Russo menjelaskan bahawa semua petunjuk tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada penceritaan lebih besar yang telah bermula sejak Januari tahun lalu.

“Kami menghasilkan beberapa babak tambahan yang berkaitan dengan watak-watak ini kerana ceritanya sebenarnya sudah bermula sejak Januari tahun lalu. Penonton telah menyaksikan perkembangan cerita itu sedikit demi sedikit, dan semuanya merupakan cebisan yang akhirnya akan membentuk sebuah filem berdurasi dua jam setengah pada 18 Disember nanti,” jelasnya.

Dengan durasi sekitar 150 minit, Avengers: Doomsday dijangka mempunyai tempoh tayangan yang hampir sama dengan Avengers: Infinity War (149 minit), namun lebih pendek berbanding Avengers: Endgame yang berdurasi 181 minit.

Russo turut menjelaskan bahawa pendekatan memberikan petunjuk secara berperingkat bukan sahaja bertujuan membina keterujaan peminat, malah membolehkan pihak produksi menilai reaksi serta pemahaman penonton terhadap perkembangan cerita.

Menurutnya, Avengers: Doomsday mempunyai jalan cerita yang agak kompleks, justeru setiap petunjuk perlu disampaikan dengan teliti bagi memastikan peminat tidak tersalah tafsir mengenai arah penceritaannya.

“Pendekatan ini secara perlahan-lahan membina hubungan emosi peminat dengan cerita. Pada masa sama, saya juga menerima maklum balas mereka dan kami boleh membuat penyesuaian berdasarkan perkara yang mereka fahami atau terlepas pandang.

Artikel Berkaitan:  Amazon Dan Sony Mempertimbangkan Empat Siri Spin-Off Spider-Man

“Ceritanya juga sangat kompleks. Jadi, saya perlu memastikan mereka mengikuti setiap petunjuk kecil yang kami berikan. Jika mereka membuat tafsiran yang salah, saya perlu melakukan penyesuaian kerana mereka mungkin sudah mempunyai gambaran yang berbeza mengenai cerita tersebut,” tambahnya.

Avengers: Doomsday bakal menyaksikan pertembungan adiwira daripada tiga alam semesta berbeza yang terpaksa berdepan ancaman luar biasa, dengan Robert Downey Jr. membawakan watak Doctor Doom.

Filem arahan Anthony dan Joe Russo ini dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia pada 17 Disember 2026.

Sumber: Deadline, ComicBookMovie

Related posts

Kit Connor Dilapor Dipilih Sebagai Cyclops Dalam Reboot X-Men MCU

Karim Khan

Avengers: Doomsday – Doctor Doom Duduk Atas Takhta Dalam Teaser Countdown 100 Hari

Karim Khan

Marvel Bawa Musuh Paling Ditakuti X-Men Ke MCU Dalam Avengers: Doomsday

Karim Khan

Kevin Feige Dedah Inspirasi Secret Wars Dan Peranan Doctor Doom Dalam MCU

Karim Khan

Trailer Avengers: Endgame Encore Bawa Kembali Momen Ikonik

Karim Khan

Sadie Sink Dedah Perkembangan Penggambaran X-Men, Masih Tak Tahu Siapa Bakal Jadi Cyclops

Karim Khan

Leave a Comment